Thailand, Pemberontak Selatan Hampir Muktamadkan “Zon Keselamatan”: Ketua Perunding

Nontarat Phaicharoen & Mariyam Ahmad
2017.07.13
Bangkok & Pattani
170713-th-my-aksara620.jpg Jeneral Aksara Kerdpol, ketua delegasi perunding Thailand selepas perbincangan tertutup dengan pemberontak selatan, bercakap dengan media di ibupejabat Tentera Diraja Thailand di Bangkok, 28 Ogos, 2015.
BeritaBenar

Thailand dan panel pemberontak kini dalam proses memilih daerah yang akan menjadi kawasan ujian bagi gencatan senjata ketika kedua pihak berunding untuk perdamaian yang telah berlangsung selama dua tahun di selatan negara itu,  kata perunding utama Thailand kepada BeritaBenar pada Khamis.

Dalam wawancara yang jarang berlaku, Jeneral Aksara Kerdpol menyatakan bahawa pihak Thailand berada di peringkat akhir untuk memilih satu daripada senarai lima daerah yang dikenal pasti oleh MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak dalam perbincangan  damai tidak rasmi, sebagai tapak untuk "Zon keselamatan" - nama rasmi bagi gencatan senjata terhad.

Mereka sudahpun mencadangkan lima kawasan dan kami akan menentukan kawasan mana yang sudah bersedia," kata Aksara dalam temuramah melalui telefon, sehari selepas dia kembali dari perjalanan ke Kuala Lumpur, di mana beliau berkata beliau mengadakan pertemuan ‘bersemuka’ dengan fasilitator rundingan Malaysia. Beliau berkata, beliau juga telah berbincang sejak beberapa bulan lepas dengan anggota MARA Patani.

MARA mengemukakan senarai daerah selepas pasukan teknikal bersama yang terdiri daripada pegawai dari kedua belah pihak mengadakan tinjauan di lapangan untuk mengenal pasti kawasan  yang berpotensi untuk zon keselamatan, kata Aksara. Dia enggan mendedahkan nama-nama daerah dalam senarai itu.

"Apabila kita tahu (daerah) mana yang sudah bersedia, kita akan mengumumkannya dengan segera, dan mereka [MARA] hanya perlu mengesahkannya kemudian," kata Aksara kepada BeritaBenar.

BRN tentang perbincangan


Kedua-dua pihak memuji konsep zon keselamatan sebagai langkah untuk membangunkan keyakinan, dan mengambil langkah pertama yang diperlukan untuk meneruskan proses perdamaian di luar rundingan informal di mana Malaysia berlaku sebagai broker sejak tahun 2015.

Rundingan itu bertujuan untuk mengakhiri konflik puak pemisah yang telah berlangsung sekian lama di Thailand - di mana lebih 7,000 orang telah terkorban sejak pemberontakan kembali meletus 13 tahun lalu.

Bagaimanapun, perbincangan perdamaian tersebut belum berjaya menghentikan keganasan.

Selepas delegasi Thailand dan MARA bersetuju pada lewat Februari untuk menubuhkan rangka kerja gencatan senjata terhad, sekurang-kurangnya 50 orang telah terbunuh dan 138 lagi cedera dalam kejadian tembak-menembak serta pengeboman di serata kawasan selatan negara itu.

Ini dipercayai telah dilakukan oleh pejuang tegar dari kumpulan pemberontak selatan paling berkuasa, Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang menentang perbincangan dengan pihak kerajaan Thailand di bawah kawalan Tentera Thailand.

BRN menduduki tiga kerusi di dalam panel MARA Patani, tetapi, dalam satu kenyataan yang jarang dikeluarkan pada 10 April, BRN kelihatan menolak rundingan pendamaian itu.

"Tanpa menyebut nama MARA, jurucakap BRN Abdulkarim Khalid dalam kenyataan berkata bahawa panel yang berunding bagi pihak puak pemberontak tidak mempunyai mandat untuk berbuat demikian - satu leretan jelas bagi Malaysia, broker perbincangan semasa.

BRN juga menuntut untuk memainkan peranan penting dalam rundingan baru yang disaksikan dan dimediasi oleh ahli-ahli komuniti antarabangsa yang tidak berat sebelah.  

Pada akhir Jun lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Udomdej Sitabutr, yang merupakan ketua kepada Aksara, memberitahu pemberita bahawa Thailand mungkin meminta bantuan Malaysia termasuk "semua pihak" dalam proses perdamaian, apabila beliau mendedahkan bahawa pegawai Thailand telah mengadakan perbincangan mengenai "sama ada atau tidak mereka mempunyai rakan dialog yang betul.

Dalam temubual pada Khamis, Aksara berkata beliau baru-baru ini telah berbincang dengan "anggota BRN arus perdana" yang mempunyai kerusi di dalam MARA Patani.

"Mereka berada di sana, jadi saya tidak tahu siapa yang masih ada," kata Aksara, seolah-olah menolak spekulasi sama ada tiga pegawai BRN yang duduk di MARA - Awang Jabat, Sukree Hari dan Ahmad Chuwol - benar-benar mewakili anggota Barisan Revolusi Nasional.

"Kami bercakap sepanjang Ramadan, di pelbagai peringkat termasuk secara peribadi, jawatankuasa teknikal dan perwakilan penuh. Semalam, saya baru sahaja bertemu Dato, orang yang bertanggungjawab sebagai fasilitator, " kata Aksara, merujuk kepada pertemuannya minggu ini di Kuala Lumpur dengan Ahmad Zamzamin Hashim, fasilitator Malaysia.

Sebelum wawancara dengan Aksara, BeritaBenar telah menghubungi Abu Hafez Al-Hakim, jurucakap MARA Patani yang berpangkalan di Malaysia, yang mengatakan bahawa satu lagi rundingan dengan delegasi Thailand mungkin akan berlaku menjelang akhir bulan Julai, tetapi tiada tarikh telah disahkan.

Pakar pemusnah bom memeriksa kawasan pengemboman kereta yang mencederakan ramai orang di gedung besar C di bandar Pattani, selatan Thailand, 10 Mei, 2017. [Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

 

 

Razlan Rashid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.