Cuba Rasuah Sultan Johor, Seorang ‘Tan Sri’ Direman
2017.03.31
Kuala Lumpur
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat telah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang ahli perniagaan berpangkat "Tan Sri" atas cubaan memberi rasuah RM2 juta kepada Sultan Johor untuk menerima pangkat kenamaan.
Individu berusia 54 tahun dari bandar Klang ditahan reman selama lima hari bawah di Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, untuk membantu siasatan.
Suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya sambil memakai baju lock-up, kira-kira pukul 9.30 pagi, diiringi beberapa orang pegawai SPRM.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman kemudiannya mengarahkan suspek direman sehingga 4 April manakala tertuduh diwakili peguam K Kumaraendran, JR Tey dan Joshua Kevin.
Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memuat-naik status di dalam akaun Facebook peribadinya mengenai seseorang individu yang dikatakan cuba untuk memberi rasuah kepada baginda.
Baginda menulis yang sejumlah RM2 juta yang ditawarkan itu adalah untuk baginda supaya mencadangkan kepada Ketua Setiausaha Negara, pemberian pangkat "Tan Sri" daripada Yang di-Pertuan Agong bagi individu yang lain.
Sultan Ibrahim berkata yang beliau tersinggung dengan tawaran tersebut.
Menurut laporan sebelum ini, suspek berkenaan dipercayai berfungsi sebagai ejen kepada individu yang ingin membeli pangkat kenamaan.
Berikutan pendedahan Sultan Ibrahim, SPRM telah menjalankan siasatan melibatkan perkara berkenaan, dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad telah menghadap Sultan Ibrahim di Kuala Lumpur awal minggu ini.
Dalam satu kenyataan selepas perjumpaan itu, SPRM berkata mereka telah mengenal pasti individu terbabit dan berjanji akan menyiasat dakwaan Sultan Ibrahim dengan telus dan tindakan akan diambil terhadap pelaku.
Pada pagi Khamis, SPRM telah memberi tempoh sampai sehingga tengah malam untuk suspek tersebut untuk menyerah diri.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata jika individu tersebut tidak menyerah diri, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan menyiarkan identiti berserta gambarnya di dalam media.
Berikutan itu, suspek menyerah diri pada tengahari Khamis.
Kes ini adalah pencapaian terbaru SPRM, dalam menangkap individu berprofil tinggi atas kesalahan rasuah.
Di bawah penerajuan Dzulkifli, SPRM telah membuat beberapa tangkapan yang melibatkan individu kenamaan dan pegawai kanan kerajaan.
Dzulkifli juga sebelum ini dilaporkan berkata fokus utamanya dalam SPRM adalah memastikan sektor awam bebas daripada gejala rasuah dan penyelewengan kuasa.
"Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan gejala rasuah, ada pegawai kanan yang dilihat menjalani kehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah," katanya.
Malaysia juga pada Januari lalu turun ke tangga ke 55 daripada 54 dan mendapat skor 49 daripada 100 di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency-International Malaysia yang membuat permerhatian ke atas 176 negara.