Cameroon Rampas Tenggiling Yang Cuba Diseludup Ke Malaysia
2016.12.22
Yaoundé, Cameroon

Cameroon memberitahu yang negara itu berjaya memintas cubaan menyeludup lebih 670 kilogram tenggiling Afrika yang pihak berkuasa percaya untuk diseludupi dari negara Afrika Tengah ke Malaysia.
Tenggiling adalah mamalia yang paling popular di kalangan penyeludup antarabangsa, dan kumpulan pemuliharaan menyeru supaya sekatan yang ketat dikenakan ke atas tiga pengedar yang telah ditangkap.
Wara Wara Francois Noel, seorang Leftenan Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Yaounde-Nsimalen, Cameroon memberitahu Voice of America (VOA), sebuah entiti yang berkaitan dengan BeritaBenar, mereka menemui sisik dan daging tenggiling di dalam beberapa paket. Beliau berkata ketiga-tiga penyeludup telah memberi rasuah bagi membolehkan mereka sampai ke lapangan terbang, tetapi pihak berkuasa berjaya melancarkan operasi selepas menerima maklumat daripada pihak hidupan liar.
Beliau berkata, dua minggu selepas menerima maklumat itu, pihak hidupan liar berjaya memintas trak yang sarat dengan tenggiling menuju ke pesawat yang dijangka berlepas ke Malaysia. Katanya, walaupun ini merupakan pemintasan berskala besar pertama bagi mamalia yang dilindungi, di Lapangan Terbang Antarabangsa Yaounde-Nsimalen, pihak berkuasa berkata mereka juga kerap merampas antara tiga dan lima kilogram sisik dan daging tenggiling yang disembunyikan di dalam bekas kecil.
Enam bulan lalu, pihak berkuasa Hong Kong mengumumkan rampasan besar-besaran empat tan sisik tenggiling yang tiba dari Cameroon yang percayai untuk diseludup ke negara-negara Asia.
Organisasi yang membantu pihak berkuasa di dalam kes ini termasuk badan bukan kerajaan tempatan, The Last Great Ape Association, atau LAGA. Timbalan Pengarahnya, Eric Kaba Tah, berkata, penyeludup sering melolosi sekatan tetapi terperangkap di Cameroon.
"Menurut undang-undang hidupan liar 1994, sesiapa sahaja ditangkap atau didapati memiliki sebahagian atau keseluruhan spesies hidupan liar yang dilindungi, sama ada menangkap atau membunuh haiwan berkenaan, boleh dikenakan hukuman penjara satu hingga tiga tahun dan atau 10 juta CFA [AS $ 20,000] dengan denda maksima, "kata Tah. "Jika undang-undang dikuatkuasakan seperti sepatutnya, kita akan melihat lebih banyak penjenayah hidupan liar berada di dalam lokap."
Sesetengah budaya menganggap daging tenggiling sebagai makanan istimewa dan menggunakan sisik tenggiling untuk perubatan tradisional. Permintaan yang tinggi telah menggalakkan perdagangan haram yang kini mengancam lapan spesies tenggiling di dunia.
Adalah dianggarkan bahawa lebih daripada satu juta tenggiling telah diragut daripada habitatnya dalam dekad yang lalu.
Pada September lepas, konvensyen perlindungan hidupan liar yang terbesar di dunia, yang dikenali sebagai CITES, mencadangkan pengharaman perdagangan mamalia tersebut secara komersial di pasaran antarabangsa.