Malaysia Tubuh Jawatankuasa Banteras Jenayah Siber
2018.10.08
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia pada Isnin mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh Polis DiRaja Malaysia dan Bank Negara bagi memerangi kegiatan jenayah siber yang berlaku di negara itu.
Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) , Gobind Singh Deo berkata bahawa jawatankuasa khas ini juga akan turut dianggotai oleh syarikat telekomunikasi ditubuhkan kerana kerajaan bimbang dengan peningkatan jumlah jenayah siber seperti penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, pencurian identiti dan pencerobohan data.
"Jenayah siber ini merupakan ancaman serius kepada rakyat Malaysia kerana penipuan ini mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit yang merupakan hasil titik peluh mangsa.
“Anggota jawatankuasa khas ini terdiri daripada SKMM, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara dan juga syarikat telekomunikasi dengan segala bentuk informasi akan dikongsi bersama oleh yang terlibat," kata Gobind pada satu sidang media khas di Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan mula beroperasi pada hujung bulan dan setakat ini, pertemuaan dan perbincangan telah berjalan sebanyak dua kali.
Naik taraf
Menteri itu juga memberitahu bahawa Pengarah JSJK Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh telah meminta syarikat telekomunikasi di Malaysia menaikkan taraf sistem telekomunikasi bagi memberi pihak berkuasa ruang untuk menjejaki kegiatan jenayah siber menggunakan alamat ‘Internet Protocol’.
"Kami sedang bekerjasama dengan pihak telco agar mereka menyelenggara ‘database’ syarikat mereka dalam mengenal pasti nombor mana yang masih aktif dan yang tidak aktif serta sudah ditamatkan.
"Kami juga sedang mengenal pasti nombor dan identiti pengguna dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan usaha ini sudah dijalankan sejak Mei lalu. Tujuannya adalah untuk menamatkan nombor atau penggunaa yang disyaki terlibat dalam kancah jenayah siber," Gobind berkata.
Gobind menambah bahawa terdapat 700 ribu pengguna telefon bimbit hantu di dalam negara yang membabitkan penipuan oleh sindiket jualan mulai internet.
Langkah menamatkan penggunaan nombor mereka akan dilakukan mulai bulan hadapan.
Kempen kesedaran awam mengenai penipuan jualan melalui internet dan talian sedang diperhebatkan selain langkah untuk meningkatkan keselamatan siber bagi pengguna, katanya.
Dalam pada itu, Amar Singh berkata bahawa sebanyak 10,203 kes penipuan telah dilaporkan pada 2017 dan bagi 2018, jumlah kes yang telah dilaporkan setakat 3 Oktober adalah sebanyak 8,313.
Menurut beliau, empat penipuan yang paling banyak ialah penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam), pinjaman tak wujud, ‘African Scam’ dan penipuan yang berkaitan dengan pembelian dalam talian.
"Pada tahun 2017, jumlah wang yang terlibat didalam penipuan atas talian adalah sebanyak RM65,458,277 dan membabitkan 2, 912 kes dan bagi 2018, jumlah wang terlibat adalah RM162,625,322. dan jumlah kes adalah 3,816," kata Amar.
Manakala bagi African Scam, Amar berkata terdapat 1,774 kes yang melibatkan jumlah RM67,199,064 bagi tahun 2017 manakala bagi tahun ini sahaja sudah terdapat 1,398 kes yang telah dilaporkan dengan kerugian dianggarkan mencecah RM80,086,531.
Baru-baru ini, pihak JSJK Bukit Aman menahan seorang individu bergelar "Datuk Seri" kerana disyaki terlibat dalam penipuan Macau Scam
Dalam beberapa serbuan yang diketuai oleh Amar sendiri, sindiket yang beroperasi sebagai pusat panggilan telah menjadikan sebuah bangunan mewah sebagai markas untuk menawarkan pelaburan kepada pelanggan di China.
Amar juga memberitahu bahawa seramai 99 individu berusia 14 hingga 44 tahun membabitkan 78 lelaki serta 21 wanita yang bekerja di pusat panggilan itu ditahan dengan 93 suspek terdiri daripada warga China dan enam warga tempatan.
“Ketika serbuan berlaku, kesemua suspek sedang membuat panggilan menawarkan perkhidmatan pelaburan saham kepada pelanggan dari negara China yang menjanjikan pulangan yang lumayan.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu memperoleh keuntungan lebih RM50,000 sebulan, dan mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat kegiatan kerana wujudnya kebocoran data peribadi selain adanya penggunaan Voice Over Internet Protocol (VOIP) bagi mengendalikan panggilan luar negara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, Rabu lalu.
Antara barang milik sindiket yang dirampas termasuk telefon bimbit (169 unit), komputer riba (114 unit), buku catatan (19 unit), pasport (16 keping) dan sebuah Toyota Vellfire.
“Sindiket yang menyasarkan warga China itu tidak beroperasi di satu tempat sahaja supaya pihak berkuasa sukar untuk mengesan kegiatan mereka,” kata Amar.