Malaysia Pertahan Tindakan Sekat TMI Serta Merta

Hata Wahari
2016.03.22
Kuala Lumpur
160322-my-media620 Aktivis memakai topeng serta berpura-pura membaca surat khabar secara terbalik semasa protes senyap menyokong kebebasan media, di luar pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, 22 Ogos 2010.
AFP

Malaysia mempertahankan tindakannya menyekat portal berita popular The Malaysian Insider (TMI) dengan tidak menunggu siasatan terhadap laman itu tamat, kerana siaran “kandungan yang tidak diingini’ masih boleh dilayari, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan menganggap laman portal itu sama seperti laman web yang menyiarkan kandungan lucah atau melampau, jadi satu tindakan menghentikan serta merta perlu diambil.

“Kerajaan tidak dapat menunggu sehingga siasatan selesai. Jika kita tunggu sehingga siasatan selesai, bermakna kerajaan membiarkan kandungan yang tidak diingini terus dilayari pengguna,” katanya.

Pada 25 Feb lepas, Malaysia mengambil tindakan untuk menyekat akses kepada TMI di negara itu, iaitu sehari selepas portal berkenaan menyiarkan laporan yang berjudul “Cukup Bukti Dakwa Najib Isu SRC International, kata panel SPRM” yang antara lain menyebut mengenai adanya bukti yang boleh dipercayai untuk mendakwa Perdana Menteri Najib Razak ada kaitan dengan skandal dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada hari yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM berkata, tindakan menyekat laman web portal berita itu diambil berikutan aduan daripada orang ramai bahawa laman web tersebut telah menyiarkan kandungan boleh membawa kesalahan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lepas lebih sebulan ianya disekat, pada Mac 14 lalu, TMI mengambil keputusan untuk menamatkan penerbitan kerana masalah kewangan walaupun Ketua Pegawai Eksekutifnya Jahabar Sadiq mempertahankan kesahihan berita yang disiarkan itu.

Pada Januari, Peguam Negara Malaysia Mohamad Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada potensi pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan wang yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya semasa menjelang pilihan raya umum 2013.

Najib telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan peribadi.

'Kenyataan bodoh'

Sementara itu, Professor kewartawanan Universiti of Nottingham Malaysia, Dr. Zaharom Nain mengingatkan Menteri itu mengenai perbezaan antara portal seks dengan portal berita, dimana TMI merupakan sebuah portal yang memegang kepada standard etika kewartawanan yang tinggi.

“Portal seks mengekplotasi hawa nafsu manusia terutamanya kaum lelaki. Bagaimana Salleh boleh menyamakan kedua-dua portal sedangkan fungsi dan matlamat adalah berbeza…ini merupakan satu kenyataan bodoh,” kata beliau kepada BeritaBenar pada Selasa.

Bekas pensyarah kewartawanan Monash University Sunway Campus, Chin Huat Wong yang kini bertugas di Institut Pulau Pinang pula menegaskan bahawa tindakan kerajaan menyekat portal berita itu disebabkan kerajaan tidak mampu menangani kebenaran yang didedahkan oleh portal berita itu.

“Kalau portal berita The Malaysian Insider berbohong, kenapa kerajaan tidak berupaya untuk membongkar pembohongan mereka?  Kenapa perlu mengambil masa untuk membuktikannya?” tanya beliau semasa dihubungi BeritaBenar pada Selasa.

Beliau menambah, “Jika apa yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider adalah tidak benar mengenai berita berkaitan cadangan PPO SPRM itu, mengapa kerajaan tidak dedahkan cadangan yang dikemukan oleh panel itu kepada orang awam?”.

Ujarnya, kawalan media oleh Kerajaan Malaysia tidak membawa manfaat seperti mana yang berlaku di Mesir pada tahun 2011, apabila Presiden Hosni Mubarak menyekat internet. Pada hari keempat rakyat membantah pentadbiran beliau sehingga meningkatkan kemarahan rakyat, dan 14 hari kemudian, Hosni terpaksa melepaskan jawatannya.

‘Pinda Undang-undang’


Dalam pada itu, semasa ditemui sekumpulan media di lobi Parlimen, Salleh berkata, kementeriannya akan mengesyorkan satu pindaan undang-undang terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang dalam usaha mengawal selia media dalam talian atau blog yang berunsurkan politik.

Katanya, cadangan pindaan itu akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk diteliti tidak lama lagi bagi memperkukuh serta memperkemaskan mekanisme kawal selia Internet dan media.

The Malaysian Insider adalah laman web berita kedua yang disekat di Malaysia tahun ini selepas Asia Sentinel yang beribupejabat di Hong Kong.

Pada 2015, kerajaan menyekat akses dalam talian kepada The Sarawak Report, laman berita yang beribupejabat di Britain, yang membuat liputan tentang Malaysia dan turut menerbitkan artikel yang mengkritik Najib.

Tindakan Kerajaan Malaysia itu mendapat teguran daripada berbagai pihak termasuk Amerika Syarikat yang menggesa Malaysia "menghormati sepenuhnya" kebebasan bersuara dan melonggarkan sekatan terhadap media yang melaporkan secara kritikal tentang kerajaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.