Thailand Pertahankan Perbincangan Damai dengan Pemberontak Selatan

Mariyam Ahmad
2018.03.15
Pattani, Thailand
180315-TH-violence-620.jpg Pegawai-pegawai tentera menyiasat lokasi pengeboman jalan raya di Ja nae, sebuah daerah di wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, 18 Feb. 2018.
[Matahari Ismail/BeritaBenar]

Pegawai-pegawai Thailand telah berhubung dengan anggota pemisah bersenjata di Selatan Thailand sebelum ini tetapi pendekatan itu hanya membawa kepada lebih banyak keganasan, kata perunding damai junta negara ini pada Khamis, dalam langkah yang jarang sekali berlaku semasa mempertahankan proses perbincangan damai yang dikritik ramai.

Dalam satu kenyataan panjang lebar, Jeneral Aksara Kerdpol nampaknya membalas kritikan mereka yang menggesanya mengadakan perbincangan dengan para pemberontak di lapangan berbanding dengan rakan rundingannya pada masa ini, serta mereka yang meragui dengan proses damai itu secara umumnya.

"Pada masa lalu, beberapa penentang yang 'mahu berbincang' telah  menggunakan serangan ganas sebagai cip tawar menawar untuk menekan kerajaan supaya menyokong terma dan syarat mereka, dengan mendapat sokongan  pegawai-pegawai tertentu yang secara sulit menghubungi sumber penentang, 'katanya, yang menggunakan istilah kerajaan Thailand bagi pemberontak Melayu Islam di wilayah sempadan selatan Thailand.

Beliau tidak menyatakan bila hubungan seperti itu berlaku pada masa lalu.

"Dan para penentang disokong oleh militan di lapangan dengan menimbulkan keganasan di seluruh wilayah Selatan. Jika kami berunding dengan mereka, ini bermakna, kami menyokong keganasan, "katanya.

Pengkritik proses damai yang perlahan itu - yang telah mengenal pasti satu daerah untuk melaksanakan gencatan senjata pada masa depan selepas tiga tahun berbincang - sering membangkitkan bahawa kumpulan pemberontak paling ganas, Barisan Revolusi Nasional (BRN), tidak berada dalam kumpulan perbincangan itu.

Bagi pihaknya, wakil BRN telah mengumumkan hasrat mereka untuk berbincang secara langsung dengan kerajaan dengan antara syaratnya ialah  perbincangan itu dilakukan dengan kehadiran pengantara antarabangsa.

Tetapi, kerajaan "tidak mahu memberikan sebarang legitimasi kepada ekstremis" dan melaksanakan pendekatan tanpa kekerasan, kata Aksara pada Khamis.

"Kerajaan telah memaksa pihak penentang untuk mengikut hanya satu saluran bagi mencapai matlamat itu," katanya yang merujuk kepada panel MARA Patani yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak Selatan Thailand dalam perbincangan yang diusahakan oleh Malaysia.

Pegawai kerajaan, ahli akademik, media dan rakyat yang tidak mempercayai proses damai itu "adalah sebahagian daripada masalah yang wujud" dan akhirnya menyokong keganasan yang berterusan berlaku, dakwa Aksara.

Beliau menarik perhatian kepada ‘penulis ruangan’ akhbar yang, katanya, telah memberitahu orang ramai bahawa Muslim Selatan Thailand "boleh menerima kerugian - kematian dan kecederaan - demi meneruskan ideologi dan mencapai matlamat BRN."

"Adakah anda bertanya kepada orang itu sama ada mereka bersetuju dengan anda?"katanya, sambil memberitahu penulis itu "secara tidak langsung telah menjadi penyokong penyangak".

Perbincangan damai semata-mata tidak dapat mencapai keamanan, tetapi hanya orang yang menolak keganasan dan menerima dialog dapat membuka laluan berkenaan, kata Aksara.

Beliau menggesa "penduduk awam di kawasan berkenaan dan ahli akademik" supaya bersatu dalam menyokong penubuhan apa yang dianggap sebagai zon keselamatan, atau zon gencatan senjata terhad kepada satu kawasan geografi di Selatan Thailand.

Bulan lalu, dalam satu kenyataan lain, Aksara mengumumkan bahawa perunding Thailand dan MARA Patani telah bersetuju untuk memilih satu daerah di mana gencatan senjata akan dilaksanakan.

Beliau tidak mendedahkan nama daerah itu tetapi berkata pada masa itu bahawa gencatan senjata akan dilaksanakan enam bulan lagi.

Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di Selatan Thailand yang kebanyakan penduduknya adalah Muslim sejak pemberontakan kembali tercetus pada 2004.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.