SPRM sahkan siasatan atas salahguna RM600 bilion dana awam

Menurut sumber bekas PM Muhyiddin Yassin antara individu berprofil tinggi yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2022.12.08
Kuala Lumpur
SPRM sahkan siasatan atas salahguna RM600 bilion dana awam Penunjuk perasaan memakai pakaian hitam bersama sepanduk mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan atas kegagalan menangani isu pandemik COVID-19 bergerak secara beramai-ramai ke Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, 31 Julai, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dua lagi bekas menteri dari kabinetnya akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ringgit yang diperuntukkan bagi pandemik COVID-19, menurut sumber Suruhanjaya itu pada Khamis.

Awal minggu ini, Perdana Menteri baru Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa semakan yang dijalankan mendapati ada berlakunya beberapa pelanggaran prosedur berkaitan dengan pengurusan dana pandemik semasa Muhyiddin memimpin negara.

"Kami akan memanggil tiga bekas menteri termasuk bekas Perdana Menteri bagi membantu siasatan. Kami akan menyiasat dakwaan bahawa RM600 bilion (AS$136.4 bilion) tersebut telah diselewengkan.

"Memanggil semua pihak yang terlibat untuk membantu siasatan adalah sesuatu yang normal kita lakukan dalan proses siasatan. Jadi dalam kes ini mereka yang berkaitan adalah Muhyiddin Yassin, Tengku Zafrul Aziz iaitu bekas Menteri Kewangan, dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin," kata sumber yang enggan namanya didedahkan kerana sensitiviti isu tersebut kepada BenarNews.

Dalam pada itu, SPRM turut mengeluarkan satu kenyataan rasmi pada hari yang sama, yang antara lain mengesahkan bahawaa satu kertas siasatan telah dibuka mengenai perkara tersebut tanpa menamakan siapa yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Agensi anti-rasuah berkenaan turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat atau dokumen yang relevan supaya tampil membantu siasatan.

"SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional dari semua sudut berkaitan isu ini.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat tersebut.

"Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen tersebut," kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan SPRM pada Khamis itu.

Pada Selasa, Anwar berkata pentadbirannya akan mengkaji semula projek bernilai berbilion ringgit yang telah diluluskan oleh kerajaan Muhyiddin, dengan mendakwa peruntukan yang diberikan tidak mengikut prosedur yang sewajarnya.

Beliau mendakwa bahawa semasa era Muhyiddin memerintah negara dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, bekas perdana menteri itu telah memberi kontrak kepada keluarga dan yang mempunyai kaitan dengan yang berkuasa.

Sehari sebelum itu, Anwar mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat pelanggaran prosedur dalam proses meluluskan dana RM600 bilion oleh Muhyiddin, dengan Perdana Menteri itu memberitahu akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk meneliti sejauh mana penyelewengan, rasuah atau salah laku berhubung kes berkenaan.

Muhyiddin bagaimanapun telah menafikan dakwaan berkenaan dan berkata beliau tidak takut untuk disiasat kerana tidak menyalahgunakan dana kerajaan.

Tengku Zafrul pula pada Khamis turut menyatakan pendirian serupa, dan berkata bahawa beliau bersedia untuk dipanggil SPRM.

Namun bekas menteri kewangan itu berkata setakat ini masih belum menerima sebarang panggilan daripada agensi terbabit.

"Saya masih belum menerima sebarang panggilan daripada SPRM dan sekiranya dipanggil, saya pastinya akan memberikan kerjasama kepada SPRM.

"Dan yang paling penting, tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan dan saya lebih daripada bersedia untuk membantu siasatan SPRM," kata beliau kepada wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur.

Zafrul, yang kini memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, bagaimanapun berkata beliau tidak mahu memberikan komen lanjut berkenaan perkara tersebut kerana beranggapan bahawa "tidak ada isu".

Perubahan

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu ketelusan dan anti-rasuah, dalam satu kenyataan menggesa supaya Kerajaan melaksanakan reformasi institusi terhadap SPRM sebelum siasatan yang bebas dapat dijalankan terhadap isu skandal dana RM600 bilion itu.

Badan tersebut meminta Kerajaan menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan digantikan dengan individu lain yang terbukti cemerlang dalam membanteras rasuah.

"Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah banyak kali memberikan indikasi bahawa beliau meletakkan kepentingan dirinya di atas tugasan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM," kata kenyataan dikeluarkan oleh C4.

"Pengumuman siasatan oleh SPRM baru-baru ini diterima dengan penuh skeptik. Ia perlu diambil kira bahawa sasaran siasatan tersebut (kerajaan Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin dan juga wang yang didakwa telah diberikan kepada UMNO) memerintah negara ketika isu tersebut mula didedahkan sebelum Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-15 diadakan.

"Persoalannya adalah, mengapakah siasatan tidak dijalankan ketika itu dan hanya dimulakan sekarang ketika Perikatan Nasional tidak lagi menjadi kerajaan?".

Sementara itu, penganalisis politik Mohd Aziuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia percaya bahawa tindakan kerajaan baharu untuk menyiasat skandal berkenaan adalah untuk mencari keadilan dan bukan untuk mencari kesalahan semata-mata.

"Dalam kes 600 bilion ringgit itu, sekiranya terbukti, mereka perlu membawa yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Saya percaya orang ramai mahu tahu bagaimana Perikatan Nasional mampu berbelanja besar semasa Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Dari mana mereka mendapat dana dan adakah ia berkaitan dengan dana RM600 itu?" kata Azizudin.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut mempunyai pandangan serupa.

"Politik selalunya adalah mengenai persepsi orang ramai, tetapi persepsi selalunya berbeza-beza.

"Mereka yang lebih progresif dan reformis akan berpandangan bahawa siasatan sebegini terhadap rasuah dan penyelewengan semasa pemerintahan Perikatan Nasional adalah sesuatu yang sepatutnya sudah dibuat dari dahulu terutama sekali selepas melihat bagaimana jentera pilihan raya Perikatan Nasional yang begitu besar dan kuat. Jadi mereka akan memuji tindakan Anwar.

"Akan tetapi, bagi penyokong Perikatan Nasional yang konservatif dan percaya bahawa ia tidak mungkin berbuat perkara salah dan merupakan parti yang paling bersih, sudah tentu bagi mereka apa yang Anwar mahu siasatan dibuat ini dilihat sebagai satu bentuk 'witch hunt'.

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke -10 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah setelah berjaya mengumpul sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan. Dengan kerjasama UMNO serta sokongan dari parti-parti dan gabungan parti di Sabah dan Sarawak kerajaan campuran pimpinan Anwar terbentuk pada 24 November, 2022.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.