Malaysia Lanjutkan Tempoh Berkurung Di Sabah

Muzliza Mustafa
2016.08.23
Kuala Lumpur
160823-my-curfew-sabah620.jpg Anggota Polis DiRaja Malaysia yang bersenjata sedang mengadakan kawalan keselamatan di Cenderawasih, kawasan berhampiran di mana beberapa lelaki bersenjata dari Sulu melalukan pencerobohan ke atas kampong Tanduo di Sabah, 3 Mac 2013.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia melanjutkan tempoh perintah berkurung di tujuh daerah di Sabah, untuk tempoh dua minggu lagi selepas mendapat maklumat bahawa terdapatnya cubaan menceroboh perairan di negeri berkenaan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf.

Ketua Polis Sabah Abdul Rashid Harun berkata tempoh lanjutan itu akan berkuatkuasa pada Rabu [esok] sehingga 8 September depan dengan arahan perintah berkurung yang bermula dari pukul 7 malam Selasa.

Perintah berkurung telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia di beberapa kawasan di Sabah selepas berlakunya peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013 di mana pasukan keselamatan negara itu berjaya mematahkan cubaan pencerobohan oleh kira-kira 200 pengganas yang menaiki bot dari Sulu, sebuah wilayah di selatan Filipina yang berjiran dengan Malaysia.

Tujuh puluh dua orang termasuk 56 lelaki bersenjata, 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dan enam orang awam terbunuh dalam serangan selama beberapa minggu itu.

Perintah berkurung yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Malaysia itu meliputi kawasan dan  perairan di tujuh daerah iaitu Tawau, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

“Dengan berkuatkuasa perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan hendaklah berada dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang diisytiharkan antara jam 7 malam sehingga 5 pagi pada tarikh tersebut,” kata Abdul Rashid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Katanya, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan perintah berkurung itu selepas mendapat maklumat terdapatnya percubaan daripada pengganas termasuk kumpulan Abu Sayyaf dari selatan Filipina untuk menceroboh Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) untuk melakukan penculikan dengan tujuan mendapatkan wang tebusan.

Menurut beliau lagi, perintah berkurung itu adalah untuk menjamin keselamatan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan selain memudahkan proses pemantauan dan rondaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kuasa juga diberikan kepada ketua polis daerah di kawasan terlibat dalam mengeluarkan permit kebenaran perjalanan kepada mereka yang terdesak untuk berada di tempat dan perairan di kawasan perintah berkurung termasuk untuk tujuan perikanan,” katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah dilaporkan meningkat di perairan antara Malaysia dan Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan mangsa culik selepas pihak mangsa gagal membayar wang tebusan.

Julai lepas, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa lima anak kapal warga Malaysia yang didapati hilang daripada sebuah bot di perairan Dent Heaven, Lahad Datu telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf.

“Kesemua mereka telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf dan pihak polis telah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina. Bagaimanapun, belum ada tuntutan untuk wang tebusan diminta setakat ini,'' katanya kepada BeritaBenar.

Terdahulu itu, pada 9 Julai lepas, tiga anak kapal warga Indonesia dari sebuah bot pukal tunda milik Malaysia telah diculik oleh lima lelaki bersenjata yang berbaju hitam dan celoreng di sekitar perairan selatan Filipina berhampiran Lahad Datu.

Abu Sayyaf juga bertanggungjawab menculik empat rakyat Malaysia pada 2 April lalu tetapi mereka dibebaskan pada 8 Jun setelah sejumlah duit pampasan dibayar untuk pembebasan mereka.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.