Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Boleh Bertahan Dengan Bajet Kecil: Menteri

Amir Hadi Azmi
2016.06.23
Kuala Lumpur
160623-my-human-right-620 Razali Ismail, semasa gambar ini diambil berperanan sebagai Duta Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke Myanmar, akan mengetuai SUHAKAM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, 15 Disember 2005.
AFP

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sepatutnya boleh berfungsi dengan lapan pesuruhjaya baru walaupun bajetnya dikurangkan, kata menteri yang bertanggunjawab bagi hak asasi manusia pada Khamis.

"Saya tidak melihatnya sebagai satu masalah," kata Paul Low,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kepada BeritaBenar. "Tujuan bajet dikurangkan adalah selaras dengan keadaan kewangan semasa kita sebagai sebuah negara dan ia bukan sahaja membabitkan SUHAKAM."

Sehingga minggu ini, suruhanjaya lapan anggota itu tidak mempunyai pesuruhjaya setelah tempoh keanggotaan sebelum ini tamat pada 25 April lalu. Sejak itu, laporan menyatakan bahawa dana suruhanjaya itu mungkin kehabisan pada Oktober ini selepas Kerajaan bertindak mengurangkan separuh daripada bajet operasi SUHAKAM.

Suruhanjaya itu ditugaskan, antara lainnya, mengadakan inkuiri berhubung aduan mengenai pencabulan hak asasi manusia di Malaysia, di mana kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan hak-hak telah menuduh kerajaan Perdana Menteri Najib Razak mengawal kebebasan bersuara dengan menangkap dan mendakwa beberapa pengkritik atas tuduhan menghasut.

Semasa bajet rendah itu, kerajaan menjangka suruhanjaya itu akan menggunakan rizabnya yang sebanyak RM4.5 juta (AS$1.1 juta), kata Low.

"Kerajaan berharap SUHAKAM akan melaksanakan beberapa disiplin kewangan semasa tempoh penjimatan seperti ini," katanya. "[Inilah] tujuannya rizab diperlukan, untuk masa ketika kita terpaksa mengetatkan perbelanjaan kita.”

Ahli-ahli baru suruhanjaya

Pesuruhjaya-pesuruhjaya  baru, yang telah dilantik kerajaan pada Selasa, diketuai oleh diplomat veteran Razali Ismail, sebagai pengerusi baru suruhanjaya itu.

Sebelum ini, Razali pernah berkhidmat sebagai presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa (PBB) dan pengerusi Majlis Keselamatan PBB. Beliau juga berkhidmat sebagai wakil khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar dengan memainkan peranan dalam pembebasan Aung San Suu Kyi daripada tahanan rumah.

Dua pesuruhjaya lain iaitu Aishah Bidin, dekan Fakulti Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Francis Johen Adam, Setiausaha Kehormat Persatuan untuk Orang Kurang Upaya Sarawak, telah dilantik semula menganggotai suruhanjaya itu.

Turut disenaraikan sebagai pesuruhjaya ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai,  Pengarah Borneo Development Corp. (Sabah)  Godfrey Gregory Joitol, pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia Nik Salida Suhaila Nik Salleh, aktivis veteran dan jurulatih hak asasi manusia Jerald Joseph dan setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) Lok Yim Pheng.

Low memuji kemahiran pasukan baru itu, dengan menyatakan latar belakang Razali dengan PBB akan memberi manfaat kepada suruhanjaya itu kerana banyak isu-isu hak asasi manusia mempunyai dimensi antarabangsa. Selain itu,  pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Joseph, yang mengetuai Pusat Komas, akan memperkasakan lagi NGO dan membolehkan suara mereka didengari.

"Saya berharap pesuruhjaya-pesuruhjaya baru memahami bahawa mereka tidak memerlukan lebih kuasa. Mereka adalah sebuah suruhanjaya, mereka memberi nasihat kepada kerajaan, tetapi kerajaan mungkin melihat sesuatu perkara secara berbeza," katanya.

SUHAKAM telah ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 dan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 24 April 2000. Selain daripada menjalankan inkuiri terhadap kes-kes berkaitan hak-hak, suruhanjaya itu berkata, ia menggalakkan kesedaran dan pendidikan mengenai hak asasi manusia; menasihati dan membantu kerajaan dalam menggubal undang-undang dan prosedur, serta berunding mengenai perjanjian antarabangsa berkaitan bidang itu.

'Pengalaman luas dan cemerlang'

Bekas Pengerusi SUHAKAM Hasmy Agam yang penggalnya berakhir pada April lalu, memuji ahli-ahli baru suruhanjaya itu, dengan berkata mereka akan dapat menjalankan mandat suruhanjaya itu.

"Barisan baru ini mempunyai pengalaman yang luas dan cemerlang selain memiliki watak terpuji," katanya.

Sebelum keanggotaan mereka berakhir pada April lalu, ahli-ahli itu pernah  menyuarakan kebimbangan mereka bahawa suruhanjaya itu memerlukan lebih banyak pembiayaan daripada kerajaan untuk  membolehkannya beroperasi sehingga penghujung tahun.

Hasmy berkata bajet suruhanjaya itu telah dipotong daripada hampir RM11 juta (AS$2.75 juta) pada 2015 kepada RM5.5 juta ($1.378 juta) tahun ini.

Pada masa itu, Low berkata SUHAKAM mungkin perlu membataskan operasinya hanya di Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Selangor) kerana pemotongan bajet itu.

Eric Paulsen, yang mengetuai Lawyers for Liberty, satu daripada kumpulan hak asasi manusia terkemuka Malaysia, berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan para pesuruhjaya baru itu tetapi berharap mereka dapat mencontohi para pesuruhjaya terdahulu dan berkhidmat secara bebas.

"Bagi memastikan perkara itu berlaku, sekurang-kurangnya, bajet SUHAKAM perlulah dikembalikan kepada jumlah asal," kata Paulsen kepada BeritaBenar.

 

Haireez Azeem Azizi dan Fahirul N. Ramli turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.