SPRM Tahan Dua Pegawai Kanan Sabah, Rampas Wang Tunai Lebih RM52 Juta

Hata Wahari
2016.10.06
Kuala Lumpur
161006-my-sprm-sabah620.jpg Sejumlah wang dan barang-barang kemas yang telah di rampas di pamerkan di pejabat SPRM di Kota Kinabalu, Oktober 5, 2016.
[Ihsan SPRM]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai bernilai lebih RM52 juta serta membeku akaun bank yang mempunyai simpanan wang lebih RM60 juta daripada dua pegawai kanan Jabatan Bekalan Air Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek bekalan air di Sabah.

“Ini adalah jumlah wang tunai yang paling banyak telah kami rampas dalam sejarah kami sebagai SPRM (waktu itu dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah),” Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM yang baru, Azam Baki, memberitahu BeritaBenar ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, dua pegawai kanan berusia 51 dan 54 tahun itu ditahan di pejabat masing-masing pada Selasa kerana disyaki memonopoli dan memberikan projek yang dikendalikan jabatan itu kepada sanak saudara mereka.

Kedua-dua pegawai yang mengendalikan projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010 dan telah memonopoli kesemua projek berkenaan, katanya.

Agensi pencegahan rasuah itu juga menahan dua lagi individu pada Rabu, iaitu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 55 tahun dan akauntan berusia 50 tahun.

Majistret Stephanie Sherron Abbie dari Mahkamah Kota Kinabalu mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap keempat-empat mereka yang di wakili peguam  Chau Chin Tang, Roland Cheng dan Peter Marajin.

Gagal beri khidmat nasihat

Dalam pada itu peguam Peter Marajin ketika dihubungi oleh BeritaBenar memberitahu, beliau dan rakan peguam yang lain tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guaman mereka sepanjang tempoh tahanan reman.

Peter berkata, SPRM semasa membuat permohonan kepada Majistret memberitahu, mereka memerlukan masa untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan dengan kes tersebut.

“SPRM pada permohonan itu memohon reman dengan mengemukakan pelbagai bukti seperti rampasan wang tunai, akaun bank dan barang-barang mewah bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah  Seksyen 17 (a) meminta dan menerima rasuah dan di bawah Seksyen 18 mengemukakan tuntutan palsu,’’ katanya.

Beliau bagaimanapun, menegaskan yang pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada SPRM untuk membolehkan barisan peguam mengadakan pertemuan dengan anak guamannya bagi memberi khidmat nasihat kepada mereka.

Lagi ditemui

Sementara itu, pada Khamis, sebanyak RM750,000 lagi wang tunai telah ditemui oleh SPRM, selepas badan itu membuka tiga peti simpanan bank milik isteri seorang daripada suspek yang ditahan itu, menurut laporan media tempatan.

Azam berkata pihaknya juga sedang menyiasat aset-aset lain termasuk wang tunai yang dimiliki oleh kedua-dua pengawai kanan tersebut dipercayai disimpan di negara jiran.

Beliau memberitahu, wang tunai yang dirampas daripada pegawai berjawatan pengarah itu berjumlah RM45 juta, manakala RM7.5 juta lagi dirampas daripada pegawai yang berjawatan timbalan pengarah.

“SPRM turut membuka satu daripada enam peti simpanan milik timbalan pengarah tersebut di beberapa buah bank yang mengandungi wang tunai RM2.5 juta. Selebihnya akan dibuka dengan bantuan bank dalam masa terdekat,’’ katanya pada BeritaBenar pada Rabu.

Selain itu, SPRM turut merampas 127 geran tanah, sembilan buah kenderaan mewah iaitu Range Rover, Audi, BMW, Ford Ranger, Mercedes Benz, Mazda, BMW, Lexus, Volvo, jam tangan berjenama, barang-barang kemas serta 94 beg tangan berjenama mewah milik isteri kedua-dua pegawai berkenaan.

Menurut Azam, rampasan wang jutaan ringgit itu melibatkan beberapa lokasi seperti di rumah, bank dan pejabat di mana setiap daripada mereka menyimpan wang di sekurang-kurangnya tiga lokasi iaitu peti besi, rumah, pejabat.

Azam memberitahu SPRM telah memulakan siasatan sejak akhir tahun  2015 selepas menerima aduan daripada beberapa kontraktor yang mendakwa bahawa kebanyakan kontrak di jabatan tersebut dimonopoli oleh seorang kontraktor.

“Selama SPRM menjalankan risikan dan pemerhatian ke atas kontraktor terbabit, (agensi) mendapati kontraktor itu mempunyai pertalian saudara dengan pegawai kanan berkenaan dan dari situ penyiasatan ditumpukan pula kepada pegawai kanan.

“Pelbagai maklumat kami perolehi dalam tempoh penyiasatan termasuklah pegawai kanan terbabit hidup mewah yang tidak mampu dinikmati oleh seorang pegawai kanan kerajaan,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi Khamis.

Beliau memberitahu, kedua-dua pegawai kanan itu di percayai telah memulakan kegiatan mereka sejak tahun 2010 apabila kerajaan Sabah menerima peruntukan besar dari kerajaan pusat untuk memulakan projek-projek untuk meningkatkan infrastruktur bekalan air di negeri itu.

Tindakan pegawai kanan itu yang memberikan kontrak kepada syarikat-syarikat tertentu yang dimiliki oleh ahli keluarga, katanya, telah menyebabkan banyak kontraktor di Sabah tidak mendapat kerja berkaitan jabatan itu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman semasa mengulas mengenai penahanan dua pegawai kanan kerajaan negeri itu berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula sistem dan prosedur dalam mengeluarkan tender dan mengagihkan projek di semua jabatan negeri itu.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengenal pasti kelemahan yang telah membuka peluang kepada yang terbabit yang berjawatan awam untuk mengambil rasuah serta menyalahgunakan kuasa.

"Saya juga mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya terus menjaga integriti jabatan masing-masing dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya dalam satu kenyataan media.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.