Malaysia Tuan Rumah Operasi Pertama Pemantauan Udara Laut Sulu
2017.11.09
Kuala Lumpur

Malaysia pada Rabu, menjadi tuan rumah operasi pertama rondaan pemantauan udara melalui perjanjian bersama dengan Filipina dan Indonesia di Laut Sulu yang merangkumi pemantauan kawasan seluas 17,000 batu nautika melibatkan ketiga-tiga negara, demikian menurut pegawai tertinggi operasi itu kepada BeritaBenar pada Khamis.
Pengarah Pusat Pemerintahan Maritim Malaysia (MCC), Kapten P. Pulendran berkata, operasi melibatkan pesawat C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disertai anggota tentera udara dari Malaysia dan Filipina, tanpa kehadiran pegawai dari Indonesia.
“Pegawai tentera udara dari Indonesia tidak dapat menyertai operasi pertama semalam atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan tetapi operasi rondaan udara dilaksanakan melibatkan kawasan ketiga-tiga negara,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
Malaysia, Indonesia dan Filipina pada 12 Oktober lepas telah melancarkan rondaan pemantauan udara tiga pihak atau Trilateral Air Patrol (TAP) bagi memperkukuhkan lagi usaha maritim bersama yang bertujuan menghapuskan ancaman jenayah rentas sempadan melibatkan ekstremis Negara Islam (IS).
Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein yang menjadi tuan rumah bagi pelancaran inisiatif TAP, di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, baru-baru ini berkata bahawa rondaan udara melibatkan tiga negara tersebut penting dalam usaha memerangi IS di selatan Filipina, terutamanya di sekitar Laut Sulu.
Beliau turut diiringi rakan-rakan sejawatannya iaitu Jen. Bersara Ryamizard Ryacudu dari Indonesia dan Delfin Lorenzana dari Filipina semasa majlis pelancaran dan pada Jun lepas, Indonesia telah menjadi tuan rumah semasa melancarkan inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP).
Operasi pertama pada Rabu itu melihat pesawat C130H dari 14 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan TUDM, Labuan, Sabah digunakan dalam operasi rondaan tersebut.
“Pesawat C130 dr No 14 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan telah berlepas pada jam 10.10 pagi tadi dari Tawau untuk melaksanakan tanggungjawab pertama bagi operasi ini. Turut serta dalam rondaan adalah wakil Tentera Udara Filipina sebagai pemerhati bersama dan turut dibantu oleh wakil dari TLDM,” menurut satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan selepas operasi itu.
Seorang Pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia [TUDM] sedang membuat pemantauan dari udara semasa Operasi Trilateral Air Patrol [TAP] di perairan Laut Sulu, sempadan perairan antara Sabah, Malaysia dan selatan Filipina, 9 Nov, 2017. (Ihsan TUDM)
Menurut Pulendran, operasi rondaan itu yang dijalankan dua kali sebulan akan memantau situasi semasa di perairan Laut Sulu sekali gus meningkatkan sistem kesedaran domain tiga negara terlibat.
"Rondaan secara bersama ini dapat memperbaiki situasi keselamatan di perairan Laut Sulu serta mengekang sebarang unsur pengganas termasuk aktiviti rompakan di laut serta penculikan," katanya.
Pada pelancaran operasi rondaan pada Rabu itu, Pulendran memberitahu beliau bersama-sama wakil tentera udara Filipina Leftenan Kolonel Acmad Omar telah diberi taklimat oleh juruterbang Mejar Zulhilmi Zainudin yang memulakan rondaan dari Tawau.
Beliau memberitahu, semua maklumat operasi rondaan itu disampaikan kepada Pusat Pemerintahan Maritim (MCC), Ibupejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah(ESSCOM) dan Pusat Pemerintahan Serantau (JRCC) daripada Pasukan Tindakan Bersama 2 (ATB2) Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Tambah beliau, berdasarkan kepada maklumat operasi rondaan, MCC dan JRCC akan mengeluarkan arahan serta merta kepada kapal-kapal tentera laut yang berada di pangkalan hadapan atau yang sedang membuat rondaan untuk membuat pintasan ataupun menyiasat mana-mana kapal atau bot yang disyaki terlibat dalam aktiviti militan.
Ketika pelancaran TAP, Hishammuddin memberitahu ketiga-tiga negara akan menerima pakai langkah penggiliran bulanan dalam melaksanakan rondaan udara bersama itu.
Malaysia akan menjadi negara pertama yang mengetuai operasi pada November diikuti oleh Filipina pada Disember dan seterusnya Indonesia pada Januari 2018, kata Hishammuddin kepada wartawan ketika itu.
Pada masa sama, negara-negara tersebut akan mengekalkan rondaan udara di sempadan masing-masing.
Colin Forsythe di Kota Kinabalu turut membantu kepada laporan ini.