Pakar Mahu Lebih Tindakan Anti-Rasuah

Muzliza Mustafa
2016.10.14
Kuala Lumpur
161014-my-corruption-TI-M-620.jpg Peserta perhimpunan BERSIH 4 yang terdiri dikalangan rakyat Malaysia memegang sepanduk "Bersatu Menentang Koruptor" di Town Hall di Bandaraya Sydney, Australia, 28 Ogos 2015.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melanjutkan siasatannya terhadap mereka yang berprofil tinggi, tetapi menghadapi pelbagai cabaran dalam berbuat demikian, menurut pakar undang-undang.

Pakar mengulas kenyataan oleh Transparency International Malaysia (TI-M) awal minggu ini yang menggesa agensi anti-rasuah Malaysia untuk melanjutkan "tindakan keras yang agresif" baru-baru ini terhadap "kes rasuah ahli politik berprofil tinggi."

"Mereka sedang membuat kerja yang baik tetapi perlu melakukannya dengan lebih lagi," kata Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara yang kini mengetuai Yayasan Penjagaan Komuniti  Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang terlibat dalam membanteras jenayah di negara itu.

Undang-undang tidak memandang status ... Jika seseorang melakukan jenayah, mereka perlu menanggung risikonya. Apa-apa perbuatan yang boleh merosakkan ekonomi, keselamatan dan keamanan negara perlu dihentikan, " kata Musa kepada BeritaBenar.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Kriminologi, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy turut bersetuju dengan pandangan berkenaan.

"Sistem keadilan mestilah adil," Sundramoorthy memberitahu BeritaBenar.

Mengenai gesaan TI-M untuk menyiasat ahli politik, beliau berkata: "Saya ingin mengatakan orang atasan dan bukan hanya memberi fokus terhadap ahli-ahli politik, kerana orang-orang ini boleh menjadi ahli politik, ahli perniagaan, pegawai-pegawai awam, [atau] individu terkemuka, dan tindakan hendaklah diambil tanpa mengira siapa mereka. "

Tetapi kes-kes seperti ini "boleh menjadi lebih mencabar dan kompleks, dan amat sukar untuk mendakwa tanpa cukup bukti," katanya.

"SPRM memerlukan lebih ramai pakar dan sumber yang cukup untuk menyiasat kes-kes berprofil tinggi ini. Mereka mestilah dilengkapi dengan baik dan dapat menjalankan tugas mereka tanpa gangguan dan tanpa rasa takut atau pilih kasih, " kata Sundramoorthy.

SPRM tidak boleh dakwa

Sebuah kajian awam yang dijalankan oleh TI-M pada 2014 mendapati rakyat Malaysia memberi penilaian bahawa parti politik merupakan sebuah badan di Malaysia yang paling banyak menerima rasuah,  diikuti polis, dan penjawat awam.

Namun hanya dua daripada 670 orang yang ditahan oleh SPRM pada tahun 2015 adalah ahli politik, dan badan rasuah itu baru sahaja menangkap dua lagi setakat 2016, kata satu kenyataan TI-M.

"Tindakan agresif yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai rasuah dalam sektor awam perlu diperluaskan kepada rasuah ahli politik berprofil tinggi," kata TI-M Presiden Akhbar Satar dalam kenyataan itu.

"[Dalam] meningkatkan sokongan dan keyakinan orang ramai, SPRM perlu secara serius membasmi rasuah dan mengukuhkan komitmennya untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional tanpa rasa takut atau pilih kasih. Mereka tidak harus membenarkan sesiapapun mengelak daripada menghadapi siasatan yang sedang dijalankan. Tiada siapa yang boleh terkecuali daripada tindakan undang-undang, " katanya.

Kenyataan itu menegaskan bahawa badan anti-rasuah itu tidak dilengkapi dengan kuasa untuk mendakwa, dan bahawa kuasa itu hanya peruntukkan kepada Peguam Negara.

"Oleh itu, Peguam Negara perlu adil dalam membuat keputusan semata-mata dan bukannya memilih. Peranan beliau seharusnya tidak terlibat dalam politik dan tidak ada yang akan dapat  meragui keputusan yang dibuat demi kepentingan negara," katanya.

SPRM boleh menyiasat sesiapa saja: Low

Senator Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia, berkata badan anti-rasuah Malaysia itu boleh menyiasat sesiapa yang ia mahu dengan membuka dan menyiasat kes-kes berdasarkan aduan yang berasas.

SPRM mesti mendakwa individu berdasarkan kesalahan mereka, bukan jawatan mereka, katanya.

"Kita tidak menjalankan tugas bukan hanya sekadar menunjukkan statistik bahawa dua ahli [politik] ditangkap pada masa lalu. Sesiapa yang  bersalah, sama ada yang berkedudukan tinggi atau orang biasa, perlu menghadapi undang-undang," Low berkata kepada BeritaBenar.

Peguam Negara Malaysia, Mohamed Apandi Ali pada Januari lepas, membersihkan nama Najib daripada potensi salah laku dan mengarahkan siasatan ditutup terhadap perdana menteri yang didakwa terlibat dalam kes syarikat dana negara 1Malaysia Development Berhad.

Apandi menyatakan bahawa "tiada kesalahan jenayah" yang dilakukan Najib.

SPRM semasa berada di bawah Abu Kassim telah menjalankan siasatan melibatkan skandal 1MDB dan menurut laporan bulan lepas oleh Wall Street Journal, agensi itu telah meminta Peguam Negara untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.

Pada Ogos lepas, Dzulkifli Ahmad, yang mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara, telah dilantik menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), baru-baru ini  telah memfailkan tindakan undang-undang sivil untuk mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam aset, yang didakwa diperolehi melalui dana yang disalurkan dari 1MDB dan diubah secara haram menerusi beberapa institusi kewangan Amerika.

Najib telah dikaitkan dengan skandal itu sejak Wall Street Journal melaporkan pada Julai 2015 bahawa beratus-ratus juta dolar milik 1MDB telah dimasukkan kedalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.







Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.