Dilema Sepanjang Sungai Kinabatangan, Sabah

Colin Forsythe
2017.03.17
Kota Kinabalu, Sabah
170317-my-gajahsabah-620.jpg Seekor gajah pigmi Borneo dilihat menyeberangi Sungai Kinabatangan pada Disember 2016.
[Ihsan Rudi Delvaux]

Pembinaan sebuah jambatan sepanjang 350 meter merentangi Sungai Kinabatangan, di daerah Sukau di Sabah amat diperlukan oleh penduduk tempatan, tetapi pencinta alam sekitar berpendapat ia boleh memberi pelbagai kesan negatif terhadap kehidupan liar dan fauna di daearah berkenaan.

Projek yang dianggarkan bernilai kira-kira RM223 juta [AS$50.2 juta] telah mendapat bantahan pencinta alam yang berkata ia boleh memberi kesan buruk kepada kawasan perlindungan dan pemuliharan di bahagian rendah Kinabatangan yang kaya dengan kehidupan liar.

Dr. Benoit Goosens, Pengarah Danau Girang Field Centre (DGFC), kemudahan penyelidikan dan latihan hasil kerjasama Jabatan Kehidupan Liar Negeri Sabah dengan Universiti Cardiff, United Kingdom [UK] berkata , pembinaan jambatan itu juga bakal memotong laluan terakhir bagi gajah pigmi Borneo yang semakin berkurangan akibat ancaman dari haiwan dan manusia di kawasan berkenaan.

"Bunyi bising dari arus trafik juga menakutkan hidupan liar dari kawasan itu,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

"Selain itu, terjadi pelbagai insiden lain termasuk kematian gajah akibat diserang, ditembak, diracun atau diburu secara haram di dalam hutan yang dilindungi, terutama oleh peniaga gading. Kami baru saja kehilangan tiga ekor gajah jantan akibat pemburuan haram. Bolehkah kita meningkatkan populasi gajah di Sabah? " tambah Dr Goossens.

Bagaimanapun, anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Sukau, dari parti pemerintah, Saddi Abdul Rahman, menegaskan yang kewujudan jambatan itu boleh memendekkan perjalanan ke Sandakan dan Lahad Datu, dua bandar utama di kawasan berkenaan, dari dua jam ke satu jam bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan kemudahan kesihatan.

“Lebih 1,000 penduduk kampung di kawasan Sukau, Litang dan Tomanggong serta kawasan sekitarnya akan menikmati kemudahan jalanraya yang lebih baik jika pembinaan jambatan itu mendapat isyarat lampu hijau.

“Adalah tidak adil untuk menafikan rakyat di kawasan luar bandar ini daripada faedah yang dibawa oleh pembangunan, " kata Saddi kepada BeritaBenar sambil menambah sekitar 10 kematian telah direkodkan kerana jarak hospital yang jauh.

Walaupun projek berkenaan telahpun di senaraikan dalam Rancangan Malaysia  Ke-11, ia masih memerlukan penilaian kesan alam sekitar daripada Jabatan Alam Sekitar, sebelum ianya boleh dilaksanakan.

Surat kepada KM

Sementara itu, pakar alam sekitar terkenal di dunia, Sir David Attenborough meluahkan sokongannya apabila beliau menulis surat kepada Ketua Menteri Sabah Musa Aman awal bulan ini yang diterbitkan dalam akhbar UK, The Guardian. Ia kemudiannya segera disiarkan oleh media Malaysia.

"Saya mempunyai banyak pertemuan dengan spesies indah dan unik di negeri anda yang diberkati," Attenborough menulis di dalam suratnya.

"Jika pembinaan ini dibenarkan pada masa hadapan, saya percaya bahawa jambatan itu akan memberi kesan amat negatif terhadap hidupan liar di rantau ini, industri pelancongan Kinabatangan yang berkembang maju serta imej Sabah secara keseluruhannya."

Isu jambatan itu menyebabkan dua menteri yang menjaga alam sekitar di Sabah berhati-hati untuk bersetuju bahawa jambatan berkenaan boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat, atau berkemungkinan akan membahayakan hidupan liar termasuk monyet proboscis yang terancam dan orang utan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun baru-baru ini memberi jaminan kepada penyokong perlindungan dan pemuliharaan bahawa mereka tidak akan duduk diam dalam isu berkenaan, sambil berkata pembuat dasar akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan menyelesaikan isu berkenaan, tetapi enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

Tetapi pembantu Masidi, Pang Yuk Ming lebih terbuka dengan bersetuju bahawa projek itu akan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

"Ketua Menteri dan Kabinet mungkin perlu melihat semula perkara ini dengan serius. Mereka mungkin telah memutuskan mengenai projek ini, tetapi memandangkan kesungguhan dan kesan jangka panjang projek itu, mereka perlu memberikan peluang memikir yang kedua, dengan fakta-fakta baru dan menyeluruh. Ia tidak dapat dielakkan bahawa projek itu akan memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan yang berkembang di kawasan berkenaan, "katanya kepada BeritaBenar.

Kini, terdapat hanya 1,500 daripada spesis binatang yang berkulit tebal dan terkecil di dunia, menurut WWF, dan kira-kira 300 daripadanya telah menetap di dalam kawasan seluas 26,000 hektar di Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan.

Penyumbang pemuliharaan utama di Sabah, iaitu Yayasan Sime Darby, sebuah konglomerat multinasional yang berpangkalan di Malaysia berkata sumbangan seterusnya ke arah pemuliharaan di Sabah akan bergantung kepada hasil jambatan.

"Kami bimbang mengenai tindakan tertentu yang kami rasa mungkin akan memberi kesan kepada pelaburan kami di dalam pemuliharaan di Sabah. Tetapi kami berharap untuk mendapat berita baik daripada kerajaan negeri supaya kami boleh meneruskan bantuan pemuliharaan di Sabah, " kata Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Yatela Zainal Abidin di bengkel pemuliharaan proboscis antarabangsa Februari lepas.

Yayasan itu, katanya telah memberi sumbangan  lebih RM80 juta (AS$18 juta) bagi pemuliharaan dan pemeliharaan di negeri berkenaan.

Ismail Sabri, Menteri Persekutuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa melawat Sabah baru-baru ini berkata, kementerian tersebut sedar mengenai bantahan dan akan cuba menyelesaikan isu itu secepat mungkin.

"Kami akan membawa perkara itu kepada Kerajaan Negeri," beliau dipetik berkata dalam Daily Express.

Akhbar tempatan Sabah itu juga memetik Masidi sebagai berkata, keputusan mengenai jambatan kontroversial Sukau itu dijangka dikeluarkan tidak lama lagi manakala penggiat alam sekitar memberi peringatan mengenai kepupusan kekal yang bakal berlaku.

"Kawasan itu dipanggil tempat perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar ... Sanktuari bermakna perlindungan atau keselamatan dari diburu, penganiayaan, atau bahaya yang lain, " Dr Goosens berkata.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.