Gesaan Isytihar Harta Bergema Lagi
2017.05.17
Kuala Lumpur

Gesaan berhubung pengisytiharan harta bergema lagi apabila sebuah badan menentang rasuah antarabangsa mahu Perdana Menteri, pentadbiran kerajaan Malaysia dan badan kehakiman mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam mentadbir negara.
Transparency International Malaysia (TI-M) mahu pengisytiharan harta itu turut melibatkan anggota kabinet termasuk Menteri Besar, Ketua Menteri, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Hakim.
“Semua yang berada di dalam kelompok itu, dan dalam pentadbiran kerajaan perlu mengisytiharkan secara terbuka melalui talian serta boleh diakses oleh orang awam . Ketua Pesuruhjaya SPRM pula perlu membuat pengisytiharan harta kepada Parlimen bagi meningkatkan ketelusan di semua peringkat dalam pentadbiran kerajaan,” kata Presiden TI-M Akhbar Satar kepada BeritaBenar pada Rabu.
"Tidak ada bahaya, kerana setiap tahun terdapat senarai teratas 10 orang terkaya di Malaysia di samping sebelum ini pegawai –pegawai kerajaan juga perlu mengistiharkan harta setiap lima tahun," katanya.
Pada ketika ini, anggota kabinet perlu mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri manakala ketua jabatan dan kementerian pula mengisytiharkan kepada ketua setiausaha kepada kerajaan.
Gesaan pengisytiharan harta itu bukan perkara baru malah telah beberapa kali diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pada tahun 2012 pengerusi lembaga penasihat panel SPRM Zaitun Zawiyah Puteh telah meminta ahli keluarga dan pasangan menteri kabinet diwajibkan mengisytihar harta dan aset mereka kepada suruhanjaya itu.
Permintaan itu dibuat berikutan kes yang melibatkan keluarga Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil yang terlibat dalam skandal projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bernilai jutaan ringgit.
Najib pada masa itu dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengamalkan proses pengisytiharan harta lebih awal berbanding yang lain.
Dalam pada itu, pada 2015 gesaan itu sekali lagi berbunyi apabila Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta pengisytiharan harta secara berkala dibuat dan maklumat mengenainya patut disimpan oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Parlimen dan gesaan itu dibuat rintitan tercetusnya skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad yang melibatkan Perdana Menteri.
“Di Amerika Syarikat kesemua pemimpin-pemimpin dan pegawai –pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta di dalam talian manakala di Thailand, Suruhanjaya Kebangsaan Pencegahan Rasuah sejak tahun 1999 menetapkan semua pemimpin yang memegang jawatan dan pegawai tinggi perlu mengisytiharkan harta dan tanggungan termasuk yang dimiliki oleh isteri serta anak-anak,” kata Akhbar.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan bersetuju dengan gesaan tersebut dan menegaskan satu kertas konsep mengenai pengisytiharaan harta telah dibuat untuk membolehkan Kerajaan Malaysia melaksanakan program tersebut.
Katanya, kertas konsep yang bertajuk “Bagaimana Sistem Pengisytiharaan Harta Boleh Diperbaiki dan Membantu Membasmi Rasuah” telah dibuat oleh pegawai penyelidik IDEAS sejak 2009.
“Pada masa ini Menteri dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri, pegawai-pegawai kerajaan mengisytiharkan harta kepada ketua jabatan dan ahli-ahli Parlimen dibawah undang-undang tidak perlu mengisytiharkan harta,” katanya.
Jadikan mandatori
IDEAS juga, kata Wan Saiful, mencadangkan perisytiharan itu dibuat kepada jawatankuasa Parlimen yang bebas dari cabang eksekutif kerajaan secara mandatori.
Tegas Wan Saiful, SPRM juga perlu membuat pengesahan pengisytiharan harta yang dibuat kepada jawatankuasa tersebut sambil menambah amalan pengisytiharan kepada Perdana Menteri perlu dihentikan.
“SPRM perlu diberi mandat untuk membuat pengesahan pengistiharan harta tersebut dengan mengadakan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta badan-badan yang mempunyai maklumat,” tegasnya kepada BeritaBenar sambil bersetuju orang awam perlu mempunyai akses kepada pengisytiharan tersebut.
Sebelum ini, Najib telah diminta untuk meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan terutamanya berhubung deposit wang sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013.
Pada Januari tahun lepas, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap Perdana Menteri ditutup dengan menyatakan ‘tiada kesalahan jenayah’ yang dilakukan beliau.
Apandi berkata, wang sebanyak AS$681 juta itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar wang itu telah dikembalikan kepada penyumbangnya.
Najib menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan dirinya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah SPRM, Azam Baki memberitahu, suruhanjaya itu kini bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mendapat harta yang dibuat oleh pegawai kerajaan.
“SPRM juga telah mencadangkan agar ahli-ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri supaya mengisytiharkan harta kepada suruhanjaya tersebut,” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.
Tambahnya, SPRM juga telah mencadangkan agar ahli-ahli keluarga anggota-anggota Kabinet, Menteri Besar serta ahli keluarga terdekat yang telah menerima kontrak kerajaan juga mengisytiharkan harta mereka.
Jelasnya semua ini telah dicadangkan dan beliau percaya perkara tersebut sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.
Kempen Kleptocrazy
Sementara itu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) pada Sabtu lalu telah melancarkan kempen Kleptocrazy Malaysia dan laman web bagi membolehkah orang ramai membuat laporan mengenai kekayaan dan aset yang dimiliki oleh tokoh awam yang dipercayai hidup diluar kemampuan mereka.
Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata, melalui laman Kleptocrazy.my, pengguna boleh menghantar pelbagai bukti untuk menyokong dakwaan mereka itu dan badan bukan kerajaan itu akan bekerjasama dengan SPRM untuk menyalurkan maklumat yang diperolehi sama ada siasatan perlu dibuat.
“"Tidak salah jadi kaya, ia hanya salah jika melalui cara haram. Tindakan ini tidak bermakna C4 cuba menganiayai pegawai kerajaan kerana semua laporan yang dibuat oleh orang awam akan diditapis dan seboleh-bolehnya akan disilang semak dengan agensi-agensi lain di dalam kerajaan,” kata Cynthia pada majlis pelancarannya Sabtu lepas.
Dalam pada itu, BeritaBenar cuba untuk mendapatkan maklumbalas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low tetapi tidak berjaya dan menurut laporan portal Free Malaysia Today dalam satu respon terhadap kempen yang dilancarkan oleh C4 itu, Paul mempersoalkan etika membiarkan orang ramai menjadi hakim kepada individu yang mereka fikirkan menerima rasuah.
“Adakah laman web itu seperti hakim yang mana ia membenarkan orang awam menjadi penentu sama ada dakwaan mereka adalah benar atau tidak,” katanya seperti dilaporkan itu.
Beliau juga mempersoalkan mengenai kesahihan berita yang dibuat oleh orang awam tersebut.