Thailand Salahkan Pejuang Pembebasan Bagi 5 Tembakan Maut

Staf BeritaBenar
2016.03.29
Patani
160329-my-th-bunuh620 Polis menyiasat kejadian tembakan di Yarang dalam wilayah Patani di mana dua anggota tentera perisikan terbunuh, 27 Mac, 2016.
BeritaBenar

Pejuang pembebasan Islam yang berusaha menjadikan Selatan Thailand sebagai sebuah negeri, menembak dan membunuh dua pegawai perisikan tentera, seorang pemimpin kampung dan dua orang awam pada hujung minggu lepas di tengah-tengah keganasan yang kembali berlaku sejak awal Mac, kata polis pada Isnin.

Menurut laporan, peningkatan serangan pemberontak berlaku apabila butiran peribadi beribu-ribu warga asing yang tinggal di selatan Thailand telah dibocorkan secara ringkas dalam talian, yang merupakan satu pelanggaran data yang jelas semasa ujian laman web polis dilakukan.

Pada Sabtu, orang awam Duroning Sama, 51, dan Abdulashi Salae, 36, ditembak mati di sebuah ladang getah di Muang dalam wilayah Yala, menurut seorang pegawai keselamatan kerajaan yang percaya kedua-dua lelaki itu disasarkan kerana  dipercayai menjadi pemberi maklumat kerajaan.

Pada  Ahad, Tosa Benyunus, 53, seorang timbalan ketua kampung di Mayo dalam wilayah Pattani, telah ditembak mati di kediamannya oleh empat lelaki nyang menunggang motosikal, kata  Kolonel Polis Jiradesh Dao-Ngern-trakul.

"Kami percaya ia adalah perbuatan  pejuang pembebasan" katanya.

Pegawai perisikan dibunuh


Berikutan kejadian itu, dua pegawai perisikan tentera ditembak mati di Kampung Kaotoom di Yarang dalam wilayah Pattani.

Prebet Addaha Jedad dan Prebet Panawan Tesanarak dibunuh ketika menunggang motosikal melalui Kampung Kaotoom, menurut komander Biro Polis Wilayah Patani Mej-Jen Tanongsak Wangsupa.

Kedua-dua anggota berkenaan ditugaskan di pangkalan tentera Sirindhorn dan Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4, pemerintah tentera Thailand yang bertanggungjawab terhadap Selatan Thailand.

Tanongsak juga berkata beliau percaya kumpulan pejuang pembebasan  itu terbabit dengan kejadian pembunuhan itu, yang berlaku dua minggu selepas pejuang pembebasan merampas sementara sebuah hospital tempatan - Hospital Cho-Irong di wilayah Narathiwat -semasa meningkatkan serangan terhadap berek tentera berhampiran.

Rampasan hospital itu adalah sebahagian daripada serangan pejuang pembebasan pada ulang tahun ke-56 penubuhan Barisan Revolusi Nasional(BRN), kumpulan pejuang pembebasan paling besar dan paling berkuasa.

6 ribu terbunuh sejak 2004

Sejak 2004 sekurang-kurangnya 6,000 orang telah meninggal dunia dalam pertempuran pemisah di wilayah sempadan selatan Thailand, yang majority penduduknya  beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Usaha berterusan dilakukan kerajaan tentera yang menerajui Thailand untuk memujuk kumpulan pejuang pemisah supaya meneruskan rundingan damai rasmi buat pertama kalinya sejak Disember 2013, yang menemui jalan buntu.

Pakar dan penduduk menjangkakan lebih banyak keganasan akan berlaku susulan kejadian pembunuhan hujung minggu itu.

"Peningkatan pembunuhan orang awam sejak kebelakangan ini, atas apa jua sebab, adalah petunjuk bahawa keganasan berkemungkinan besar akan meningkat," kata profesor Srisompob Jitpiromsri, pengarah Deep South Watch, sebuah badan bukan kerajaan tempatan yang memantau konflik dan berfungsi sebagai platform untuk membincangkan cara untuk mengakhirinya.

"Ini juga menunjukkan bahawa mungkin ada kejadian yang lebih serius akan berlaku," katanya kepada BeritaBenar.

Srisompob berkata kerajaan cuba untuk meredakan keadaan tegang melalui projek-projek pembangunan yang nampaknya berkesan  kerana ia dapat diterima dengan meluas oleh penduduk tempatan tetapi terdapat beberapa penduduk, yang beliau merasakan tidak percaya kepada pihak berkuasa.

"Terdapat lebih banyak projek pembangunan dan para pegawai mempunyai peluang untuk bertemu penduduk tempatan," katanya.

"Tetapi penduduk kampung  terbahagi kepada dua - dengan satu kumpulan mula mendapat kepercayaan  kerajaan dan satu lagi tidak mempercayai kerajaan dan menjauhkan diri daripada menyertai mana-mana projek," kata Srisompob.

Seorang penduduk asal Patani, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Doloh, berkata kejadian pembunuhan terbaru itu menandakan bermulanya pusingan baru kempen berdarah para pejuang pembebasan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.