Pembinaan Jambatan Sukau: Pencinta Alam Sambut Keputusan Pembatalan

Colin Forsythe
2017.04.21
Kota Kinabalu, Sabah
170421-my-sukau-620.jpg Kelihatan seekor monyet proboscis yang spesisnya kini terancam, berada di Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan, Sabah, Disember 2016.
[Ihsan Rudi Delvaux]

Ahli pencinta alam negara dan serata dunia menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Sabah yang akan membatalkan pembinaan sebuah jambatan yang bernilai ratusan juta ringgit merentasi Sungai Kinabatangan yang kaya dengan kehidupan liar.

Gabungan NGO ‘Save Kinabatangan’ melahirkan rasa berbesar hati kepada Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang membuat keputusan yang sukar dalam membatalkan projek tersebut, dimana kajian mendapati pembangunan itu akan membawa kesan negatif di bahagian rendah Kinabatangan yang kaya denga flora dan fauna.

“Kami dengan sepenuh hati menyokong penduduk Sukau dan komuniti Kinabatangan lain dalam usaha ke arah wawasan serantau. Dengan cara ini, manusia dan kehidupan liar, sektor kelapa sawit dan pelancongan boleh bersama-sama membina masa depan yang membawa manfaat,” kata gabungan ‘Save Kinabatangan’ dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pembinaan jambatan sepanjang 350 meter merentangi Sungai Kinabatangan, di daerah Sukau di negeri Sabah itu amat diperlukan oleh penduduk tempatan, tetapi mendapat tentangan hebat dari pencinta alam lebih setahun yang lalu.

Projek yang dianggarkan bernilai kira-kira RM223 juta [AS$50.2 juta] telahpun di senaraikan dalam Rancangan Malaysia  Ke-11, tetapi masih memerlukan penilaian kesan alam sekitar daripada Jabatan Alam Sekitar, sebelum ianya boleh dilaksanakan.

Namun, pada Rabu malam, kerajaan Negeri Sabah melalui Sam Mannan, Ketua Konservator Perhutanan Sabah mengumumkan projek itu tidak akan diteruskan semasa berucap dalam majlis makan malam Perkongsian Penyelidikan Hutan Tropika Asia Tenggara (SEARRP) yang diadakan di Royal Society di London.

"Ketika membuat keputusan itu, Ketua Menteri Sabah (Musa Aman) telah mengambil kira kebimbangan dan pandangan yang dilahirkan berkaitan jambatan itu termasuk pihak dari Yayasan Sime Darby, Nestle, pakar sains, kumpulan NGO serta pencinta alam terkenal yang mengenali wilayah tersebut, Sir David Attenborough," kata Sam dalam ucapan beliau di London.

Sementara itu,  Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun ketika dihubungi berkata kerajaan negeri itu amat prihatin terhadap situasi tersebut walaupun ada sebab yang besar kenapa jambatan itu perlu dibina.

“Apa yang dikatakan oleh Sam Mannan dalam ucapannya di London adalah benar. Keputusan itu amat dialu-alukan dan ia menunjukkan kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk mendengar suara rakyat dan bukan gelojoh melaksanakan projek tersebut walaupun terdapat merit jambatan itu perlu dibina,” katanya kepada BeritaBenar.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Sukau, dari parti pemerintah, Saddi Abdul Rahman, sebelum ini memberitahu BeritaBenar kewujudan jambatan itu boleh memendekkan perjalanan ke Sandakan dan Lahad Datu, dua bandar utama di kawasan berkenaan, dari dua jam ke satu jam bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan kemudahan kesihatan.

“Lebih 1,000 penduduk kampung di kawasan Sukau, Litang dan Tomanggong serta kawasan sekitarnya akan menikmati kemudahan jalanraya yang lebih baik jika pembinaan jambatan itu mendapat isyarat lampu hijau.

“Adalah tidak adil untuk menafikan rakyat di kawasan luar bandar ini daripada faedah yang dibawa oleh pembangunan, "kata Saddi kepada BeritaBenar pada bulan Mac sambil menambah sekitar 10 kematian telah direkodkan kerana jarak hospital yang jauh.

Beliau gagal dihubungi untuk komen setelah keputusan terbaru kerajaan negeri itu tetapi The Malay Mail Online dalam laporannya pada lewat Jumaat malam melaporkan Saddi sebagai berkata, yang beliau inginkan jawapan rasmi dari Musa mengenai pembatalan projek itu.

“Saya akan berjumpa Ketua Menteri sehari dua ini kerana ingin tahu apa yang telah diumumkan di persidangan itu adalah benar atau tidak, sama ada itu adalah pandangan kerajaan negeri. Jika benar, adakah beliau (Sam Mannan) diberi arahan berbuat demikian.

“Untuk beliau membuat pengumuman itu di London adalah tidak patut,” katanya kepada portal media itu.

Cari alternatif

Namun, sumber kerajaan memberitahu BeritaBenar, yang kerajaan negeri sedang mencari alternatif lain untuk membantu penduduk di kawasan itu.

“Sebuah jambatan boleh dibina di lokasi lain di sepanjang sungai tersebut yang akan mengurangkan impak terhadap alam sekitar,” kata sumber itu kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Dalam pada itu,  Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Dionysius Sharma berkata pembatalan projek itu adalah satu situasi “menang-menang” bagi manusia dan alam sekitar.

“Sekarang kita mesti bergerak ke hadapan dengan meningkatkan lagi usaha kolektif untuk memelihara kawasan yang digelar ‘Sabah’s Gift to the Earth’ (pengurniaan Sabah kepada dunia) ,” katanya pada Jumaat kepada BeritaBenar.

Tambahnya, usaha tersebut termasuk penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Kinabatangan untuk memastikan pengurusan yang lebih berkesan dan mampan bagi koridor kehidupan Kinabatangan.

Isu jambatan Sukau itu menjadi perhatian dunia apabila  pakar alam sekitar terkenal di dunia, Sir David Attenborough meluahkan sokongannya melalui surat kepada Musa pada awal bulan Mac yang diterbitkan dalam media United Kingdom, The Guardian. Ia kemudiannya segera disiarkan oleh media Malaysia.

"Saya mempunyai banyak pertemuan dengan spesies indah dan unik di negeri anda yang diberkati,” Attenborough menulis di dalam suratnya.

"Jika pembinaan ini dibenarkan pada masa hadapan, saya percaya bahawa jambatan itu akan memberi kesan amat negatif terhadap hidupan liar di rantau itu, industri pelancongan Kinabatangan yang berkembang maju serta imej Sabah secara keseluruhannya."

Menurut WWF, terkini hanya 1,500 daripada spesis binatang yang berkulit tebal dan terkecil di dunia, dan kira-kira 300 daripadanya telah menetap di dalam kawasan seluas 26,000 hektar di Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan.

Penyumbang pemuliharaan utama di Sabah, iaitu Yayasan Sime Darby, sebuah konglomerat multinasional yang berpangkalan di Malaysia juga berkata sumbangan seterusnya ke arah pemuliharaan di Sabah akan bergantung kepada hasil jambatan.





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.