Rasuah: SPRM Tahan Ketua Polis Trafik Negeri, 11 Pegawai dan Anggota
2020.03.11
Kuala Lumpur, Malaysia

Ketua Polis Trafik negeri Pulau Pinang adalah antara 12 pegawai kanan dan anggota polis yang ditahan reman selama tujuh hari mulai Rabu bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kesalahan rasuah dengan melindungi kenderaan berat yang melakukan kesalahan lalu lintas di negeri itu, demikian menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penahanan 11 pegawai kanan dan seorang anggota polis dari Jabatan Ketenteraman Awan dan Trafik Pulau Pinang, yang berusia antara 31 dan 59 tahun adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
"Semua 12 pegawai dan anggota polis telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 Mac hingga 17 Mac di lokap SPRM Pulau Pinang dan lokap berpusat Bayan Baru. Reman ke atas mereka dijalankan di bawah Seksyen 117 kanun Acara Jenayah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Jenayah 1 Georgetown, Pulau Pinang, Nur Fadrina Zulkhairi," katanya kepada BeritaBenar.
Dalam pada itu, menurut sumber, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada ketua jabatan, ketua bahagian di daerah yang berpangkat Superintendan, Asisten Superintendan dan Inspektor yang mempunyai peranan melindungi kenderaan berat yang melakukan kesalahan trafik dan muatan berat.
"Rasuah dibayar bagi menutup mata semua jenis kesalahan trafik, dengan lori-lori bebas bergerak melebihi muatan, malah pegawai dan anggota itu juga dipercayai membocorkan maklumat mengenai operasi di jalanraya," katanya kepada Beritabenar.
Beliau berkata, setiap pegawai dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 (AS$2,359) hingga RM36,000 (AS$8,493) secara bulanan dan mereka adalah sebahagian daripada 70 pegawai dan anggota beberapa agensi penguatkuasaan di utara Malaysia yang dikenalpasti mengambil rasuah bagi melindungi pemandu lori dari dikenakan tindakan undang-undang.
"Anggota beberapa agensi penguatkuasa yang bertugas di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis telah disyaki berbuat demikian untuk tidak bertindak ke atas pemandu lori membawa lebih muatan.
“Operasi ini terbahagi kepada beberapa fasa dan ini adalah fasa pertama dengan penangkapan 12 pegawai kanan serta anggota polis ditahan. Terdapat agensi dan jabatan lain dalam radar operasi kami," kata sumber yang mengetuai operasi namun identitinya tidak boleh didedahkan.
Menurut sumber, sindiket itu dianggotai puluhan pegawai dan anggota dari pelbagai agensi yang mampu meraih ratusan ribu ringgit setiap sebulan hasil komplot jenayah mereka.
Katanya operasi yang dijalankan susulan keluhan pemandu lori yang mendakwa terpaksa membayar wang sogokan serta menerima ugutan jika gagal berbuat demikian.
Sebuah akhbar tempatan, Harian Metro, pada April 2019 melaporkan, sekurang-kurangnya 75 anggota penguatkuasa dan pegawai JPJ di utara semenanjung Malaysia itu telah ditahan SPRM selepas disyaki menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori lebih muatan.
Bagaimanapun, menurut sumber itu, selepas setahun penangkapan beramai-ramai anggota penguatkuasa JPJ, keadaan kembali seperti biasa.
"Aktiviti mereka ini dipercayai bermula sejak Julai tahun lalu, tiga bulan selepas penangkapan di Pulau Pinang dengan pemindahan wang dibuat menggunakan akaun milik ejen, anggota keluarga atau rakan-rakan bagi menyukarkan siasatan," menurut sumber itu lagi.
Ketua Polis Negara kecewa
Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan pegawainya yang ditahan agensi anti rasuah kerana dipercayai menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori lebih muatan.
"Budaya mengambil rasuah seolah-olah tidak memberi kesan kepada psikologi mereka sedangkan pelbagai amaran dan nasihat sudah dilakukan secara dalaman.
"Saya masih tidak berputus asa dan menerusi Jabatan Pengurusan Polis akan terus berusaha memberikan kesedaran kepada pegawai dan anggota bagi mengelak daripada pengambilan rasuah,” katanya di Kelantan pada Rabu sambil memaklumkan belum lagi menerima laporan lengkap berhubung kes tersebut.
Abdul Hamid yang mengalu-alukan tindakan SPRM sekiranya mereka mempunyai maklumat berhubung salah laku anak buahnya berkata, “Saya tidak boleh kata apa, kecewa memang kecewa dan yang lebih menyedihkan ahli keluarga terpaksa menanggung kesan akibat perbuatan itu.”
“Yang mengambil adalah suami, kalau mereka tidak fikir nasib keluarga, maka teruskanlah, namun bila tertangkap tiada lagi sesalan kerana sudah cukup larangan, amaran dan nasihat yang telah diberi,” katanya sambil menambah yang pihaknya memberi kerjasama 100 peratus kepada SPRM terhadap kes berkenaan.
“SPRM akan melengkapkan kertas siasatan untuk proses pendakwaan jika bukti cukup. Sekiranya tidak cukup standard untuk pendakwaan, mereka akan serahkan kepada polis untuk tindakan disiplin. Yang pasti mereka tidak akan terlepas," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Zamri Yahya yang bertanggungjawab ke atas isu integriti pegawai dan anggota polis memberitahu siasatan terhadap 13 pegawai dan anggota akan dijalankan termasuk melibatkan pemilikan aset, dokumen pekerjaan dan pergerakan anggota sama ada mereka mematuhi Peraturan dan Standard Operasi (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jika ada antara mereka tidak mematuhi peraturan, tindakan tatatertib boleh diambil. Selain itu, sekiranya dituduh di mahkamah, mereka akan dikenakan hukuman tahan kerja,” katanya kepada BeritaBenar sambil memaklumkan tindakan tahan kerja tidak akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan terhadap pegawai terbabit.