SUARAM: Malaysia Mengehadkan Perbezaan Pendapat dan Kebebasan Bersuara

Hata Wahari
2016.06.17
Kuala Lumpur
160617-my-suaram620 Para peguam berarak ke Bangunan Parlimen Malaysia dalam satu perhimpunan yang mahu kerajaan memansuhkan Akta Hasutan di Kuala Lumpur, 16 Oktober 2014.
AFP

Di tengah-tengah tumpuan antarabangsa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB], Malaysia mengambil langkah tegas untuk mengehadkan perbezaan pendapat dan kebebasan bersuara di negara itu, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia terkemuka tempatan dalam satu laporan minggu ini.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dalam laporan tahunan Hak Asasi Manusia 2015 yang bertajuk 'Hak Sivil dan Politik' berkata, Malaysia secara berterusan menghukum mereka yang mempunyai perbezaan pendapat dan mengehadkan kebebasan suara dan pendapat yang sekaligus mendorongnya menjadinya "sebuah negara autokratik".

Laporan tahunan setebal 152 halaman yang dikeluarkan pada Rabu lalu berkata, selain daripada pencabulan hak asasi manusia bermotifkan politik, sepanjang tahun lepas juga menyaksikan pelanggaran hak asasi manusia yang timbul daripada dakwaan rasuah, salah guna kuasa, sikap tidak peduli dan tidak menghormati maruah manusia.

Pelbagai tindakan keras telah diambil pemerintah negara terhadap pengkritik, ahli politik pembangkang serta pembela hak asasi manusia sepanjang tahun lalu.

Laporan itu juga menyebut berlakunya peningkatan penyeksaan terhadap suspek pengganas dan tahanan lain termasuk dakwaan sering dipukul, diugut dengan pistol, berlaku keganasan seksual semasa berada di dalam tahanan atau lokap polis, yang disedari oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.

‘Bagaimanapun Polis Diraja Malaysia tidak membuat sebarang perubahan atau menerima pakai saranan bagi menangani isu-isu berkenaan,” kata laporan itu.

Selain itu, laporan itu juga menyebut aktivis, petugas media dan pemberi maklumat yang membantah, mendedahkan skandal 1MDB atau menggesa peletakkan jawatan Perdana Menteri Najib Razak, telah ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau akta-akta lain berkaitan.

Kegawatan politik semasa Malaysia dibawah kerajaan Barisan Nasional, yang menerajui pemeritahan negara telah menimbulkan cabaran yang serius terhadap pembela hak asasi manusia samada sivil, politik, ekonomi, sosial atau budaya.

"Tanpa mengira kecenderungan politik, satu langkah segera perlu diambil dalam membetulkan pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan," kata laporan itu.

Selain itu, laporan berkenaan juga menegaskan yang pasukan polis memerlukan pembaharuan dalam menjadikannya lebih telus serta lebih bertanggungjawab selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Kebebasan bersuara

Mengenai kebebasan bersuara, SUARAM dalam laporannya itu berkata bahawa sebanyak 220 kes di bawah Akta Hasutan 1948 berjaya didokumentasikan sepanjang tahun lepas, diikuti dengan 37 kes melibatkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).

Menurut laporan itu, sebahagian besar daripada kes-kes tangkapan di bawah Akta Hasutan melibatkan pembela hak asasi manusia dan ahli politik pembangkang manakala mereka yang ditahan dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia pula terdiri daripada mereka yang didakwa menyebarkan "berita palsu dan khabar angin" di media sosial.

Laporan itu juga menekankan, penahanan berpanjangan, penafian jaminan serta penggunaan penyeksaan terhadap individu yang ditahan di bawah Akta Hasutan turut berlaku sepanjang tahun lepas.

“Kebebasan berhimpun pula mencatatkan sebanyak 224 insiden penyiasatan, penangkapan dan/atau tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pelbagai seksyen di bawah Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram, telah dilaporkan berlaku sepanjang tahun lepas,” kata laporan itu.

Laporan itu menyentuh mengenai pencari suaka dan pelarian yang hanyut di Laut Andaman serta pertemuan kubur cetek di kem-kem haram di Wang Kelian, Perlis dengan kerajaan Malaysia menolak hak-hak pendaratan mereka adalah sesuatu tingkah yang keterlaluan.

"Keputusan Perdana Menteri untuk menerima 3,000 pelarian Syria, bukanlah satu titik perubahan dalam mengiktiraf pencari suaka dan pelarian di Malaysia,”

Selain itu laporan berkenaan juga menyebut mengenai keadilan dan kebebasan dalam pilihan raya; badan kehakiman; gender dan seksualiti; kebebasan beragama serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [Suhakam].

‘Pelapor PBB’

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SUARAM Sevan Doraisamy ketika dihubungi BeritaBenar menggesa supaya kerajaan Malaysia membenarkan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] dipanggil untuk menyiasat dan melaporkan mengenai pelanggaran hak asasi manusia di negara berkenaan.

Gesaan itu bukan yang pertama kali dibuat oleh SUARAM.

Sevan berkata, siasatan oleh pelapor PBB itu boleh membawa kepada "penemuan konkrit" yang boleh dipercayai, di mana kerajaan dan masyarakat sivil tidak dapat menafikan pencabulan hak asasi manusia sebagai satu cerita dongeng.

"Dengan menjemput Pelapor Khas untuk menjalankan kerja rasmi, kerajaan membenarkan seorang pakar bebas dari PBB menjalankan penilaian bebas bagi menentukan keadaan hak asasi manusia semasa di negara ini," tambah beliau.

Sevan juga mencadangkan kerajaan Malaysia menandatangani dan meratifikasi lebih banyak konvensyen antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia hanya menandatangani tiga perjanjian konvensyen utama hak asasi manusia iaitu Konvensyen Hak Kanak-kanak PBB, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).

"Kita mempunyai enam lagi perjanjian konvesyen untuk ditandatangani iaitu berkaitan penyeksaan dan hukuman tidak berperikemanusiaan serta kekejaman,  hak-hak sivil dan politik, perlindungan hak kepada pekerja asing dan keluarga mereka dan lain-lain," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.