Tiga Pegawai SPRM Ditahan Syaki Songlap Wang RM16 Juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berhubung tangkapan tiga pegawai SPRM.
Noah Lee & Nisha David
2021.09.20
Kuala Lumpur
Tiga Pegawai SPRM Ditahan Syaki Songlap Wang RM16 Juta Penyokong bekas perdana menteri Najib Razak berkumpul untuk menunjukkan sokongan mereka di luar Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 3 Julai, 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan wang tunai berjumlah jutaan ringgi dalam urusan kes melibatkan seorang bekas ketua jabatan, kata agensi itu pada Isnin.

Kesemua mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah tahanan reman selama enam hari mulai 14 September lepas, bagi membantu siasatan kehilangan wang tunai berjumlah RM15.9 juta (AS$3.8 juta), yang dirampas daripada bekas pengarah perisikan kerajaan pada 2018.

"SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawai Suruhanjaya ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

"SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku," kata badan anti-rasuah itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Isnin.

Walaupun kenyataan itu tidak menyebut secara spesifik mengenai kes yang dimaksudkan, sumber dalaman yang bercakap dengan BenarNews mengesahkan bahawa wang tersebut adalah barang kes dalam siasatan terhadap Hasanah Abdul Hamid, yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Negara atau dikenali sebagai MEIO.

Sumber juga mendedahkan bahawa ketiga-tiga suspek itu adalah anggota "pasukan khas" SPRM yang ditugaskan menyiasat kes terhadap Hasanah pada 2018.

"Ya, mereka telah ditangkap oleh SPRM sendiri kerana disyaki terlibat dalam penggelapan wang tunai berjumlah kira-kira RM16 juta yang dirampas dalam kes Hasanah," kata sumber itu.

Hasanah telah ditangkap SPRM pada Ogos 2018 kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dana pilihanraya Malaysia, di mana operasi yang dijalankan dalam siasatan kes tersebut telah menemukan wang tunai bernilai jutaan dolar Amerika Syarikat di beberapa lokasi di seluruh negara.

Wanita itu kemudiannya telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018 atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM50 juta (AS$12 juta).

Akan tetapi, pada 12 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Hasanah tanpa membebaskannya (DNAA) daripada pertuduhan tersebut, selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka tidak mahu meneruskan kes itu.

Perintah DNAA bermaksud Hasanah masih boleh dikenakan dakwaan semula sekiranya terdapat bukti baru dalam kes berkenaan.

SPRM dalam kenyataannya itu juga berkata, "Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan."

Kenyataan media oleh SPRM itu dikeluarkan selepas khabar angin mengenai penangkapan ketiga-tiga pegawai tersebut telah tular di media sosial, termasuk dakwaan bahawa tiga mereka adalah pegawai kanan SPRM yang mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki.

Hangat di media sosial

Kes kehilangan wang tunai dalam kes Hasanah mula menjadi hangat di sosial media selepas sebuah blog bernama Edisi Siasat mengeluarkan artikel mengenai tiga pegawai SPRM ditahan apabila Hasanah, yang ingin menuntut semula wang yang dirampas itu, membuat laporan polis selepas mendapati sebahagian daripadanya telah hilang.

Blog itu mendakwa bahawa kes tersebut bagaimanapun telah disiasat secara dalaman oleh SPRM sendiri kerana polis didakwa tidak berani untuk menjalankan siasatan.

Polis bagaimanapun menafikan bahawa mereka menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan wang tunai berkenaan, dan memberikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu.

"Polis DiRaja Malaysia ingin mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima oleh PDRM berhubung kejadian ini.

"PDRM ingin menasihati orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia, Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan pada awal Isnin.

Siasatan terhadap tiga pegawai SPRM itu yang dijalankan agensi sama turut mendapat perhatian ahli politik pembangkang, yang mempersoalkan kewajaran tindakan berkenaan ketika sidang Parlimen pada Isnin.

Ahli Parlimen Puchong dari Pakatan Harapan, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata bahawa siasatan oleh SPRM ke atas pegawainya sendiri boleh mengundang pelbagai spekulasi buruk terhadap badan anti-rasuah itu.

"Takkan kita ada keadaaj SPRM siasat SPRM sendiri. Kenapa ia berlaku. Adakah benar wang ini, tangkapan ini ada hubungan dengan pegawai kanan SRPM?

“Bagaimana ia boleh disiasat SPRM. Ini satu perkara yang kita lihat dan adakah ini akan menjadi satu kes yang mana nasihat diberikan supaya ada siasatan dalaman.

"Kes ini dihadapkan ke mahkamah. Barang kes yang sudah melalui proses mahkamah boleh lesap dan SPRM keluarkan kenyataan jangan buat spekulasi.

“Kalau ada kenyataan tidak ada butir-butir, rakyat akan buat spekulasi kerana SPRM yang gagal memberikan butir-butir," kata Gobind, seperti dipetik oleh akhbar tempatan Berita Harian.

Bukan kes pertama

Kes terbaharu ini bukan yang pertama melihat SPRM terpalit dengan skandal membabitkan pegawai sendiri.

Pada 15 Jun lalu, seorang pegawai SPRM didakwa bersubahat dengan seorang lagi individu, menerima wang tunai sebanyak RM100,000 bagi melindungi seorang suspek yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pada April, dua pegawai SPRM merupakan antara 12 pegawai penguatkuasa yang ditahan Polis Malaysia kerana disyaki terlibat dengan ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee yang kini sedang diburu polis.

Liow, 33, dikehendaki kerana disyaki terlibat aktiviti pengubahan wang haram serta sindiket jenayah terancang, dan dikatakan mempunyai hubungan dengan ketua kongsi gelap Hong Kong Wan Kuok-Koi, atau dikenali sebagai Broken Tooth.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.