COVID-19: Singapura Tangguh Hukuman Gantung Tehadap Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek

Mahkamah Rayuan menangguhkan hukuman gantung itu ke satu tarikh yang belum ditetapkan selepas tertuduh disahkan positif COVID-19.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2021.11.09
Kuala Lumpur
COVID-19: Singapura Tangguh Hukuman Gantung Tehadap Rakyat Malaysia Kurang Upaya Intelek Nagaentharan Dharmalingam mendukung anak saudaranya di Ipoh, Malaysia, dalam gambar tidak bertarikh.
[Edaran pihak ketiga melalui Reuters]

Mahkamah tertinggi Singapura pada Selasa melanjutkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati ke atas rakyat Malaysia kurang upaya intelek atas kesalahan menyeludup heroin ke negara itu, selepas lelaki itu disahkan positif COVID-19, demikian kata peguamnya, walaupun pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyertai panggilan suara yang semakin meningkat meminta pengampunan dalam kes tersebut.

Walaupun keputusan itu memberi kelegaan yang besar kepada keluarga tertuduh, Nagaenthran K. Dharmalingam – yang dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada pagi Rabu, keluarganya masih bimbang kerana tertuduh masih belum bebas daripada hukuman tali gantung.

“Mahkamah Rayuan telah mengarahkan pengangguhan pelaksanaan hukuman ke satu tarikh yang belum ditetapkan. Saya telah memfailkan satu lagi permohonan pada saat-saat akhir.

“Nagaenthran telah dijangkiti oleh COVID apabila sidang mahkamah hampir bermula,” menurut peguambela tertuduh, M. Ravi dalam status di Facebooknya pada Selasa, sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai satu keajaiban.

N. Surendran, penasihat undang-undang Lawyers for Liberty dalam ciapan di laman Twitter berkata: “Penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Nagaenthran yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi semalam (Isnin) telah dilanjutkan oleh Mahkamah Rayuan tengahari tadi! Atas sebab dia dijangkiti COVID-19.”

Gunakan logik akal

Keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah sesuatu yang sama sekali di luar jangka, tatkala pihak pembelaan bergelut dalam proses rayuan akhir untuk menyelamatkan nyawa tertuduh kurang 24 jam sebelum dia dijadualkan ke tali gantung pada pagi Rabu.

Menurut laporan media Singapura dan Malaysia, terdahulu pada prosiding berkenaan yang bermula jam 2.30 petang, Nagaenthran, 33, dibawa ke kandang pesalah untuk berdepan dengan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Hakim Andrew Phang Boon Leong, Hakim Judith Prakash dan Hakim Kannan Ramesh.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian Nagaentharan dibawa keluar dari mahkamah.

Sebaik mahkamah bersidang, Hakim Phang berkata mahkamah dimaklumkan Nagaenthran telah dijangkiti COVID-19 dan menyifatkannya sebagai “diluar jangkaan”.

Menurut Hakim Phang, mahkamah mendapati adalah tidak wajar untuk pendengaran diteruskan memandangkan perkembangan berkenaan.

“Pelaksanan hukuman dijadualkan esok,” kata Hakim Phang seperti dipetik laporan media, “sekiranya pemohon telah dijangkiti COVID-19…kami berpandangan yang pelaksanaan hukuman tidak boleh dijalankan.”

Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah yang mereka baru dimaklumkan mengenai perkembangan berkenaan dan perlu mendapat arahan lanjut.

Hakim Phang seterusnya berkata: “Saya fikir di sini, kita perlu menggunakan logik, akal dan perikemanusiaan,” sebelum menangguhkan pendengaran ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Mahkamah turut memutuskan pengangguhan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin, dikekalkan sehingga semua prosiding rayuan berkaitan diselesaikan.

Keluarga masih bimbang

Keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati ke atas Nagaentharan memberi kelegaan sementara kepada keluarganya di Perak, negeri utara di Malaysia.

Bagaimanapun, Sarmila, kakak kepada Nagaentharan dalam reaksinya berkata mereka masih gusar kerana adiknya belum bebas dari hukuman tali gantung.

“Saya merasa tenang dan lega apabila dimaklumkan yang penangguhan pelaksanaan hukuman ke atasnya, yang dijadualkan esok (Rabu), telah dikekalkan. Tetapi saya hanya gembira sedikit, kerana saya tahu mereka belum menghentikan sepenuhnya hukuman, hanya diberikan penangguhan sementara.

“Saya gembira sekarang, tetapi sebagai kakak Nagen, saya perlu memikirkan tentang masa depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Bandaraya Ipoh, ibukota negeri Perak pada Selasa.

Menurut Sarmila ibunya, seorang adik dan sepupu mereka berada di Singapura dan dijangka pulang ke Malaysia pada Rabu.

“Kami dimaklumkan oleh pihak penjara yang keluarga kami tidak lagi dibenarkan untuk melawat dia, dan kami hanya dibenarkan untuk membuat panggilan telefon dengannya. Kami tidak tahu seberapa kerap kami dapat berhubung dengannya melalui panggilan telefon,” katanya dalam kenyataan itu.

Sarmila berkata dia bimbang dengan keadaan Nagaenthran memandangkan dia telah disahkan positif COVID-19 and tidak pasti berapa lama dia akan menjalani kuarantin di dalam penjara.

Naganthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 - ketika berusia 21 tahun, atas kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 42.72 gram.

Pada 22 November 2010, Nagaenthran, yang didakwa peguamnya merupakan orang kurang upaya mental, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973.

Akta itu memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.