Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Larang Badan Hak Asasi Manusia Pantau Pengundian

Hadi Azmi & Hareez Lee
2018.04.26
Kuala Lumpur, Malaysia
najibbnstory.jpg Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak memegang satu salinan manifesto kempen partinya di Kuala Lumpur, 7 April 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Khamis berjanji untuk meneruskan rancangannya memantau proses pengundian di seluruh negara pada 9 Mei, selepas ia mengumumkan bahawa agensi pilihan raya negara itu telah menolak permohonannya mendapatkan akreditasi bagi memantau pilihan raya umum itu.

Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata, ia akan mengerahkan kira-kira 50 pegawai dan sukarelawannya pergi ke kawasan-kawasan kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum bulan depan - seperti di Kuala Lumpur dan negeri-negeri Selangor dan Kelantan - meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menolak permohonannya untuk mendapatkan akreditasi.

"Dengan mengambil kita kepentingan awam, Suhakam akan meneruskan rancangan pemantauan pilihan raya ini," kata Razali dalam satu kenyataan, tanpa mengulas lanjut.

"Suhakam sukar memahami keputusan ini," kata Razali sambil memberitahu  bahawa Suhakam adalah sebuah badan yang berintegriti dan mendapat kekuatannya daripada mandat yang diperuntukkan di dalam undang-undang bagi melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia.

Penolakan permohonan itu bermakna wakil Suhakam tidak dibenarkan masuk ke pusat-pusat mengundi. Pegawai SPR tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan BeritaBenar yang meminta pengesahan berhubung perkembangan perkara itu.

Pengumuman Suhakam itu dibuat dua hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan peraturan kempen baru bagi pilihan raya itu termasuk pembangkang tidak boleh menggunakan gambar dua pemimpinnya yang paling dikenali - bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan - pada  poster-poster kempen dan sepanduk di kebanyakan kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga dikecam pembangkang pada akhir bulan lalu selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya negara, selepas dicadangkan oleh SPR. Pembangkang berkata bahawa perubahan kepada sempadan pilihan raya itu akan memberi kelebihan kepada gabungan parti pemerintah pada pilihan raya umum ke-14.

Kempen rasmi bermula pada Sabtu dengan parti-parti politik dan gabungan parti yang bersaing untuk 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi bagi 12 dewan undangan negeri. Hampir 15 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk mengundi.

Eric See To, timbalan pengarah komunikasi strategik untuk Barisan Nasional (BN), parti pemerintah Malaysia, berkata, SPR sepatutnya meluluskan permohonan Suhakam.

"Saya fikir mereka harus  membenarkannya, kecuali mereka tidak pernah memberi kebenaran sebelum ini atau sekiranya kumpulan NGO lain telah diberikan kebenaran," katanya kepada BeritaBenar dalam satu teks pesanan.

Peraturan baru

Pada  Selasa, SPR mengeluarkan garis panduan baru yang menyatakan bahawa hanya gambar presiden  dan timbalan presiden parti, atau setaraf dengan mereka, boleh digunakan pada bahan-bahan kempen, kecuali gambar calon di kawasan pilihan raya yang ditandinginya.

Garis panduan baru itu bermakna gambar Perdana Menteri Najib Razak, yang mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, boleh dipaparkan pada bahan-bahan kempen tetapi bukannya dua pemimpin utama pembangkang, Mahathir dan Anwar.

Mahathir, pilihan pembangkang untuk menjadi perdana menteri sekiranya ia memenangi pilihan raya, mengetuai parti Bersatu. Tetapi, Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada awal bulan ini telah membatalkan pendaftaran  Bersatu sebagai sebuah parti.

Bersatu dan rakan-rakan lain dalam pakatan Pakatan Harapan - yang permohonan mereka untuk mendaftarkan pakatan itu turut ditolak oleh RoS - kemudian mengumumkan bahawa mereka akan bertanding dalam pilihan raya di bawah logo dan sepanduk parti Anwar, PKR.

Tetapi, Anwar yang sedang dipenjarakan tidak memegang jawatan presiden atau timbalan presiden parti.

Pada Rabu, Bersih 2.0, sebuah badan pemantau pilihan raya yang telus dan adil peringkat akar umbi,  mempersoalkan keperluan dan rasional di sebalik garis panduan kempen yang baru itu, dengan menyatakan bahawa terdapat isu-isu yang lebih besar bagi SPR untuk diselesaikan.

"Memandangkan terdapat banyak isu-isu besar pilihan raya yang memerlukan perhatian segera Suruhanjaya Pilihan Raya, adalah mengejutkan apabila SPR memilih untuk memberi tumpuan kepada mengawal selia bahan-bahan kempen parti-parti politik," katanya. "Kenapa syarat tambahan ini diperlukan sekarang?

Najib ramal 'keputusan yang lebih baik'

Sementara itu, dalam temu bual dengan Bloomberg News pada Rabu, Perdana Menteri Najib meramalkan "keputusan yang lebih baik" dalam pilihan raya tahun ini, dengan menyatakan pesaing politiknya dan bekas mentor, Mahathir, yang berusia 92 tahun itu akan “sukar diterima" pengundi .

Pada 2013, gabungan parti BN tewas undi popular buat pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Tetapi, BN memenangi dengan tipis majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Najib berkata, beliau tidak meramalkan "majoriti besar" tetapi partinya "cukup optimis" mengenai kemungkinan keputusan itu.

"Kami yakin dengan keputusan yang baik," kata Najib, 64, kepada Bloomberg. "Tiada pergerakan untuk menukar kerajaan. Saya tidak melihatnya. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.