Bekas Tentera Didakwa Seludup 15 Pendatang Warga Myanmar

Fairuz Mazlan
2017.06.13
Bukit Mertajam, Pulau Pinang
170613-my-tentera620.jpg Bekas tentera Mohd Asri Nordin (berbaju belang sambil mengalas beg) ketika dibawa menghadapi 15 pertuduhan menyeludup pendatang warga Myanmar di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, 13 Jun, 2017
[FairuzMazlan/BeritaBenar]

Seorang bekas tentera pada Selasa telah didakwa di dua buah Mahkamah Majistret berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, atas 15 pertuduhan menyeludup pendatang warga Myanmar  ke negara itu bulan lepas.

Tertuduh, Mohd Asri Nordin, 37 tahun didakwa melakukan kesalahan menyeludup lima wanita  dan 10 lelaki  warga Myanmar yang berusia antara 16 hingga 30 tahun, di Permatang Pauh antara pukul 10.45 malam pada 22 Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Majistret Diane Nigrat Nor Azhar dan Jamaliah Abd Manap.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu bekas tentera itu didakwa mengikut Seksyen 26 (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara selama tidak lebih lima belas tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim dan Kamaliza Md Zain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Penyeludupan kes serius

Kes pemerdagangan dan penyeludupan manusia telah menggegarkan Malaysia pada Mei 2015, apabila Ketua Polis Negara Malaysia  mengumumkan penemuan lebih 130 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian dimana kira-kira 106 mayat dijumpai yang dipercayai daripada etnik Rohingya dan warga Bangladesh.

Kesemua mayat itu di temui di kem tahanan haram di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, yang terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Sejak itu Malaysia telah menjadi bahan berita utama bagi aktiviti penyeludupan manusia terutamanya di Kedah dan Perlis, dua negeri yang bersempadan dengan Thailand.

Pada awal bulan yang sama juga, sebuah kubur besar yang mengandungi sekurang-kurangnya 36 mayat dijumpai di sempadan sebelah Thailand. Sembilan puluh dua orang telah didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di negara itu.  

Malaysia pada Februari lalu mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan 100 sabitan kes melibatkan pemerdagangan dan penyeludupan manusia sepanjang tahun 2016, berbanding hanya tujuh kes pada tahun sebelumnya,  kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, peningkatan dalam sabitan kes itu berikutan operasi bersepadu secara berterusan oleh pihak penguatkuasa, pendakwa, pegawai perlindungan serta anggota Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (MAPO).

“Peningkatan ketara ini mengikut pecahan sabitan menunjukkan 79 sabitan kes pemerdagangan orang, sembilan sabitan kes penyeludupan migran dan 12 sabitan kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan akta lain,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan itu.

Tambahnya, kesemua kes sabitan itu melibatkan seramai 33 individu dengan hukuman penjara yang dikenakan diantara tiga tahun sehingga 10 tahun dengan penalti.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.