Tangkapan Berkaitan Keganasan Menurun Di Malaysia Berikutan Pandemik, Pendekatan Dasar Baru
2021.01.15
Kuala Lumpur

Malaysia melakukan hanya tujuh tangkapan berkaitan keganasan pada 2020, kata ketua anti-keganasan negara itu minggu ini, tetapi penganalisis memberitahu BeritaBenar bahawa penurunan ketara itu mencerminkan perubahan strategi kepolisan dengan ekstremisme masih menjadi ancaman di negara dan rantau itu.
Kes penangkapan lebih rendah tidak bermaksud ancaman keganasan sudah berkurangan tetapi sekatan pergerakan berikutan pandemik koronavirus telah menjejaskan banyak pihak termasuk mereka yang bersimpati dan menyokong kumpulan berkaitan Negara Islam (IS/Daesh), kata Normah Ishak, ketua anti-keganasan Malaysia, pada satu simposium mengenai pencegahan ekstremisme ganas minggu ini.
"Pada 2020, bahagian kami hanya menangkap tujuh individu... jadi sebenarnya, dengan adanya COVID-19 di Malaysia, ia umpama hikmah yang terselindung," kata Normah pada perasmian simposium itu yang dianjurkan oleh universiti-universiti Amerika Syarikat dan Malaysia dan dibiayai oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Sebagai perbandingan, Malaysia menangkap 72 suspek yang berkaitan dengan IS pada 2019 dan 119 pada tahun sebelumnya.
"Berikutan langkah keselamatan kesihatan dan tindakan membendung penularan pandemik ini, pergerakan dan kegiatan harian adalah terkawal. Oleh itu, ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko dan melandaikan lekuk keganasan di Malaysia,” kata Normah yang merupakan penolong ketua pengarah Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman.
‘Peroleh kuasa secara senyap’
Zachary Abuza, ahli akademik yang memberi tumpuan kepada isu keselamatan Asia Tenggara, tidak menyangka penurunan ketara dalam kes penangkapan berkaitan keganasan di Malaysia.
"Penurunan kes tangkapan ini memang mengejutkan walaupun semasa perintah kawalan pergerakan akibat COVID di Malaysia pada 2020," kata Abuza.
"Saya berpendapat ini mencerminkan perubahan dalam dasar kepolisan. Sebanyak 468 tangkapan dibuat dari 2013 hingga 2019 bagi kes kegiatan dalam talian, sama ada yang berkaitan pembiayaan, radikalisasi, perekrutan atau hanya menonton video Daesh atau media lain," kata Abuza, seorang profesor di National War College dan di Georgetown University di Washington. Beliau juga adalah kolumnis BeritaBenar.
Adalah "tidak mungkin" mereka yang bersimpati dengan IS sudah menghentikan propaganda dalam talian, kata Abuza.
Pakar anti-keganasan Malaysia, Mizan Aslam, pula berkata aktiviti radikalisasi dalam talian sebenarnya telah meningkat semasa pandemik tersebut.
"Dengan hanya tujuh tangkapan pada 2020, ia tidak menggambarkan sepenuhnya mengenai keselamatan negara daripada aspek kegiatan berkaitan pengganas. Selagi wujudnya ideologi ekstrem, ancaman itu tetap ada,” kata Mizan, yang merupakan profesor di Universiti Perlis Malaysia.
"Kegiatan fizikal keganasan perlahan akibat pandemik itu tetapi ia memperoleh kekuatan secara senyap dengan memanfaatkan platform dalam talian," kata Aslam.
Penyokong keganasan dengan pintarnya sedang "bersiap sedia untuk kelangsungan masa depan mereka dengan memanfaatkan lebih banyak orang menerusi platform dalam talian" dan teknologi baru seperti bitcoin, cryptocurrency dan laman web gelap, kata Aslam.
Namun, Malaysia masih selamat daripada ancaman keganasan pada masa ini kerana perintah kawalan pergerakan akibat pandemik, kata Ahmad El Muhammady, penganalisis anti-keganasan Malaysia.
"Polis kita terus memantau tanda-tanda ancaman... dan setakat ini, tidak ada petunjuk adanya ancaman lanjut kecuali cubaan radikalisasi yang kebanyakannya berlaku dalam ruang maya," kata Ahmad dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Meluangkan masa banyak masa dalam talian tidak menjadikan seseorang itu radikal atau ekstremis," katanya.
Perubahan strategi
Sementara itu, bahagian anti-keganasan Malaysia sedang melaksanakan perubahan strategi dalam menangani ancaman keganasan, kata ketuanya Normah.
Dalam menangani ancaman, pihak anti-keganasan perlu mempertimbangkan keseriusan kesalahan dan mengukur sama ada tindakan eksekutif, pencegahan atau pemulihan yang perlu dilaksanakan, katanya.
Contohnya, apabila seorang suspek ditemui dengan pelekat kecil IS - jenayah yang agak ringan - penangkapan dan penahanan mungkin boleh memberi kesan yang tidak diingini.
"Kadang-kadang ia berlaku kerana mereka tidak tahu dan tidak sedar, berilah mereka peluang untuk membuktikan kebenaran. Sekiranya anda menangkap seseorang dan kesannya adalah tindak balas dan kebencian daripada ahli keluarga dan masyarakat, apa manfaat yang boleh diperoleh dalam jangka panjang? "
Beliau menyarankan supaya diadakan pendekatan "seluruh negara" dengan guru, jurulatih dan pemimpin masyarakat membantu memantau "tanda amaran" itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk memberi tumpuan kepada aktiviti mengawasi platform dalam talian yang berselindung.
"Berilah pemuda dan gadis ini peluang kedua dalam hidup mereka dan hanya merujuk mereka kepada polis sebagai jalan terakhir," kata Normah, yang mengambil alih jawatan sebagai pegawai tertinggi anti-keganasan Malaysia itu pada Februari 2020.
"Memandangkan ancaman sekarang dianggap sebagai boleh ditangani, kepemimpinan kami mahu menyeimbangkan pendekatan terhadap ancaman daripada sudut yang berbeza, dan satu daripadanya adalah CVE atau menangani aspek ekstremisme ganas," katanya.
CVE merujuk kepada tindakan proaktif untuk menangani ekstremis dalam merekrut, meradikalisasi, dan menggerakkan pengikut kepada melakukan keganasan, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat.
Pakar-pakar anti-keganasan seperti Abuza, El Muhammady dan Aslam percaya bahawa perubahan strategi ini akan menjadi idea yang baik.
"Normah mengakui bahawa sejumlah besar penangkapan [pada tahun-tahun sebelumnya] mungkin tidak produktif, dan beberapa hukuman itu adalah tidak bersesuaian dengan jenayah yang dilakukan itu," kata Abuza.
CVE adalah apa yang disyorkan oleh kebanyakan organisasi antarabangsa, kata El Muhammady.
"Saya mengalu-alukan pendekatan ini. Fungis CVE perlu dipergiatkan dengan penyertaan masyarakat,” katanya.
Bagi Aslam, selain CVE, mencegah ekstremisme ganas atau PVE adalah sangat penting dalam usaha mengurangkan ancaman keganasan.
"PVE yang amat diperlukan sekarang. PVE boleh menentukan akar umbi keganasan,” katanya.