Malaysia-Amerika Syarikat Bincang Isu Keselamatan Dan Pemerdagangan Manusia
2017.08.09
Kuala Lumpur

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson menamatkan lawatan dua harinya ke Kuala Lumpur pada Rabu selepas mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin tertinggi Malaysia mengenai isu keganasan, pemerdagangan manusia dan hubungan dua hala, yang sekaligus mengakhiri lawatannya ke Asia Tenggara sejak seminggu lalu.
Pada lewat malam Selasa, Tillerson bertemu Perdana Menteri Najib Razak diikuti dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung pada keesokannya dan mereka bertukar-tukar pendapat mengenai isu keselamatan termasuk kepentingan bersama serantau dan antarabangsa.
Tillerson menamatkan lawatan Asia Tenggaranya dengan bertemu dengan kakitangan kedutaan AS di Kuala Lumpur sebelum berlepas pulang ke Washington.
"Malaysia dan AS berkongsi pandangan bahawa keganasan dan ekstremisme perlu dipantau, terutama media sosial untuk mengekang unsur-unsur keganasan.
"Malaysia bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang deradikalisasi yang mana telah mencapai kejayaan 97.5 peratus," kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan media selepas mengadakan pertemuan dengan Tillerson selama lebih 40 minit itu.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin pada Rabu itu juga menyaksikan perbincangan meliputi jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan manusia, di mana Ahmad Zahid berkata Malaysia perlu menjalin kerjasama dengan rakan strategiknya termasuk AS.
Pada Jun lalu, Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 daripada Tahap 2 Senarai Pemerhatian pada tahun sebelumnya dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2017. Pada 2015 pula, Malaysia menduduki Tahap 2 Senarai Pemerhatian manakala pada 2014, Malaysia berada di Tahap 3.
Setiausaha Negara AS itu terbang ke Kuala Lumpur dari Bangkok selepas menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Serantau ASEAN (ARF) di Manila yang turut memberi tumpuan kepada ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara bulan lalu.
Tillerson merupakan pegawai tertinggi AS yang melawat Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Negara pada 1 Feb lepas.
Pertemuan dengan Najib
Pada lewat malam Selasa, Tillerson bertemu dengan Najib di Bangunan Parlimen selama 50 minit dengan diiringi oleh Duta AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir dan Pemangku Penolong Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Susan Thornton, menurut catatan laman Facebook oleh Kedutaan AS.
Sementara itu, Najib dalam catatan di Facebooknya berkata “Kami membincangkan isu-isu kepentingan dua hala, serantau dan antarabangsa dan saya berharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kami dengan AS,"
Dalam pada itu semasa berucap di majlis pertemuan pegawai dan kakitangan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Tillerson berkata, Malaysia dan AS mempunyai banyak persamaan dan hubungan yang sedia ada dan ianya sangat penting bagi negara itu terutamanya dari sudut pandangan keselamatan serantau.
“Dan kita mahu hubungan itu terus berkembang,” kata Tillerson di majlis itu.
Pada 2016 hubungan Malaysia-AS sedikit merosot apabila pendakwa AS memfailkan saman mahkamah untuk "merampas dan mendapatkan semula" beberapa aset bernilai AS$1 bilion (RN4.2 biliont) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB] yang disifatkan sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang telah dicuri daripada sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan.
Pegawai Jabatan Keadilan AS berkata sejumlah AS$4.5 bilion (RM19.2 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB. Ia tidak menamakan Najib dalam kedua-dua saman namun para pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini telah mengesahkan bahawa “Malaysian Official 1” (Pegawai Malaysia Pertama) yang disebut dalam dokumen mahkamah merujuk kepada perdana menteri Najib.
Najib yang telah berulang kali menafikan sebarang salah laku di dalam kes 1MDB, dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang kesalahan.
Lawatan Tillerson berlangsung serentak dengan lawatan pegawai tertinggi China, Ahli Majlis Negeri Wang Yong yang akan menghadiri majlis pecah tanah projek Jalur Lebar Pantai Timur 668 km (ECRL), bagi pihak Presiden China Xi Jinping.
Yong pada majlis pelancaran itu berkata, projek berkenaan adalah "contoh kerjasama ekonomi yang baik antara dua negara yang bakal memacu kemakmuran Malaysia", menurut akhbar The Star.
Pembinaannya, sebuah landasan kereta api elektrik yang melintasi empat negeri bernilai RM55billion (AS$12.8 bilion) itu telah dianugerahkan oleh kerajaan Najib kepada syarikat milik kerajaan China, China Communications Construction Company (CCCC).