Selatan Thailand: Ketua keselamatan mahu panel rundingan disertai wakil BRN yang berpengaruh

Pegawai Thailand berkata Perdana Menteri baharu Malaysia Anwar Ibrahim menawarkan “dinamika baharu” dalam usaha damai di negara itu.
Nontarat Phaicharoen & Mariyam Ahmad
2023.02.03
Bangkok & Pattani, Thailand
Selatan Thailand: Ketua keselamatan mahu panel rundingan disertai wakil BRN yang berpengaruh Ketua rundingan damai kerajaan Thailand Jen. Wanlop Rugsanaoh (kiri) bercakap dengan fasilitator Malaysia Zulkifli Zainal Abidin di Hotel Anantara Siam Bangkok, 3 Feb. 2023
[Ihsan Sekretariat Dialog Damai Thailand]

Bangkok mahu memastikan ia mengadakan rundingan dengan pihak yang betul dalam proses damai Selatan Thailand, khususnya mereka yang mempunyai pengaruh ke atas para pejuang, kata ketua penasihat keselamatan kerajaan kepada BenarNews sebelum fasilitator baharu bagi rundingan itu mengadakan lawatan ke Bangkok pada Jumaat.

Selain itu, penasihat keselamatan berkenaan Panitan Wattanayagorn berkata Perdana Menteri Malaysia yang baharu Anwar Ibrahim boleh menyuntik tenaga dalam usaha proses damai itu, dengan para penganalisis turut bersetuju bahawa sentimen itu perlu dilakukan.

Anwar akan melawat Thailand pada bulan ini dan Panitan menjangkakan perbincangan semasa lawatan itu memberi tumpuan kepada keselamatan di sepanjang sempadan negara termasuklah kes melibatkan pemberontak dengan dua kewarganegaraan, yang membolehkan mereka menyeberang masuk ke Thailand untuk melakukan serangan.

“Ini dapat menyekat pelarian dari Malaysia menyeberang masuk ke Thailand dan sebaliknya. Ini dapat menghalang mereka yang berniat jahat daripada masuk ke Thailand untuk menimbulkan masalah,” kata Panitan pada Rabu.

Beliau berkata Anwar telah terlibat dalam pengurusan keselamatan sempadan bersama dan isu rondaan bersama kedua-dua negara sebelum pelantikannya sebagai perdana menteri.

"Saya percaya Anwar berhasrat melaksanakan perkara itu dan menjadikannya sebagai legasi beliau," kata Panitan.

“Anwar mempunyai ‘dinamik baharu’ yang kami mahukan dalam mengendalikan isu Selatan Thailand. Beliau mempunyai kaitan dengan masyarakat sivil, politik tempatan serta tokoh penting Thailand termasuk Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan,” kata Panitan.

"Saya fikir lawatannya akan memberi manfaat kepada proses rundingan damai ini."

Mohd. Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia memberitahu BenarNews pada Disember bahawa beliau berpendapat bahawa Anwar boleh memainkan peranan penting dalam proses damai itu.

“Beliau adalah antara tokoh yang sangat dihormati di Thailand. Saya tahu bahawa sepanjang menjadi timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim banyak membantu umat Islam khususnya madrasah di Selatan Thailand. Jadi, dengan itu, saya percaya beliau boleh memainkan peranan yang penting,” kata Mohd Mizan ketika itu.

Lawatan fasilitator

Pada Jumaat, perunding kerajaan Thailand mengalu-alukan fasilitator Malaysia yang baharu Zulkifli Zainal Abidin, yang sebelum ini mengetuai angkatan tentera Malaysia. Jeneral Wanlop Rugsanaoh, yang mengetuai perunding kerajaan, telah memperkenalkan Zulkifli, yang dilantik oleh Anwar pada Januari, kepada orang awam, polis dan anggota tentera dalam pasukannya.

“Berhubung dengan lawatan fasilitator baharu itu, saya secara peribadi berharap beliau akan mendorong lebih banyak penglibatan daripada orang yang kami benar-benar ingin berbincang dengannya,” kata Panitan.

"[Saya] mengharapkan seseorang yang mempunyai pengaruh, dan bukannya bekas ahli atau pemberontak," katanya sambil enggan menamakan orang yang beliau mahu turut serta dalam rundingan itu.

Ahli Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang mewakili pemberontak dalam perbincangan itu sejak 2020, tidak mengulas mengenai mesyuarat pada Jumaat. Pada Januari lalu, Anas Abdulrahman yang mengetuai delegasi BRN mengesahkan bahawa beliau dan yang lain telah bertemu dengan Zulkifli.

Perbincangan di antara fasilitator dan pasukan kerajaan dapat bersama-sama menangani isu dengan menggerakkan rundingan damai ke hadapan.

“Perkara mengenai Pelan Komprehensif Bersama Menuju Damai (JCCP) atau rangka kerja perbincangan komprehensif turut dibangkitkan,” kata sumber, yang tidak dibenarkan bercakap dengan media, kepada BenarNews.

Jurucakap Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur mengumumkan bahawa rundingan seterusnya akan diadakan pada 21 dan 22 Februari di Kuala Lumpur. JCPP dijangka dibincangkan pada mesyuarat itu dalam usaha mengurangkan keganasan sambil menenangkan orang awam dan mencari penyelesaian politik untuk wilayah itu.

Zulkifli dijangka melawat wilayah Selatan Thailand dan bertemu dengan penduduk tempatan termasuk pemimpin agama untuk lebih memahami wilayah tersebut, menurut kenyataan kedutaan itu.

Rundingan itu, yang diusahakan Malaysia, adalah yang keenam diadakan di antara pasukan kerajaan dan BRN. MARA Patani, yang merupakan panel induk, mewakili pertubuhan dan puak pemberontak Selatan Thailand termasuk BRN dalam rundingan dengan kerajaan Thailand selama beberapa tahun sehinggalah BRN dan kerajaan Thailand memulakan rundingan secara langsung pada 2020.

Deep South merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, seramai 7,344 orang telah terbunuh dan 13,641 orang lagi cedera dalam keganasan di wilayah sempadan yang majoriti penduduknya Melayu dan beragama Islam, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Dalam serangan terbaharu pada petang Khamis, suspek melemparkan dua bom paip dan melepaskan berpuluh-puluh das tembakan ke arah pangkalan tentera di Kampung Batu dalam wilayah Narathiwat, menurut polis dan rakaman CCTV. Tiada sesiapa pun yang cedera.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.