Tony Fernandes Sertai Majlis Global Amnesty International
2016.07.01
Kuala Lumpur

Amnesty Intenational [AI], sebuah badan antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi manusia pada Jumaat, mengumumkan penyertaan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes ke dalam barisan Majlis Global badan dunia itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan media dengan Setiausaha Antarabangsa AI, Salil Shetty berkata, penyertaan Tony merupakan satu penghormatan yang sangat dialu-alukan dengan beliau membawa pengalaman dalam bidang keusahawanan serta kreativitinya untuk bersama majlis global itu.
"Kehadiran seorang tokoh perniagaan terkenal dari Asia dalam majlis itu, akan meningkatkan kehadiran Amnesty International dan tumpuan kami terhadap isu-isu hak asasi manusia di Asia dan di seluruh dunia," tambah beliau.
Tony bakal menyertai barisan tokoh lain seperti penulis terkenal Brazil, Paulo Coelho, usahawan Richard Branson, tokoh kewangan dan dermawan Krishna Rao, artis veteran Jepun Yoko Ono, aktivis sosial Hadeel Ibrahim dan ahli perniagaan Bassim Haidar.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif AI-Malaysia, Shamini Dharshini berkata, badan bukan kerajaan itu sangat berbangga mempunyai seorang rakyat Malaysia menduduki barisan Majlis Global - "Rakyat Malaysia pertama dijemput menjadi sebahagian daripada majlis berkenaan"
"(Tan Sri) Tony Fernandes adalah antara individu paling berpengaruh di seluruh dunia dan kami percaya bahawa ini adalah langkah ke hadapan untuk masa depan hak asasi manusia di Malaysia, kerana dia boleh membantu memberi lebih banyak penjelasan mengenai isu-isu hak asasi manusia Malaysia pada skala global," katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, AI-Malaysia tidak sabar untuk bekerjasama dengan Tony serta mempunyai keyakinan tinggi bahawa usahawan Malaysia itu akan membawa perubahan yang positif dalam pembangunan hak asasi manusia sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Majlis Global itu ditubuhkan pada tahun 2013 untuk membantu meningkatkan sokongan orang awam dan sumber kewangan dalam membantu perkembangan Amnesty di Afrika, Asia, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Pengumuman penyertaan Tony dalam majlis global itu dibuat sehari selepas kerajaan Amerika Syarikat mengumumkan bahawa Malaysia gagal untuk meningkatkan usaha-usaha anti-pemerdagangan manusia 2015, dan kekal berada di dalam “Senarai Pemerhatian" kerajaan AS terhadap negara-negara yang "tidak memenuhi sepenuhnya standard minima" untuk membanteras pemerdagangan manusia.
Sementara itu, Tony yang juga pengerusi pasukan bola sepak Inggeris, Queen Park Rangers serta pengilang kereta sukan ringan Caterham Group, British berkata, beliau tidak sabar untuk memainkan peranannya dalam majlis itu dan mengakui bahawa beliau telah mula terlibat dengan AI apabila berusia 13 tahun kerana badan tersebut mementingkan hak asasi manusia bagi maruah manusia.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat berbakti kepada Amnesty International sebagai sebahagian daripada Majlis Global, dan saya berharap untuk mewujudkan kesedaran dalam mengorak penglibatannya di Asia, terutamanya di kalangan belia Asean," kata Tony dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Amnesty International itu.
Time Magazines menyenarai Tony sebagai antara 100 tokoh paling berpengaruh di dunia pada tahun lepas, manakala AirAsia pula dinamakan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik di Dunia, serta menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik di Asia untuk tujuh tahun berturut-turut daripada Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax di Paris.