Agong Gesa Tindakan Tegas Terhadap Pengguna Media Sosial Langgar Undang-Undang

Radzi Razak
2019.03.11
Kuala Lumpur, Malaysia
190311-MY-Parliament-King-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menyerahkan teks titah Diraja kepada Yang Dipertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Syah di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 11 Mac, 2019,
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin bertitah supaya diambil tindakan terhadap individu yang menjejaskan keharmonian negara melalui sebaran yang melanggar undang-undang dalam media sosial.

Seri Paduka bertitah dengan meminta pihak berkuasa Malaysia supaya memberi perhatian kepada penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab sehingga boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Agensi-agensi penguatkuasa hendaklah bertindak tegas terhadap sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang,” titah Seri Paduka semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur.

Titah Seri Paduka itu dipercayai merujuk kepada penangkapan enam individu sejak minggu lalu berikutan komen yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW dalam media sosial.

Empat daripada mereka telah didakwa di mahkamah manakala dua lagi masih disiasat mengikut Seksyen 298(a) Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan pula diguna pakai untuk kesalahan berkaitan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.

Sultan Abdullah juga mahu semua pihak supaya menjunjung keluruhan Perlembagaan Malaysia terutama yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama.

"Islam bukan sekadar agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu malah, ia adalah cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekelian alam," titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pada 15 Jan lalu dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Jan.

Seri Paduka menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa 6 Jan lalu selepas dilantik pada Disember 2016.

Hormati Islam Agama Rasmi Persekutuan

Sementara itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad meminta rakyat Malaysia supaya menghormati Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan.

“Agong menitahkan agar rakyat di negara ini tidak mempersendakan agama Islam, tidak salah tafsir tentang agama dan memahami ajaran dan fahaman agama lain dengan lebih baik.

“Keseluruhan titah ucapan Seri Paduka amat komprehensif malah turut menyentuh hal ehwal ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pula mengesahkan bahawa pihaknya sedang mengkaji pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia bagi memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap individu dan portal yang melanggar undang-undang.

“Kementerian sedang mempertimbangkan keperluan untuk mengambil tindakan ke atas pengendali portal berita yang membiarkan pembacanya meninggalkan komen yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja,” katanya.

Namun, beliau tidak memberitahu bila pindaan itu akan dibentang di Dewan Rakyat.

Walaubagaimanapun sumber kementerian memberitahu BeritaBenar bahawa cadangan untuk meminda undang-undang sedia ada sudahpun berjalan dan dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen.

“Kita sudah membuat kertas cadangan. Tarikh untuk pembentangan sahaja belum diputuskan,” menurut sumber itu lagi.

Kata beliau undang-undang yang mungkin akan dipinda adalah Akta 233 Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan internet.

“Akta itu terlampau luas dan penalti yang dibawa perlulah mempunyai definisi jelas tentang jenayah yang dilakukan. Itu antara perkara yang akan diperbaiki,” kata sumber itu lagi.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari mulai Isnin hingga 11 April depan. Ia akan dimulakan dengan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama dua minggu yang dijadual bermula Selasa.

Selain itu, persidangan kali ini bakal membincangkan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung langkah kerajaan meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan hak asal Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat itu juga menyaksikan Pakatan Harapan (PH) diperkukuhkan dengan penyertaan tujuh Ahli Parlimen yang meninggalkan UMNO, menjadikan mereka menguasai 125 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. PH turut menerima sokongan 9 Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah dan satu Ahli Parlimen UPKO.

Seramai enam Ahli Parlimen bebas turut memberi sokongan kepada PH yang diterajui Mahathir, manakala seorang lagi Ahli Parlimen yang meninggalkan UMNO masih belum memutuskan sama ada menyertai parti lain atau menjadi bebas.

Barisan Nasional, yang kini hanya dianggotai UMNO, MCA dan MIC, mempunyai 40 Ahli Parlimen selain menerima sokongan 18 Ahli Parlimen PAS susulan kesepakatan UMNO dan PAS untuk menjalin kerjasama rasmi.

Gabungan Parti Sarawak  pula diwakili 19 Ahli Parlimen manakala 3 Ahli Parlimen adalah dari Gagasan Bersatu Sabah.

Sementara itu, Presiden UMNO yang mengambil cuti rehat, Ahmad Zahid Hamidi, digantikan oleh Naib Presidennya yang juga Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaacob, sebagai ketua pembangkang.

Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, tidak menghadiri istiadat perasmian mesyuarat Parlimen kali ini.

Bercakap kepada media kemudian, Ismail berkata Najib dan Ahmad Zahid kini menduduki tempat kedua dan ketiga barisan pembangkang di Parlimen.

Beliau bagaimanapun tidak tahu mengapa Najib dan Ahmad Zahid tidak menghadiri istiadat perasmian itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.