Perlantikan fasilitator baharu rundingan damai, antara dibincangkan Anwar-Prawit

Fasilitator pada masa ini Abdul Rahim Noor, adalah pegawai polis tertinggi yang pernah menumbuk Anwar Ibrahim dalam ‘insiden mata lebam’ lebih 20 tahun lalu.
Iman Muttaqin Yusof & Nisha David
2022.12.09
Putrajaya
Perlantikan fasilitator baharu rundingan damai, antara dibincangkan Anwar-Prawit Abdul Rahim Noor (kiri), fasilitator Malaysia dalam rundingan damai Selatan Thailand, berjabat tangan dengan Jeneral bersara Udomchai Thammasarorat, ketua delegasi Thailand ke rundingan itu, selepas pertemuan di sebuah hotel di Bangkok, Thailand, 4 Jan, 2019.
[Pimuk Rakkanam/BenarNews]

Perancangan melantik fasilitator baharu adalah antara topik yang dibincangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwan semasa pertemuan pemimpin dua negara di Putrajaya pada Khamis, demikian kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia bulan lepas, telah menerima kunjungan hormat Prawit bersama delegasinya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya pada Khamis, yang turut dihadiri Saifuddin dan Menteri Pertahanan Mohamad Hassan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, antara topik yang dibincangkan dalam pertemuan dua jam itu adalah mengenai pergolakan di selatan, kejadian pengeboman terkini melibatkan jaringan keretapi Thailand, dan perlantikan fasilitator bagi rundingan damai melibatkan Bangkok dan puak pemisah.

Saifuddin yang menjawab pertanyaan semasa sidang media, sama ada Malaysia mempunyai perancangan melantik fasilitator baharu dan perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pemimpin, telah mengakui ianya adalah antara yang diperkatakan dalam pertemuan tersebut.

“Sampai masa kita akan umumkan [perlantikan fasilitator baharu]… saya boleh sebut bahawa perkara itu turut disentuh dalam perbincangan…, ia terlalu spesifik dan terperinci dengan beberapa komitmen bersama perlu dibincangkan, tetapi masih terlalu awal untuk saya berikan maklumat tentang perkara ini buat masa sekarang,” kata Saifuddin di Putrajaya pada Jumaat.

Malaysia adalah fasilitator kepada rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang bertujuan membantu kedua belah pihak mencapai penyelesaian terhadap konflik di Selatan Thailand.

Bekas Ketua Polis Negara ke-lima Malaysia Abdul Rahim Noor telah dipilih sebagai fasilitator menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim semasa usianya 75 tahun oleh Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad pada Ogos 2018.

Abdul Rahim yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dari 1994 hingga 1999 juga dikenali sebagai pegawai polis tertinggi yang menumbuk Anwar, timbalan perdana menteri yang dipecat oleh Mahathir dalam kes ‘insiden mata lebam’ lebih 20 tahun lalu.

Beliau juga diingati sebagai perunding yang memainkan peranan sehingga Parti Komunis Malaya meletakkan senjata dan menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah bersenjata paling berpengaruh di wilayah sempadan selatan melakukan pemberontakan sejak berdekad lalu terhadap Thailand, yang majoriti rakyatnya beragama Buddha, di wilayah selatan yang bersempadan dengan Malaysia di mana kebanyakan penduduknya beragama Islam dan dan bertutur dalam Bahasa Melayu.

Sejak puak pemisah menghidupkan semula pemberontakan di Selatan Thailand pada Januari 2004, sekurang-kurangnya 7,344 orang terbunuh manakala 13,641 cedera dalam keganasan di seluruh wilayah yang merangkumi Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla.

Pegawai Thailand dan BRN memulakan rundingan damai yang diusahakan Malaysia pada awal 2020 – berikutan perbincangan bertahun-tahun antara kerajaan dan MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang menyatukan kumpulan pemberontak Selatan Thailand termasuk BRN.

Rundingan bersemuka keenam, yang dijadualkan pada Oktober lalu, telah ditangguhkan kerana pilihan raya umum Malaysia November lepas, demikian menurut perunding kedua-dua pihak.

Keselamatan di sempadan

Dalam pada itu Saifuddin juga berkata Malaysia akan meningkatkan langkah keselamatan di sempadan negara susulan beberapa serangan bom di landasan keretapi di negara jiran Thailand yang menyaksikan beberapa kematian minggu lepas.

"Kita akan mempertingkatkan langkah keselamatan di kawasan sempadan antara kedua negara dan keduanya, kami juga bersetuju untuk mengambil tindakan susulan membabitkan pasukan keselamatan kedua-dua negara. Ini bukan khusus mengenai kes letupan bom tetapi merupakan satu tanda komitmen berterusan antara kedua negara," katanya.

Pada Sabtu lalu, Jaringan Kereta api Negara Thailand yang menyambungkan Hatyai dengan Padang Besar telah tergendala selepas landasannya dibom oleh penyerang yang masih belum dikenalpasti. Sebuah kereta api barang telah rosak dan tergelincir dari landasan dalam serangan itu.

Letupan tersebut turut menyebabkan kerosakan teruk kepada landasan kereta api tetapi tidak membabitkan sebarang kecederaan manusia.

Polis kemudiannya telah menemui bom buatan sendiri seberat 26kg di atas landasan tersebut, menurut laporan media.

Bagaimanapun, pada Selasa, satu lagi serangan bom telah menyebabkan kematian tiga pekerja syarikat kereta api manakala empat lagi tercedera. Tujuh pekerja itu sedang dalam perjalanan untuk membaiki satu seksyen landasan yang rosak disebabkan letupan pertama pada Sabtu.

Pihak berkuasa Thailand menyalahkan kumpulan pemisah atas kedua-dua serangan tersebut.

Bom berkenaan telah dipasang atas landasan di antara stesen Klong-ngae dan Padang Besar yang terletak di pinggir selatan Thailand, kawasan yang menyaksikan banyak kejadian serangan oleh kumpulan pemisah, serta di landasan yang menuju ke sempadan Malaysia.

Penganalisis keselamatan Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan di Universiti Pertahanan Malaysia berkata Malaysia perlu mengambil langkah segera terutama dengan menggerakkan pasukan tenteranya serta membuat langkah keselamatan tambahan susulan kejadian bom berkenaan.

Katanya, sebelum ini, serangan kebanyakkan berlaku di kawasan Pantai Timur, iaitu di Sungai Golok, Yala dan Narathiwat, tetapi sekarang mereka telah menuju ke kawasan Pantai Barat yang berhampiran dengan Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam.

"Menggerakkan tentera dan pihak berkuasa ke kawasan tersebut adalah sesuatu yang perlu dilakukan dengan kadar segera, dan saya rasa pasukan khas perlu diaturgerak dalam kes ini. Saya juga mencadangkan supaya hanya satu agensi dipertanggungjawabkan supaya ada arahtuju yang jelas.

"Kawalan patut dilaksanakan di sepanjang sempadan dari Barat ke Timur, dan ia mesti meliputi lebih daripada 50km radius dari sempadan ," kata Mizan kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.