Lebih 140 Ekor Tenggiling Dirampas Di Kedah

Fairuz Mazlan
2017.05.24
Alor Setar, Kedah
170524-my-kedah-tenggiling620.jpg Seorang anggota Polis berpakaian biasa sedang memeriksa tenggiling jenis ’ Manis Javanica’ yang dipercayai mahu diseludup keluar negara telah ditemui di sebuah permis kediaman di Alor Star, Kedah, 23 Mei 2017.
[Ihsan PDRM]

Malaysia merampas 141 ekor tenggiling hidup yang dipercayai akan diseludup keluar ke negara jiran untuk pasaran di Vietnam dan China, dari sebuah kediaman di Alor Star, demikian menurut seorang pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada Rabu.

Tenggiling jenis ‘Manis Javanica’ dirampas dalam satu serbuan polis di sebuah rumah kediaman di Taman Desa Seraya , Jalan Lencong Barat, Alor Setar, Kedah kira-kira pukul dua petang pada Selasa, selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang ramai.

“Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat aktiviti yang mencurigakan dan kami menghantar satu pasukan polis bersama Agensi Kawalan Sempadan [AKSEM] ke rumah berkenaan untuk menyiasat.

“Pasukan kami terpaksa memecah pintu depan rumah sebelum menemui haiwan terancam dalam guni dan kotak,” kata Ketua Polis Daerah Kota Setar Mohd Rozi Jidin dalam satu sidang media pada Rabu.

Selain dagingnya yang dihidangkan sebagai makanan eksotik, sisik tenggiling digunakan untuk rawatan tradisional bagi penyakit seperti demam dan demam malaria. Sisik, daging serta anggota badan tenggiling sering mendapat permintaan tinggi untuk perubatan tradisional di Vietnam dan China.

Haiwan tersebut diisytihar sebagai dilindungi dan dilarang untuk diperdagangkan di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 kecuali dengan permit.

Ia turut disenaraikan sebagai barangan dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Dalam serbuan itu juga, pihak polis menemui sisik tenggiling, pelbagai peralatan lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan tenggiling yang ditemui seperti bakul, penimbang, jaring dan troli.

Kesemua tenggiling dan rampasan diserahkan  kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kedah, Muhammad Ali Che Aman dalam sidang media yang sama mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Liar 2010.

Beliau berkata, pesalah boleh dikenakan denda antara RM50, 000 dan RM100,000, hukuman maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duamya jika sabit kesalahan.  

Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada Mei 8 lepas telah membuat satu rampasan terbesar jabatan berkenaan tahun ini di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) selepas menemui lebih 700 kilogram sisik tenggiling bernilai lebih RM9 juta [AS$2.12 juta] yang diseludup masuk dari benua Afrika.

Sisik tenggiling itu tiba melalui dua penerbangan, iaitu dari Accra, Ghana yang singgah di Dubai sebelum ke KLIA. serta penerbangan dari Kinshasa, Congo ke Nairobi, Kenya dan kemudian transit di Dubai sebelum ke KLIA.

Pada Disember lepas, pihak berkuasa Cameroon mengumumkan bahawa negara itu berjaya memintas cubaan menyeludup lebih 670 kilogram tenggiling Afrika, yang dipercayai ingin di seludup ke Malaysia.

Penyeludupan tenggiling di Kedah

Percubaan penyeludupan tenggiling atau haiwan terkawal yang lain bagi tujuan transit atau sebagai hidangan eksotik kian membimbangkan negara, terutamanya di negeri utara Semenanjung.

Pada tahun 2014, Jabatan Perhilitan telah berjaya menumpaskan percubaan menyeludup tenggiling di Changlun, Kedah dengan merampas sebanyak 92 ekor tenggiling.

Kes berkenaan adalah hasil perkongsian maklumat dan risikan anggota penguatkuasaan Perhilitan selama tiga minggu, sepasukan anggota penguatkuasa dari Ibu Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur dengan kerjasama Perhilitan Pulau Pinang dan Kedah, telah menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Kg. Kubang Ariang, Changlung, Kedah.

Jabatan Perhilitan mempercayai tenggiling itu akan diseludup ke negara jiran Thailand yang bersempadan dengan Kedah, melalui jalan darat untuk dijadikan makanan eksotik di negara lain.

Pada tahun 2015 pula, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri juga menggagalkan cubaan tiga lelaki menyeludup sebanyak 97 ekor tenggiling bernilai hampir RM100,000 ke negara jiran tersebut di Sungai Petani

Siasatan awal jabatan itu mendapati bekalan tenggiling itu diperoleh dari kawasan sekitar hutan di negeri Kedah dan dipercayai untuk diseludup ke pasaran Thailand.

Berdasarkan harga pasaran semasa ketika itu, setiap kilogram tenggiling pada masa itu ialah RM300 hingga RM500.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.