Aktivis Alam Sekitar Ditahan Buat Kenyataan Buruk Terhadap Sultan Johor

Hata Wahari
2016.12.23
Kuala Lumpur
161223-my-PEKA-620.jpg Shariffa Sabrina Syed Akil (kanan) dan Norhayati Shahrom semasa sedang menanti perintah tahanan reman di Mahkamah Seksyen Johor Bahru, 23 Disember 2016.
[Ihsan peguam Siti Zabedah Kassim]

Dua aktivis alam sekitar yang bergelar “Puan Sri” kini ditahan reman selama tiga hari selepas didakwa membuat kenyataan yang menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung isu kemusnahan alam sekitar di sebuah daerah di negeri selatan Malaysia itu.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Shariffa Sabrina Syed Akil dan pembantu pentadbiran pertubuhan bukan kerajaan itu Norhayati Shahrom ditahan pihak polis pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kenyataan itu.

Pada Jumaat Mahkamah Seksyen Johor Bahru melalui Penolong Pendaftar Mahkamah Hidayah Abdul Manaf telah mengeluarkan perintah tahan reman terhadap wanita berusia 54 tahun dan pembantunya yang berusia 51.

Shariffa Sabrina dan Norhayati yang diwakili peguam Siti Zabedah Kasim, terdahulu itu ditahan pada lewat malam Khamis di Shah Alam selepas dipanggil untuk memberi kenyataan kepada pihak polis berkaitan penulisan serta kritikan terhadap gologan atasan mengenai isu pembalakan dan kemusnahan alam sekitar di Kluang, Johor.

Pada 18 Disember lepas, melalui laman Facebooknya, Shariffa Sabrina menulis,  “Letihlah  nak selamatkan hutan di Malaysia ni. Negara ni banyak sangat VVVVIPs. Semua nak hidup mewah. Hutan suka hati dimusnah. Pantai suka hati ditambak. Bukit Bukau suka hati digondol dan ditarah. Sungai habis kotor dan rosak. Siaplah kita rakyat menghadapai masaalah air,” dengan turut memuatnaik beberapa keping gambar kawasan pembalakan di Johor.

Ketua Polis Johor Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, Shariffa Sabrina dan Norhayati, 51, ditahan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor kira-kira 8.30 malam di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor selepas menerima satu laporan polis.

Menggugat keharmonian

“Polis Johor menerima laporan pada  20 Dis lepas berhubung status facebook seorang aktivis tempatan yang menghina Sultan Johor. Kenyataan yang dikeluarkan itu sebenarnya  boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara,” katanya ketua polis negeri itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, hasil daripada penahanan berkenaan, polis merampas dua telefon bimbit dan dua keping simkad yang dipercayai digunakan oleh kedua-dua wanita tersebut untuk membuat kenyataan buruk berkenaan menerusi Facebook.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu atau yang boleh menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain, sambil berkata pihak berkuasa itu tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas.

Shariffa Sabrina dan Norhayati disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.