Kebakaran Pusat Tahfiz Korbankan 23 Pelajar dan Guru

Ray Sherman, Fadzil Aziz & N. Nantha
2017.09.14
Kuala Lumpur
170914-my-fire2-620.jpg Orang ramai berdiri di luar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur selepas kebakaran yang membunuh 23 orang, 14 Sept, 2017.
[N. Nantha/BeritaBenar]

Kebakaran awal pagi telah memusnahkan sebuah sekolah agama Islam tidak berlesen di ibu negara Malaysia pada Khamis, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 pelajar dan dua guru, dan mungkin disiasat sebagai kes perbuatan khianat, kata pegawai.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur telah beroperasi selama 16 tahun tanpa permit rasmi, kata para pegawai, dengan kerajaan berkata, ia akan menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk memeriksa aspek keselamatan sekolah-sekolah seperti itu di seluruh Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Mayat-mayat mangsa, yang ditemui di bangunan asrama tiga tingkat pusat tahfiz itu yang terletak di Jalan Datuk Keramat, kebanyakannya rentung, kata pegawai jabatan bomba dan penyelamat.

Mangsa, yang berusia di antara 10 dan 17 tahun, terperangkap dalam bilik asrama yang tingkapnya berjeriji dan pintunya berkunci, kata para pegawai. Saksi-saksi memberitahu pemberita bahawa mereka terbangun dari tidur setelah  mendengar teriakan meminta bantuan dari dalam bangunan yang terbakar itu.

Para pegawai bomba berkata, mereka mendapati mayat-mayat itu bertindih atas satu sama lain, yang menunjukkan bahawa mangsa-mangsa cuba menyelamatkan diri tetapi terperangkap akibat jeriji besi tingkap.

"Kami sedang menyiasat kebakaran ini mungkin berpunca daripada perbuatan khianat," kata Khirudin Drahman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kepada pemberita. "Siasatan kami menunjukkan bahawa ia bukan berpunca daripada litar pintas. Jika ia berlaku, api tidak akan menjadi begitu marak."

Beliau juga menafikan laporan awal bahawa gegelung ubat nyamuk mungkin menyebabkan kebakaran pada 5.15 pagi itu.

Penyiasat kebakaran, katanya, menumpukan siasatan kepada sudut perbuatan khianat setelah mendapati dua silinder gas memasak yang berat berada di hadapan pintu bilik asrama itu.

Sekolah itu, terletak kira-kira 15 minit pemanduan dari Menara Berkembar Kuala Lumpur, dikelaskan sebagai pusat "tahfiz" di mana para pelajar diajar menghafal al-Quran dengan mempunyai 36 pelajar dan enam guru tetapi tidak mempunyai permit keselamatan kebakaran dan sijil layak menduduki, kata pegawai.

Ia tidak jelas mengapa sekolah itu tidak diberikan permit walaupun sudah beroperasi lebih daripada satu dekad.

"Sekolah ini telah menyerahkan pelan senibinanya," kata Noh Omar, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kepada pemberita.

"Bagaimanapun, jabatan berkenaan tidak memberi kebenaran kepada sekolah itu untuk menggunakan bangunan tersebut," kata Noh Omar.

Akhbar The Star melaporkan terdapat 519 sekolah tahfiz swasta yang didaftarkan di seluruh negara pada April tetapi banyak lagi dipercayai tidak mendaftar. Lebih 200 kebakaran membabitkan sekolah agama dikatakan telah direkodkan di seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk meneliti aspek keselamatan di sekolah-sekolah agama swasta yang menurutnya enggan mendaftar dengan pihak berkuasa kerana bimbang kerajaan mengganggu kurikulum mereka.

Sekolah-sekolah tahfiz tidak ditempatkan di bawah Kementerian Pendidikan kerajaan Persekutuan tetapi dikawal oleh majlis-majlis agama di negeri-negeri di mana ia berada.

"Ini bukan kali pertama insiden ini berlaku. Oleh itu, isu ini mesti ditangani,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita, menurut laporan agensi berita negara, Bernama. "Tidak kiralah sama ada pusat itu dijalankan secara persendirian atau tidak… tiada kompromi kerana ia melibatkan kematian banyak kanak-kanak."

Enam pelajar juga cedera parah selepas melompat keluar dari tingkap bilik di tingkat paling atas, menurut laporan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata, mayat-mayat mangsa ditemui bertindih atas satu sama lain dan pihak berkuasa percaya kebakaran bermula di pintu depan bilik asrama itu, yang merupakan satu-satunya laluan keluar.

"Dan ketiadaan jeriji berengsel juga menyebabkan mangsa terperangkap dalam kebakaran itu," katanya.

Tragedi itu turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

"Sememangnya, pada masa ini, negara amat bersedih dengan tragedi ini," kata Seri Paduka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Anggota keluarga berkumpul di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur sambil menunggu jenazah mangsa-mangsa kebakaran diserahkan, 14 Sept, 2017. [FadzilAziz /BeritaBenar]

Gambar dan video ngeri bangkitkan kemarahan orang ramai

Penyebaran gambar dan video ngeri mangsa-mangsa yang membanjiri media sosial telah membangkitkan kemarahan tokoh agama, ahli politik dan ahli psikologi.

"Saya memohon kepada anda semua supaya tidak menyebarkan video dan gambar viral melalui media sosial," kata Zubaidah Jamil Osman, presiden Persatuan Klinikal Malaysia, dalam satu kenyataan. "Klip-klip (video) boleh menjadi sangat trauma dan mengganggu bagi mereka yang cuba mengatasi masa-masa yang mencabar dan sukar ini."

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bercakap kepada pemberita di Hospital Kuala Lumpur mengenai kebakaran sekolah agama yang mengorbankan 23 orang, 14 Sept, 2017. [FadzilAziz / BeritaBenar]

UNICEF, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ciri-ciri keselamatan asas dapat menghalang kematian yang tragik itu.

"UNICEF menyeru supaya diwujudkan dan dikuatkuasakan prosedur keselamatan dan perlindungan di semua sekolah di seluruh Malaysia bagi memastikan kejadian sedemikian tidak berlaku lagi," kata Marianne Clark-Hattingh, wakil UNICEF Malaysia.

Sementara itu, Mas Aliza Ali Bapoo,22, yang merupakan sepupu kepada tiga beradik yatim - Muhammad Shafiq Haikal, 13, Muhammad Hafiz Iskandar, 11, dan Muhammad Harris Ikhwan, 10 - berkata beliau amat rapat dengan ketiga-tiga beradik itu yang memasuki sekolah berkenaan 10 bulan lalu.

Mas berkata, nampaknya Shafiq seperti mengetahui tentang kematiannya kerana baru-baru ini dia menghubungi ibunya dan memberitahu bahawa "dia akan pergi tidak lama lagi."

"Mungkin itu satu petanda yang mereka akan meninggalkan kami. Selama-lamanya," kata Mas.

Norhayati Khalid, 42, ibu Amiel Asyraf Abdul Rashid, 11, pula berkata, dia baru sahaja berjumpa dengan anaknya beberapa jam sebelum kebakaran itu.

"Saya membawa makanan kegemarannya, nasi goreng Pataya dan, sebelum saya pergi, dia menyerahkan kepada saya surat ini," katanya dengan sebak kepada BeritaBenar, di bilik mayat hospital itu.

Surat itu, yang ditulisnya pada kertas buku latihan sekolah, meminta diampunkan bagi sebarang kesalahan yang telah dilakukannya.


Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.


Tiga beradik - Muhammad Shafiq Haikal, 13, Muhammad Hafiz Iskandar, 11, dan Muhammad Harris Ikhwan, 10, - adalah antara mereka yang terkorban dalam kebakaran itu. [Ihsan saudara mangsa]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.