Gas Toksik: Tidak Perlu Isytihar Darurat di Pasir Gudang, Mahathir

Radzi Razak
2019.03.14
Kuala Lumpur, Malaysia
190314-MY-health-scare-chemical-folo1000.JPG Pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih dibersihkan dengan air oleh unit HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas dipercayai tercemar dengan sisa kimia, di Pasir Gudang, Johor, 11 Mac 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia menolak pengisytiharan darurat bencana di kawasan yang terdedah dengan pencemaran sisa kimia di daerah Pasir Gudang, Johor, dengan meminta semua pihak memberi keyakinan kepada kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Mahathir Mohamad berkata demikian selepas sesi lawatan dan taklimat berkenaan krisis tersebut oleh Jawatankuasa Petugas Khas di Pasir Gudang pada Khamis.

“Kita tidak perlu mengisytiharkan darurat… dan tidak perlu memindahkan penduduk, tapi kita perlu berhati-hati…. dengan mereka yang bertugas untuk mengawal keadaan mestilah bersedia untuk menangani apa jua masalah yang berlaku.

“Saya dapati dalam taklimat yang diberikan daripada pelbagai pihak, mereka telah menjalankan tugas dengan sempurna walaupun kes seperti ini tidak pernah berlaku, tetapi apa yang dapat dilihat - bomba, polis, hospital, sekolah dan lain-lain - mereka telah tangani perkara ini dengan cekap dan berkesan," kata Perdana Menteri berusia 93 tahun selepas melawat mangsa keracunan toksik itu di Hospital Sultan Ismail [HSI] di Johor Bahru.

Beliau berkata walaupun mangsa mengalami kesan yang serius, doktor yang ditugaskan untuk merawat kes-kes tersebut sedar dan mengetahui bagaimana menangani racun yang sedemikian.

“Saya harap orang di sini memberi keyakinan terhadap kerja-kerja yang dilakukan,” kata beliau kepada media pada satu sidang media di Johor Bahru.

Sebelum itu, di Parlimen, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Hanipa Maidin menjelaskan, usul yang dibawa untuk minta isytihar darurat bencana tidak diterima sebab tiada permintaan daripada kerajaan negeri Johor.

“Usul dibawa untuk minta isytihar darurat tapi tadi kita buat keputusan iaitu tidak terima sebab tiada permintaan daripada kerajaan negeri (Johor).

Menteri Besar Johor Osman Sapian pada Rabu berkata insiden pencemaran itu masih dalam keadaan terkawal dan tidak memerlukan pengisytiharan darurat di Pasir Gudang.

Bantuan Tentera

Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan kepada media berkata, dua pasukan bersama satu lagi pasukan bantuan medik telah dikerahkan ke kawasan krisis untuk membantu kerajaan negeri dalam memberikan bantuan kepakaran dan pembersihan di kawasan Pasir Gudang.

“Pasukan 25 anggota pasukan peninjau Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CRBN) daripada Skuadron 12  Rejiman Askar Jurutera DiRaja (RAJD) pimpinan Lt Kol Norhelmi Ismail telahpun memulakan tugas sejak Rabu untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di tempat kejadian bagi memastikan keberkesanan penyahcemar dan pembersihan 2.43 tan bahan kimia di Sungai Kim Kim serta kawasan sekitarnya.

"Tim (Pasukan) ini turut dilengkapi dengan beberapa peralatan khusus iaitu ChemPro Lightweight Chemical Detector (LCD), Sampling Equiptment, CBRN Protective Suit (Complete), Tyrek Suit, Breathing Apparatus (BA), Nitrile Glove dan N95 Mask.

"Selain itu Tentera Darat juga telah menghantar Tim Casualty Evacuation Unit (CEU) dari 2 Batalion Ubat bersama seorang pegawai perubatan dan tiga paramedik dan sebuah ambulan yang akan bergabung dengan Tim Nyah Cemar CRBN untuk bantuan kepada Tim Tentera Darat yang terlibat dalam operasi,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Sel Pehubungan Raya Tentera Darat di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu Kerajaan Negeri Johor mengesahkan seramai 2,775 orang telah dirawat sehingga Khamis berikutan komplikasi kesihatan akibat daripada pencemaran sisa kimia itu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Sahruddin Jamal berkata 1,906 kes telah dirujuk ke Medic Base Kementerian Kesihatan di kawasan terlibat sebelum dibawa ke hospital.

"Seramai 1,483 mangsa di tempatkan di Medic Base Dewan Taman Pasir Putih dengan 224 kes dirujuk ke hospital, manakala seramai 423 lagi mangsa ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Mawar dengan 52 kes dirujuk ke HSI.

"Seramai 869 mangsa telah mendapatkan rawatan secara terus di hospital dan klinik-klinik di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru tanpa merujuk kepada Medic Base yang dibuka," kata beliau dalam satu kenyatan mengenai perkembangan terkini kes tersebut lewat Khamis.

Suspek tidak didakwa


Dalam padai itu, Sahruddin turut berkata seorang suspek - pemilik kilang tayar kitar semula yang telah ditahan minggu lalu masih belum boleh didakwa walaupun kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa.

“Kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, namun pihak JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan itu,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas lebih 20 wartawan menunggu di kawasan mahkamah pagi Khamis selepas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pada satu sidang media memaklumkan yang pengusaha kilang penguraian tayar haram di Kulai akan didakwa di mahkamah Johor Bahru pada Khamis.

Tidak dapat dipastikan jika kilang yang diserbu itu masih lagi beroperasi susulan tangkapan pemiliknya oleh penguatkuasa baru-baru ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 34b Akta Alam Sekitar yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM 500,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata proses siasatan terhadap tiga suspek yand ditahan pihak JAS minggu lalu itu masih berjalan.

“Setakat ini, tiada tangkapan tapi kita akan soal siasat (tiga suspek ini). Sekarang ni, terlalu premature (awal) untuk saya nyatakan (hasil siasatan.

“Polis dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), akan memeriksa mengenainya. JAS akan membuat pemeriksaan dan kita akan membantu dan berharap siasatan ini akan berakhir dengan segera,” katanya kepada wartawan dalam satu program di Johor.

Setakat ini, Khalil berkata pihaknya telah menerima 51 laporan polis berhubung pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di sungai berkenaan minggu lepas.

Sehingga kini sebanyak 111 sekolah telah diarahkan ditutup sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Singapura Pantau


Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) negara jiran itu berkata mereka sentiasa memantau kejadian tersebut secara dekat dan mendapati tiada kesan toksik atau bahan asing dalam kualiti air dan udara negara itu.
.
"Pihak berkuasa Agri-Makanan dan Veterinar (AVA) juga bekerjasama dengan para petani bagi memantau situasi dan tiada bahan asing atau perubahan terhadap ikan yang berlaku di kolam-kolam ikan kita," kata kenyataan bersama agensi Singapura itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.