Isteri Paderi Desak PM Malaysia Siasat Kehilangan Suami

Nani Yusof
2020.03.04
Washington
200304-MY-Susanna-IWOC1000.jpg Susanna Liew, yang menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa, bergambar dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dan Wanita Pertama negara itu Melania Trump di Jabatan Negara, Washington, 4 Mac, 2020.
[AFP]

Wanita Malaysia yang kehilangan suaminya yang merupakan paderi Kristian selepas didakwa ditarik keluar dari keretanya oleh ejen polis pada siang hari di Kuala Lumpur, merayu Perdana Menteri baru Muhyiddin Yassin pada Rabu supaya memenuhi janjinya sebelum ini   untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan penculikan pada 2017 itu.

Susanna Liew, isteri Paderi Raymond Koh Keng Joo, membuat rayuan itu selepas beliau dan 11 wanita lain dari seluruh dunia menerima anugerah berprestij di Washington, Amerika Syarikat dari Jabatan Negara, yang memberi penghargaan kepada mereka atas keberanian dan ketabahan menghadapi keadaan yang berlaku di negara masing-masing.

"Saya bertemu beliau bersama-sama dengan peguam dan beliau  memberi jaminan kepada kami untuk melihat kes itu dan menyiasatnya," kata Liew kepada BeritaBenar selepas majlis penyampaian anugerah itu pada Rabu di Jabatan Negara.

Beliau merujuk kepada pertemuan April 2019 dengan Muhyiddin, yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri dalam negeri ketika di bawah kerajaan terdahulu. Pada Ahad, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dan ketua kerajaan perikatan yang baru di hadapan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, selepas seminggu pergolakan politik berlaku hingga menguburkan kerajaan Pakatan Harapan Mahathir Mohamad.

Liew berkata beliau bertemu Muhyiddin selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia - sebuah panel penyiasat yang disokong oleh parlimen yang juga dikenali sebagai Suhakam - mengeluarkan laporan setebal 95 muka surat dan merumuskan bahawa Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat mungkin "diculik oleh ejen-ejen negara itu."

"Harapan dan rayuan saya kepadanya memandangkan beliau kini adalah Perdana Menteri dan mempunyai kuasa untuk menangkap dan mendakwa mereka yang terlibat dalam kes kehilangan secara paksa ini," katanya.

Liew berkata demikian selepas menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2020 dari Wanita Pertama A.S. Melania Trump dan Setiausaha Negara Mike Pompeo.

"Saya percaya suami saya masih hidup," kata Susanna kepada BeritaBenar selepas Puan Trump menyerahkan plak penghargaan itu kepadanya. "Kami mempunyai impian, keluarga dan saya ... dan kami berpegang kepada harapan bahawa suatu hari nanti kami akan bersatu semula dengannya."

Puan Trump, yang menyatakan bahawa beliau merasa kagum dengan kisah peribadi kesemua 12 wanita itu, berkata setiap penerima itu telah mempertaruhkan keselamatan mereka demi membantu orang lain.

"Inilah wajah-wajah wira sebenarnya," kata wanita pertama itu pada majlis tersebut yang banyak dimuat naik dalam media sosial.

Siaran berita Jabatan Negara mengenai penerima menyebut bahawa Paderi Koh telah diculik "didakwa oleh ejen negara" tetapi kemungkinan pihak berkuasa polis terlibat dalam penculikan tersebut tidak dinyatakan pada majlis penyampaian itu.

"Susanna diberi penghormatan atas dedikasinya untuk berjuang bagi pihak minoriti agama yang hilang di Malaysia atau menghadapi penganiayaan kerana kepercayaan mereka," kata pengacara majlis ketika Liew, yang memakai baju kebaya Nyonya berwarna merah, berdiri menanti penyampaian anugerah itu.

"Beliau telah melalui kekasaran pihak polis dan diancam bunuh namun masih terus aktif memperjuangkan keadilan," kata pengacara majlis.

Wanita dari seluruh dunia yang menunjukkan kepimpinan, keberanian dan "kesediaan untuk melakukan pengorbanan demi insan lain, terutamanya dalam memperjuangkan hak wanita" layak menerima anugerah itu, kata para pegawai.

Kedutaan dan misi diplomatik Amerika Syarikat di luar negara mencalonkan seorang wanita yang berani dari negara tuan rumah masing-masing, dan penerima dipilih daripada senarai finalis yang dimuktamadkan oleh pegawai kanan jabatan itu.

Sebelas penerima lain anugerah itu tahun ini adalah dari Afghanistan, Armenia, Azerbaijan, Bolivia, Burkina Faso, Nicaragua, Pakistan, Syria, Yaman, Zimbabwe dan Wilayah Autonomi Kazakh Elea dalam Xinjiang di barat laut China.

'Imbangan kemungkinan'


Pada April 2019, Suhakam mengeluarkan laporan setebal 95 muka surat yang memperincikan hasil penyiasatannya, dengan memberi tumpuan kepada sama ada kehilangan Koh dan Amri adalah secara sukarela atau melibatkan ejen kerajaan.

"Bukti langsung dan bukti mengikut keadaan dalam kes Paderi Raymond Koh menunjukkan, berdasarkan imbangan kemungkinan, beliau diculik oleh ejen negara," kata suruhanjaya itu.

Laporan itu menjelaskan perkara sama apabila ia mendakwa bahawa Amri mungkin diculik oleh ejen-ejen negara, terutamanya di bawah Cawangan Khas Polis persekutuan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Liew dan Koh pada 2004 mengasaskan Komuniti Harapan, sebuah pertubuhan yang tidak mencari keuntungan yang membantu golongan miskin, yang memerlukan dan terpinggir. Liew pernah bertugas sebagai pengetua sekolah dan pendidik, menurut siaran berita Jabatan Negara.

Laporan Suhakam, yang memetik kenyataan polis bahawa kehilangan Koh tidak melibatkan ejen-ejen negara, mendakwa bahawa kehilangan Koh dan Amri "menunjukkan persamaan" dengan kedua-dua mangsa ditarik keluar dari kenderaan mereka oleh lelaki-lelaki yang memakai pakaian hitam dan bergerak dengan teratur.

Paderi Koh diculik dari satu jalan raya berhampiran Kuala Lumpur pada 13 Feb, 2017 apabila kenderaan SUV dan motosikal memaksa keretanya berhenti, dan lelaki bertopeng muka hitam membawanya pergi. Penculikan itu mengambil masa kurang daripada satu minit dan dirakam oleh kamera pengawasan.

Amri, yang tinggal di Perlis, kali terakhir dilihat pada 24 November 2016. Kehilangan beliau mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa beliau menyebarkan ajaran Syiah Islam, menurut laporan media tempatan.

Suruhanjaya itu berkata ia tidak menemui bukti untuk menyokong hujah peguam Koh bahawa penculikan itu dilakukan "dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara." Kumpulan hak asasi itu sebelum ini mendakwa paderi itu mungkin menjadi sasaran kerana mengajar agama Kristian kepada umat Islam.

Hasil laporan itu, satu inkuiri umum diadakan di mana panel mendengar keterangan daripada 16 saksi dari Oktober 2017 hingga Disember 2018.

Tetapi siasatan itu tidak dapat menentukan apa yang berlaku kepada Koh dan Azmi selepas penculikan mereka. Beberapa jam selepas suruhanjaya itu mengeluarkan keputusannya, Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketika itu menyifatkan laporan berkenaan sebagai "dengar cakap” menurut agensi berita Bernama.

Failkan saman

Pada 12 Feb lepas, Liew menamakan dua bekas ketua polis negara, Mohamad Fuzi Harun dan Khalid Abu Bakar, bersama-sama dengan para pegawai lain, dalam saman sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Kami amat berharap dengan memfailkan saman ini akan membantu untuk membongkar kebenaran tentang penculikan itu," katanya kepada BeritaBenar dalam satu mesej teks ketika itu.

Dalam saman itu, beliau mendakwa berlakunya pencabulan hak perlembagaan dan berkanun dalam penculikan Koh, kegagalan menyumbang atau mendedahkan keberadaannya serta berlakunya konspirasi untuk mencederakan dan kecuaian, kata Liew. Saman itu tidak termasuk tuntutan ganti rugi yang perlu dibayar sekiranya beliau memenangi saman tersebut di mahkamah, kata peguamnya.

Pihak berkuasa agama Islam secara amnya menganggap murtad sebagai perbuatan jenayah di negara Malaysia yang mempunyai majority penduduk Islam, di mana penukaran agama umat Islam dilarang di kebanyakan negeri selain umat Islam Syiah juga ditindas pegawai agama, kata kumpulan hak asasi manusia.

Selain Koh dan Amri, Paderi Joshua Hilmy dan isterinya yang juga warganegara Indonesia, Ruth Sitepu, turut dilaporkan hilang sejak November 2016. Joshua adalah seorang lelaki Melayu Muslim yang murtad setelah memeluk agama Kristian.

Pada Isnin, Suruhanjaya bagi Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS), sebuah NGO yang berpejabat di Jakarta yang menangani masalah hak asasi manusia di Indonesia, berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah dilantik sebagai pembantu undang-undang keluarga Ruth Sitepu semasa Suhakam mengadakan siasatan awam berhubung kehilangan pasangan itu.

"Proses siasatan awam ini adalah harapan terakhir bagi keluarganya selepas keluarga itu pada Februari 2018 membuat laporan orang hilang kepada polis Malaysia, tetapi tiada hasil ditemukan pada waktu itu," kata kenyataan tersebut.

NGO Indonesia itu mengeluarkan kenyataan itu ketika Suhakam meneruskan siasatan, yang bermula bulan lalu, berhubung kehilangan Hilmy dan Sitepu.

Pada Oktober tahun lepas, Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa (USCIRF) A.S menuduh Malaysia "mencabul kebebasan beragama" dengan memetik penculikan Paderi Koh dan Amri. Suruhanjaya bebas itu meletakkan Malaysia di Tahap 2 untuk tahap pencabulan hak kebebasan beragama paling serius.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.