Bekas Menteri Kabinet Malaysia Ditahan Suruhanjaya Rasuah

Colin Forsythe
2017.10.19
Kota Kinabalu, Sabah
171019-my-shafie620.jpg Presiden Parti Warisan Sabah Mohd. Shafie Apdal bersama penyokongnya berdoa sebelum meninggalkan rumah beliau untuk ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sabah, di Kota Kinabalu, 20 Oktober, 2017.
(Colin Forsythe/BeritaBenar)

Bekas Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Naib Presiden UMNO Mohd. Shafie Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada malam Khamis atas siasatan berkaitan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

Beliau yang kini merupakan Presiden Parti Warisan Sabah [PWS], sebuah parti pembangkang di negeri itu, adalah individu yang ke-11 ditahan oleh suruhanjaya tersebut dalam siasatan setakat ini.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, Sabah hadir di pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk memberi keterangan pada kira-kira jam 5 petang, Khamis tetapi telah ditahan empat jam kemudian di pejabat yang sama.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

BeritaBenar difahamkan SPRM telah membenarkan Mohd. Shafie ditahan di Hospital Queen Elizabeth pada lewat malam Khamis kerana mempunyai tekanan darah yang tinggi.

Pihak suruhanjaya itu dijangka akan memohon perintah reman ke atas Shafie pada Jumaat, iaitu tarikh hari jadi beliau yang ke 60.

Ahli politik terkenal Sabah itu, telah menubuhkan parti baru PWS tersebut pada Oktober tahun lalu dan dilihat bakal memberi tentangan kepada parti Barisan Nasional (BN) Sabah kerana mempunyai sokongan yang padu dari rakyat di negeri itu.

Shafie yang berpengalaman luas dalam lanskap politik di Sabah, pada Julai tahun lalu mengumumkan keluar dari UMNO susulan daripada tindakan kepimpinan parti menggantungnya dari jawatan Naib Presiden.

Mohd Shafie juga digugurkan daripada rombakan Kabinet pada 29 Julai tahun lalu, bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selepas lantang bersuara mengenai skandal syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dibebani hutang berbilion ringgit yang diterajui Najib.

Mohd. Shafie dikaitkan dengan penyelewengan tersebut kerana beliau telah menjawat jawatan tersebut dari tahun 2009 ke 2015.

Mohd. Shafie telah berulang kali menafikan terlibat dalam sebarang salah laku berhubung dengan dakwaan itu.

“Saya berjumpa dengan mereka (SPRM) dengan hati dan minda yang bersih dan tidak gentar menjawab soalan mereka tetapi saya hanya minta untuk diberi layanan yang adil.”

“Saya tidak akan melarikan diri. Saya tidak bersalah,” beliau dilaporkan berkata kepada portal berita tempatan Borneo Today sebelum bertolak ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu pada petang Khamis.

Hampir 350 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang melibatkan penyelewengan dana persekutuan kini dipantau oleh suruhanjaya itu.

Dana RM1.5 bilion adalah sebahagian daripada RM7.5 bilion untuk pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu di daerah Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan, antara 2009 hingga 2015.

Lebih 45 orang telah disoal siasat oleh suruhanjaya itu sejak siasatan dimulakan awal bulan Oktober.

SPRM juga sedang menyiasat 60 buah syarikat yang diberikan projek-projek untuk bekalan air, elektrik dan membina jalan raya bagi membantu rakyat luar bandar Sabah.

Adik Mohd. Shafie yang juga Adun Lahad Datu yang mewakili parti UMNO, Yusof Apdal, masih ditahan reman SPRM ,  sementara seorang lagi adiknya, Hamid, dibebaskan daripada tahanan reman dengan ikat jamin. Menantu Hamid juga dibebaskan pada Khamis.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking memberitahu pemberita bahawa Mohd. Shafie telah meminta penyokongya bertenang serta menghormati proses undang-undang selepas berita tentang Mohd. Shafie tersebar di negeri itu.

“Beliau (Shafie) memberitahu kami supaya jangan cepat marah dan jangan melakukan tindakan yang dipengaruhi emosi. Kita mesti patuh kepada undang-undang. Beliau meminta supaya semua ahli dan penyokong Warisan untuk menghormati undang-undang,” kata Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.