SPR Larang Guna Gambar Pemimpin Utama Parti, Hadkan Kepada Presiden dan Timbalan

Hareez Lee & Hadi Azmi
2018.04.25
Kuala Lumpur, Malaysia
180425-MY-SPR-Gambar620.jpg Seorang penyokong mengambil gambar di hadapan sepanduk yang mempunyai gambar bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim pada perhimpunan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 di Langkawi, April 15, 2018.
AFP

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada Rabu melarang parti-parti politik menggunakan gambar pemimpin utamanya yang bertanding pada pilihan raya umum selain Presiden dan Timbalan Presiden.

Syarat baharu itu, yang diperkenal beberapa hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum  Ke-14 (PRU 14), telah menimbulkan kemarahan pemimpin pembangkang yang menyifatkannya sebagai langkah terdesak dalam usaha melarang mereka menggunakan gambar pengerusi blok pembangkang Pakatan Harapan (PH), Mahathir Mohamad, dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim.

“Penggunaan gambar pemimpin utama parti politik telah dihadkan kepada gambar dua orang pemimpin utama parti politik iaitu Presiden [atau setaraf dengannya] dan Timbalan Presiden [atau setaraf dengannya] bagi parti politik yang bertanding berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon,” demikian menurut kenyataan empat muka surat SPR yang dikeluarkan di Putrajaya.

Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah telah menandatangani dua muka surat kenyataan itu manakala dua lagi, yang mengandungi syarat tambahan, tidak ditandatangani beliau.

Larangan terbaharu tidak membenarkan parti politik menggunakan gambar pemimpin utama parti selain Presiden dan Timbalan Presiden yang bertanding pada pilihan raya umum terkandung dalam syarat tambahan itu.

Kenyataan tambahan itu juga menyebut “Jawatan selain presiden dan timbalan presiden parti adalah tidak dibenarkan, manakala bahan kempen boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua-dua pemimpin utama parti.”

Kenyataan itu juga menyebut gabungan gambar pemimpin utama dalam bahan berkempen yang dihadkan itu hanya membenarkan penggunaan gambar pengerusi perhubungan negeri, menteri besar, ketua menteri dan calon parti sahaja.

“Jawatan selain daripada yang dinyatakan adalah tidak dibenarkan,” menurut kenyataan tambahan SPR itu lagi.

Mohd Hashim berkata syarat baharu SPR itu bertujuan menyelaras semula dasar sedia ada bagi "memastikan aktiviti kempen oleh pihak-pihak yang bertanding berlangsung dengan aman,  lancar serta tidak mengelirukan pengundi."

Kenyataan SPR itu turut menyenaraikan beberapa syarat baharu seperti keperluan memperoleh permit pemasangan bahan kempen daripada Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing oleh parti yang bertanding.

Mohd Hashim turut meminta semua pihak termasuk pemimpin, penyokong parti politik serta calon, mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh badan itu, polis serta pihak berkuasa lain.

"SPR berharap semua aktiviti berkempen pada PRU-14 akan berjalan dengan lancar serta tidak mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

Langkaui tugas - Pembangkang


Sementara itu, Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada pemimpin de facto Anwar Ibrahim yang masih dipenjarakan, membidas langkah SPR memperkenal syarat tambahan tersebut dan menyifatkannya sebagai melangkaui tugas dan tanggungjawab utama badan berkenaan.

Beliau berkata SPR sepatutnya memastikan PRU 14 berjalan secara bebas, bersih dan adil, dan "bukannya menetapkan syarat-syarat yang berat sebelah serta tidak masuk akal."

"Ini adalah tindakan terdesak bagi mengharamkan penggunaan gambar Ketua Umum Pakatan Harapan, Saudara Anwar Ibrahim, dan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamed, sebagai bahan kempen PRU 14.

"Jelas sekali SPR bertindak melangkaui tugas dan tanggungjawab utama seperti mana yang termaktub dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu menjalankan pilihan raya, menyediakan dan menyemak daftar pemilih serta menjalankan kajian semula bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri-Negeri," kata Wan Azizah dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu.

Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik [DAP], pula menyifatkan syarat baharu itu sebagai langkah bagi membantu parti pemerintah, Barisan Nasional (BN), untuk terus kekal berkuasa.

Badan Pemantau Pilihan Raya telus dan adil,  Bersih 2.0 turut mempersoal penambahan syarat baharu dan berkata tindakan SPR itu agak mengejutkan kerana badan berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan serta penggunaan bahan berkempen dan bukan kepada isu yang lebih utama seperti percanggahan dalam daftar pemilih, undi pos, pos awal serta kerajaan sementara.

“Sebelum ini, dalam pilihan raya yang lepas, tiada sebarang masalah untuk memaparkan gambar individu lain dalam bahan kempen. Kenapa syarat tambahan ini diperlukan sekarang? Adakah poster, kain rentang ceramah dan aktiviti yang memaparkan pemimpin selain presiden, timbalan presiden dan calon akan diturunkan?,

“Adakah SPR akan turut menurunkan poster, skrin digital di Kuala Lumpur yang memaparkan imej Tengku Adnan Mansor (Setiausaha Agong UMNO) kerana beliau bukan calon di mana-mana kerusi Parlimen tetapi di Putrajaya?” kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.

Bersih 2.0 juga mendakwa, penguatkuasaan syarat baharu itu telah dibuat tanpa konsultasi dengan semua pihak dan hanya dilakukan pada saat-saat akhir sebelum penamaan calon yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

“Tindakan SPR itu adalah tidak adil serta melanggari kebebasan ekspresi parti politik dan kami mahu syarat-syarat tersebut ditarik balik,” kata Bersih.

Pengundi Malaysia akan menjalankan tanggungjawab mereka dalam PRU 14 pada 9 Mei depan yang ditetapkan sebagai hari pengundian, selepas tamat tempoh berkempen selama 11 hari.

PRU kali ini dijangka menyaksikan pertembungan sengit antara BN dan PH. PH terdiri daripada blok pembangkang seperti PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bersatu adalah parti baharu yang ditubuh dan diterajui Mahathir, Perdana Menteri Keempat Malaysia serta bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, manakala PAN merupakan parti baharu serpihan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.