SPRM Lantik Dua Timbalan Pesuruhjaya Baru

A. Ariffin
2016.10.04
161004-my-sprm-620 Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merampas pelbagai peralatan daripada pejabat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur, 8 Julai 2015.
AFP

Badan anti-rasuah Malaysia yang menyiasat skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri Najib Razak pada Selasa melantik dua Timbalan Ketua Pesuruhjaya bagi bahagian Operasi dan Pencegahan yang baru.

Pelantikan itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan media bertujuan menggantikan kekosongan sejak Ogos lepas, jawatan dua timbalan ketua pesuruhjaya sebelum ini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Azam Baki, 53, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) menggantikan Mohd Shukri Abdull, 56, yang bersara wajib secara rasmi berkuatkuasa pada 3 Oktober.

Manakala Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil, 55, pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) bagi menggantikan Mustafar Ali yang dipindahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia sebagai Ketua Pengarah, menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pelantikan tersebut berkuat kuasa pada Selasa 4 Oktober 2016, menurut kenyataan media SPRM itu.

Bukan rombakan pertama

SPRM sebelum ini telah dirombak iaitu semasa siasatan skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri Najib Razak sedang berjalan.

Ia melibatkan tiga pegawai kanan badan itu yang telah memberi sumbangan besar kepada SPRM lebih daripada tiga dekad.

Kepimpinan SPRM di bawah Abu Kassim Mohamed telah diambil alih oleh Dzulkifli Ahmad, yang mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara.

Mustafar pula dipindahkan ke Jabatan Imigresen pada Ogos lepas, dengan SPRM mengeluarkan kenyataan  media berasingan yang berkata, Mohd Shukri akan menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan sebelum bersara pada Oktober.

Suruhanjaya itu semasa berada di bawah Abu Kassim telah menjalankan siasatan melibatkan skandal 1MDB dan menurut laporan bulan Jun oleh Wall Street Journal, agensi itu telah meminta Peguam Negara memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.

Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) memuji suruhanjaya itu  atas “keberaniannya” menyiasat rasuah 1MDB.

FBI juga telah bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman AS (DOJ), yang baru-baru ini telah memfailkan tindakan undang-undang sivil untuk mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam aset, yang didakwa diperolehi melalui dana yang disalurkan dari 1MDB dan diubah secara haram menerusi beberapa institusi kewangan Amerika.

Najib telah dikaitkan dengan skandal itu sejak Wall Street Journal melaporkan pada Julai tahun lepas, bahawa beratus-ratus juta dolar milik 1MDB telah dimasukkan kedalam akaun bank peribadi perdana menteri itu.

Najib menegaskan beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.

Pada Jun, Wall Street Journal, memetik sumber-sumber yang mengetahui mengenai perkara itu, melaporkan keputusan Abu Kassim untuk meletakkan jawatan adalah disebabkan daripada tekanan daripada Najib.

Bagaimanapun, Abu Kassim, menurut laporan agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] berkata, beliau tidak meletak jawatan kerana tekanan, sebaliknya beliau telah meminta untuk ditamatkan kontraknya lebih awal untuk membolehkannya mengambil peluang lain.

Najib telah dikritik oleh para pengkritik tahun lalu selepas beliau melantik Apandi Ali  menggantikan Peguam Negara Abdul Gani Patail, yang ketika itu sedang menyiasat mengenai kemelut 1MDB.

Amanah dan tanggungjawab

Sementara itu, semasa dihubungi, Azam berkata, kenaikan pangkat tersebut merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa di dalam negara.

Perkembangan teknologi dan media massa menyebabkan kes-kes jenayah rasuah di negara menjadi rumit dan memerlukan pelbagai teknik terkini untuk menghidu kegiatan jenayah tersebut, katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

“Tugasan saya adalah menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas dan berkesan, memandangkan kes rasuah di alaf ini lebih kompleks ekoran perkembangan teknologi dunia.

“Penjenayah rasuah sering menggunakan teknik baru bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Walaubagaimanapun, saya dan warga penguatkuasa SPRM akan terus melipat gandakan usaha  membawa penjenayah ke muka pengadilan,” tambah beliau lagi.

Azam berkata, tugas barunya juga memerlukan beliau sentiasa memastikan pegawai penguatkuasa SPRM mempunyai kemahiran yang tinggi.

Pakar Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata dua pelantikan baru itu merupakan calon-calon yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam memerangi jenayah rasuah.

“Pada pandangan saya, pelantikan ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi SPRM selain memastikan ia berfungsi dengan lancar dan efisien,” katanya kepada BeritaBenar sambil menambah pelantikan itu juga bagi memastikan badan tersebut bebas daripada pengaruh luar.  


Muzliza Mustafa turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.