Polis Soal Siasat Wartawan Mengenai Ciapan Twitter Berhubung Serbuan Migran
2020.05.06
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis Malaysia menyoal siasat seorang wartawan wanita akhbar utama rantau itu pada Rabu mengenai ciapan Twitter beliau berhubung serbuan terhadap migran ketika kumpulan hak asasi mengingatkan bahawa kerajaan baru negara itu mungkin menghidupkan semula amalan menindas media.
Tashny Sukumaran, wartawan akhbar South China Morning Post, disoal siasat selama dua jam di ibu pejabat polis Persekutuan di Kuala Lumpur, kata peguamnya. Beliau disiasat kerana didakwa berkongsi kandungan dalam talian yang menyinggung dan mengancam selain sengaja melakukan penghinaan dan provokasi untuk mengganggu ketenteraman awam, kata peguam Sin Yew New.
"Kerajaan mengganggu Tashny dengan menyiasatnya bagi ciapan Twitter yang dilakukannya semasa menjalankan tugasnya sebagai wartawan. Kerajaan mencabul kebebasan media, yang amat penting semasa krisis seperti yang sedang kita hadapi ketika ini, ” kata peguam itu kepada BeritaBenar.
Tashny enggan memberi sebarang komen ketika beredar keluar dari bangunan itu bersama-sama peguamnya. Wartawan berkenaan itu disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan Malaysia, kata Sin.
The South China Morning Post, akhbar yang berpusat di Hong Kong, tidak mengeluarkan sebarang laporan mengenai kehadiran wartawannya di ibu pejabat polis itu atau mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya pada Rabu.
Wanita itu disoal siasat polis tiga hari selepas menteri komunikasi dan multimedia menyatakan bahawa wartawan itu berhak menerbitkan beritanya.
Dalam ciapan Twitter rasmi beliau pada 3 Mei, menteri berkenaan Saifuddin Abdullah menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tidak mengambil tindakan terhadap Tashny.
"Saya mungkin tidak menyukai berita anda tetapi saya akan mempertahankan hak anda untuk menulisnya. Semalam, (Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Noor Hisham) telah menjelaskan isu yang anda bangkitkan - ini adalah cara untuk melakukannya. Dalam contoh ini, beri penjelasan dan penerangan,” kata Saifuddin semasa memberi reaksi kepada ciapatan Twitter Tashny mengenai penyiasatan terhadap laporannya.
Dua hari sebelumnya, Tashny menyiarkan rantaian ciapan Twitter beliau mengenai pengalamannya berada di kawasan Selangor Mansion di Kuala Lumpur yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperketatkan susulan kluster coronavirus dikenal pasti di kawasan itu. PKP adalah nama yang digunakan kerajaan Malaysia bagi melaksanakan sekatan pergerakan berikutan virus coronavirus.
"Ini tidak masuk akal. Beberapa jam selepas pengumuman mengenai langkah memberi kelonggaran, pihak berkuasa mula bertindak menahan orang (walaupun) Malaysia belum dapat mengalahkan COVID-19. Kini pekerja migran, pelarian, dan kumpulan lemah lain akan menyembunyikan diri mereka dan tidak akan tampil ke hadapan walaupun sakit,” katanya dalam catatan itu.
"Saya tidak mampu menghitung bilangan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku hanya dalam beberapa jam ini."
Operasi bersama itu yang melibatkan Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan dilakukan di kawasan itu bagi mengekang penyebaran COVID-19, menurut pihak berkuasa.
Bercakap kepada agensi berita nasional, Bernama, pada Sabtu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihak berkuasa melancarkan operasi itu untuk memastikan tiada pendatang tanpa dokumen yang keluar dari kawasan yang telah dikenal pasti dan menyebarkan penyakit itu di tempat lain.
Ismail Sabri Yaakob, menteri kanan bagi pertahanan, berkata mereka yang ditahan pihak berkuasa ditempatkan dalam keadaan berperikemanusiaan dengan mematuhi jarak sosial.
Pada Ahad, Sukumaran membalas ciapan Twitter menteri komunikasi itu.
"Saya menghargai pendapat anda, tetapi itu tidak mengubah kenyataan bahawa saya masih diganggu oleh polis kerana melaksanakan tugas saya sebagai wartawan," kata wanita itu dalam ciapan Twitter beliau.
"Saya rasa adalah bukan tugas kami untuk menulis apa yang disukai oleh kerajaan. Kami menulis berdasarkan pemerhatian, wawancara, fakta,” tulinya lagi.
Beliau menyoroti cabaran lain yang dihadapi oleh wartawan, terutamanya yang melaporkan untuk media asing. Cabaran tersebut termasuklah dikecualikan daripada saluran komunikasi rasmi seperti kumpulan WhatsApp rasmi Pejabat Perdana Menteri.
Ushar Daniele, seorang wartawan yang bekerja untuk rangkaian berita Timur Tengah, bersetuju dengan pendapat Sukumaran mengenai kekurangan akses itu.
"Kami harus bergantung kepada kenyataan yang dikongsi oleh rakan-rakan dari pihak industri tempatan," kata Ushar kepada BeritaBenar.
Saifuddin tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu manakala pejabat perdana menteri tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan BeritaBenar mengenai larangan terhadap media asing.
Sokongan media
Sementara itu, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada Ahad, kumpulan penyokong media Malaysia iaitu Gerakan Media Merdeka (Geramm) memetik kes Sukumaran semasa ia meminta kerajaan supaya tidak menghidupkan kembali amalan tertentu kerajaan Barisan Nasional, yang mentadbir negara itu selama beberapa dekad.
"Larangan terhadap mana-mana media daripada menghadiri sidang media yang diadakan di pejabat perdana menteri tidak harus dilakukan semula, walaupun semasa kawalan pergerakan masa ini bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan 'jarak sosial'," kata kenyataan itu.
"Sebarang langkah pencegahan COVID-19 yang telah dan akan diambil tidak boleh dibuat dengan menjejaskan peranan media dalam memeriksa dan menyeimbang kerajaan," kata Geramm.
Gabungan parti Barisan Nasional dikalahkan oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018 susulan janji untuk membersihkan kerajaan. Tetapi, kerajaan Pakatan Harapan musnah awal tahun ini. Ia digantikan oleh gabungan pemerintah baru yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan turut dibarisi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti utama Barisan Nasional.
Human Rights Watch adalah antara kumpulan yang mengecam tindakan terhadap Sukumaran.
"Polis membuat keputusan yang tidak masuk akal untuk memanggil Tashny Sukumaran bagi diospal siasat berhubung beritanya mengenai penangkapan migran pada Hari Pekerja," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia bagi badan pemerhati hak asasi, dalam sau kenyataan media. "Pasukan polis yang benar-benar profesional hanya akan menolak aduan itu kerana tidak mempunyai asas dan memberitahu pengadu supaya berpolitik di tempat lain.
"Malangnya, kerajaan Malaysia menyeret negara itu kembali ke masa lalu di mana ia menyalahgunakan hak asasi manusia, mengganggu wartawan bebas melakukan tugas mereka adalah taktik biasa untuk berusaha mengekang kebebasan akhbar."
Soal siasat itu dilakukan beberapa minggu selepas Wartawan Tanpa Sempadan memuji Malaysia semasa di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan kerana menunjukkan peningkatan yang baik dalam layanannya terhadap para wartawan. Negara itu melonjak 22 anak tangga untuk berada di tempat ke-101 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2020 yang dikeluarkan pertubuhan itu pada 22 April.
Malaysia mengatasi negara jirannya di Asia Tenggara termasuk Indonesia yang menduduki tangga ke-119, Filipina (136), Myanmar (139), Thailand (140), Kemboja (144), Brunei (152), Singapura (158), Laos (172) dan Vietnam (175).