Switzerland Beku Aset Milik Malaysia
2015.09.02
Pihak berkuasa Switzerland pada Rabu telah membekukan aset yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaporkan sedang disiasat berhubung dengan rasuah.
Pembekuan aset milik dana pelaburan yang dilanda hutang itu dipercayai ada kaitan dengan pengeluaran wang tunai berpuluh juta dolar Amerika dari akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
Agensi berita Reuters dalam laporannya lewat malam Rabu berkata, pihak berkuasa negara itu telah membekukan dana dalam beberapa bank di Switzerland ketika siasatan sedang berlangsung terhadap seorang individu, yang ada hubungan dengan 1MDB, disyaki terbabit dengan rasuah dan pengubahan wang haram.
“Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) telah membekukan aset berjumlah berpuluh juta dolar Amerika Syarikat dalam beberapa akaun bank di Switzerland," kata seorang jurucakap dari OAG semasa menjawab soalan menerusi e-mel dari agensi berita itu.
Pada peringkat awal prosedur ini, OAG sedang menganalisa dan mengumpulkan bukti.
“OAG sudah pun berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia. Kerjasama antarabangsa dengan negara asing, terutamanya dengan Malaysia, perlu dilakukan untuk menentukan fakta sebenarnya," kata beliau seperti dilaporkan agensi berita berkenaan.
Kedua-dua pihak berkuasa Switzerland dan Malaysia sedang menjalankan siasatan mengenai dana itu, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Najib. Syarikat perlaburan Malaysia itu telah diselubungi kontroversi akibat longgokan hutang AS$ 11 bilion dan salah urus kewangan.
Pada 21 Ogos lepas, agensi berita itu turut melaporkan Pejabat Peguam Negara Switzerland telah membuka prosiding jenayah berhubung dengan dana pelaburan negara itu.
"Pejabat Peguam Negara mengesahkan bahawa, pada 14 Ogos 2015, ia membuka satu prosedur jenayah terhadap dua entiti 1MDB dan juga terhadap orang yang tidak dikenali," kata jurucakap OAG dalam e-mel seperti dilaporkan oleh agensi berita itu.
Prosiding jenayah itu, berikutan dua komunikasi dari Pejabat Laporan Pengubahan Wang Haram Switzerland (MROS) tambah jurucakap itu.
“Kes itu melibatkan "rasuah yang disyaki dilakukan oleh seorang pegawai kerajaan asing, pengurusan tidak jujur berkaitan kepentingan awam, dan pengubahan wang haram," kata jurucakap tersebut.
1MDB Nafi
Pada lewat malam ini, syarikat pelaburan 1MDB menafikan dakwaan yang menyatakan akaun-akaun bank milik syarikat itu dibekukan berikutan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Switzerland.
"Pada pengetahuan syarikat (1MDB), tiada akaun bank milik syarikat telah dibekukan. 1MDB kini sedang cuba memahami dengan lebih baik siasatan yang sedang dijalankan di Switzerland supaya syarikat ini dapat memberi kerjasama sepenuhnya," menurut kenyataan itu.
Najib sebelum ini, telah menafikan sebarang salah laku sejak The Wall Street Journal, yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, melaporkan bahawa penyiasat yang menyiasat pengurusan 1MDB telah mendapati pemindahan beratus-ratus juta dolar yang sangat mencurigakan.
Situasi menjadi lebih hangat apabila, Perdana Menteri itu selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB telah memecat pegawai-pegawai yang menyiasat skandal berkenaan.
Manakala pegawai-pegawai yang rapat dengan Najib berkata, pemindahan wang itu adalah "sumbangan politik" yang sah daripada seorang penderma dari Timur Tengah; namun mereka tidak pula memberikan maklumat lanjut.
Najib kemudian secara mendadak memecat Timbalannya Muhyiddin Yassin yang lantang bersuara mengenai skandal berkenaan, manakala Abdul Gani Patail diturun pangkat secara tergesa-gesa sebagai peguam negara Malaysia.
Tindakan Najib telah menimbulkan tuduhan wujudnya "teori konspirasi" bagi memastikan Najib, yang disiasat berhubung skandal 1MDB, boleh terus mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Gani ketika itu merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan berjuta-juta dolar yang didakwa dipindahkan dari 1MDB ke dalam dua akaun bank peribadi Najib pada awal tahun 2013.
Jawapan Malaysia dinanti
Sementara itu, Presiden Transparency International (TI) Jose Ugaz semasa memberi ucapan di Persidangan Anti-Rasuah yang sedang berlangsung di Putrajaya, mahu Malaysia memberi jawapan terhadap wang berjumlah AS$700 juta yang dideposit ke dalam akaun peribadi Najib.
Katanya, komitmen kerajaan Malaysia yang telah mengambil pelbagai langkah dan inisiatif untuk menangani rasuah tidak boleh dianggap serius selagi tiada penjelasan bagi depost berkenaan.
“Kita mahu melihat lebih banyak kemajuan tetapi ia tidak mungkin berlaku, sedangkan banyak soalan tidak terjawab berhubung AS$700 juta yang dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri… Kini terdapat dua soalan yang perlu dijawab: Siapa yang membayar wang itu dan mengapa? Di manakah wang itu? Seorang lelaki sahaja yang boleh menjawab semua soalan itu,” katanya di persidangan yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan dari seluruh dunia pada Rabu.
Beliau yang merupakan seorang peguam di Peru yang berpengalaman membasmi rasuah berkata, jika individu itu enggan ke hadapan, hanya badan penyiasat bebas yang tidak mempunyai kaitan dengan politik boleh mendapatkan kebenaran.
Jose berkata, dalam tempoh beberapa minggu, peguam negara yang 'kritikal terhadap kerajaan' telah digantikan, pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB digantung tugas, penyiasat ditangkap dan akhbar digantung.
"Ini bukan tindakan kerajaan yang menentang rasuah, mungkin kita mendengar janji pembaharuan. Bukan ini yang diperlukan ketika ini. Dan janji semata-mata tidak akan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan," tambah beliau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low pula menegaskan kepada delegasi persidangan, “Saya akan mempertahankan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan akan bertindak balas terhadap mereka yang mengganggunya.’’
Jangan takut
Persuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed pula meminta pegawai-pegawainya bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dan pihaknya tidak akan memberi sebarang kekebalan kepada mana-mana pihak daripada disiasat oleh badan anti rasuah itu, malah bersedia untuk berkorban dalam memperjuangkan kepentingan awam.
Beliau yang kini sedang bercuti sakit kerana menjalani pembedahan tulang belakang menyampaikan mesej tersebut melalui Timbalannya, Mustafar Ali di persidangan dengan berkata, SPRM perlu mendukung kebebasan untuk menjalankan siasatan dan memerlukan sokongan daripada orang ramai untuk mempertahankan institusi ini daripada sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan kebebasannya.
‘’Penggubal undang-undang, tanpa mengira perbezaan politik perlu bersatu dan membantu mereka untuk mewujudkan sebuah institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas,*dan pendakwa raya di Malaysia yang bertanggungjawab untuk melakukan pendakwaan hendaklah bertindak tanpa pilih kasih dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka," katanya.