Thailand Buru 17 Warga Rohingya Lolos Pusat Tahanan di Sadao
2020.01.09
Pattani & Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Thailand sedang memburu baki 17 tahanan warga Rohingya yang dipercayai meloloskan diri daripada sebuah pusat tahanan di Sadao, selatan negara itu pada awal Rabu, dengan medianya pula melaporkan seorang telah ditahan semula di sempadan dan seorang lagi di Malaysia.
Ketua Polis Kawalan Sempadan 437 Sadao, Kapt Pol Suriwong Somsong berkata, seramai 19 tahanan warga Rohingya telah berjaya meloloskan diri daripada pusat tahanan di Sadao, yang terletak tidak jauh daripada sempadan dengan Kedah dan Perlis di Malaysia.
“Kesemua suspek yang ditempatkan di tingkat tiga depoh tahanan tersebut dipercayai melarikan diri dengan memotong jeriji besi tingkap dan menggunakan selimut yang diikat dan disambung untuk melarikan diri menerusi tingkap pada kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan,” katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia (Bernama) pada Khamis.
Beliau berkata, seorang daripada mereka yang patah kaki, berjaya ditahan semula ketika bersembunyi di sebuah kampung berhampiran dengan pusat tahanan tersebut.
Media tempatan Thailand pula melaporkan seorang lagi telah ditahan pihak berkuasa Malaysia di Kedah.
Sementara itu, Timblan Komander Biro Imigresen 6, Kolonel Polis Phairat Phukcharoen memberitahu media yang pihak berkuasa itu sedang memburu 17 warga Rohingya yang berjaya melarikan diri dengan mempergiatkan pemeriksaan di kawasan hutan dan kebun getah di sempadan Thailand dan Malaysia.
"Pegawai belum menemui 17 yang lain, walaupun menjalankan gerakan mencari di sempadan Thailand-Malaysia dengan pencarian diteruskan. Kami percaya mereka cuba melarikan diri menuju sempadan Malaysia. Kami sedang menyelaras secara dekat dengan pihak berkuasa Malaysia untuk membantu menangkap semula tahanan ini,” kata Phairat.
Pihak berkuasa Malaysia semasa dihubungi BeritaBenar dari Kuala Lumpur bagaimanapun berkata yang mereka tidak mendapat sebarang permintaan untuk mengesan tahanan yang cuba melarikan diri ke sempadan itu.
Komander Agensi Keselamatan Sempadan Negara bagi Kedah Abdul Latif Abdul Rahman berkata, “Kami tidak menerima apa-apa arahan atau meminta bantuan mengenai pelarian Rohingya yang dikatakan telah meloloskan diri dari sebuah pusat tahanan di Thailand daripada rakan sejawatan kami di Thailand,”
Kesemua mereka ditahan pihak berkuasa Thailand ketika cuba memasuki Malaysia dalam satu operasi pada Julai tahun lepas.
Suriwong juga berkata siasatan sedang dijalankan sama ada kesemua mereka dibantu rangkaian pemerdagangan manusia untuk melarikan diri.