Mahkamah Malaysia Kekal Larangan Perjalanan Terhadap Pengkritik
2017.07.05
Kuala Lumpur

Kerajaan Malaysia berhak melarang mana-mana warganegara, termasuk pengkritik kerajaan daripada membuat perjalanan ke luar negara, mahkamah kedua tertinggi negara memerintah pada Rabu ketika menolak rayuan seorang anggota pembangkang.
Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia itu akan menjejaskan pengkritik kerajaan dan aktivis hak asasi manusia yang perjalanan mereka telah disekat oleh pihak berkuasa Malaysia, seperti kartunis satira yang memenangi anugerah dan penyumbang BeritaBenar Zunar.
Pada Rabu, panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan yang dibuat oleh ketua publisiti Parti Tindakan Demokratik (DAP) Tony Pua, seorang ahli parlimen yang dilarang meninggalkan negara untuk pergi ke Jogjakarta, Indonesia, pada Julai 2015.
Hakim Idrus Harun berkata, hak untuk membuat perjalanan ke luar negara dan penerbitan pasport adalah hak istimewa yang diberikan oleh pemerintah atas budi bicara mutlaknya.
"Ketentuan mengenai hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara tidak dinyatakan secara nyata dalam Pasal 5 (Perlembagaan Persekutuan 1945).
"Perayu gagal memperlihatkan apa-apa merit dalam kesnya dan kami tidak mempunyai sebab untuk campur tangan dalam penemuan Mahkamah Tinggi," kata Idrus, sambil mengesahkan keputusan mahkamah rendah yang menentang Pua berhubung larangan perjalanannya.
Artikel 5 menyentuh mengenai kebebasan asas rakyat Malaysia.
Hakim Mohd Zawawi Salleh dan Kamardin Hashim menyertai Idrus dalam keputusan itu.
Di bawah Perkara 5 dan Akta Imigresen, Pua tidak mempunyai hak untuk diperdengarkan dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen tidak bertanggungjawab untuk menjelaskan alasan di sebalik larangan itu, Idrus memutuskan.
Pua, yang dibenarkan membuat perjalanan pada Oktober 2016 selepas larangan itu dimansuhkan, telah menamakan ketua pengarah dan kerajaan sebagai responden.
Gobind Singh Deo, seorang peguam yang mewakili Pua, berkata beliau akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi negara itu. Beliau berkata larangan perjalanan itu bertentangan dengan hak sah anak guamnya untuk melakukan perjalanan ke luar negara dengan pasport yang sah.
Peguam kerajaan Shamsul Bolhassan berhujah bahawa pasport adalah hak istimewa, bukan hak mutlak warganegara Malaysia.
Ketetapan pengaruhi pengkritik
Selain Zunar, keputusan itu dijangka memberi kesan kepada Maria Chin Abdullah, ketua gerakan akar umbi Bersih, yang telah menganjurkan demonstrasi jalanan besar-besaran yang berjuang untuk kerajaan yang telus di Malaysia.
Maria dilarang dari membuat perjalanan ke Korea Selatan pada Mei 2016 untuk menerima anugerah hak asasi manusia. Beliau berkata pihak berkuasa telah meyakinkannya pada Disember 2015 bahawa larangan tahun 2012 telah ditarik balik, tetapi dia disekat semasa hendak meninggalkan Malaysia lima bulan kemudian.
Zunar dijangka membentangkan cabaran terhadap larangan perjalanan, yang berkuatkuasa sejak Jun 2016, sebelum mahkamah rendah pada 25 September.
"Ini akan menjadi sukar bagi saya kerana, dalam amalan biasa, Mahkamah Tinggi akan mengikuti keputusan Mahkamah Rayuan," kata pemenang Hadiah Cartooning for Peace Award 2016.
"Hak asasi adalah suatu fakta - ia tidak terbuka kepada tafsiran," katanya kepada BeritaBenar. "Ia juga dinyatakan dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Saya tidak tahu mengapa hakim memilih kelabu apabila hitam dan putih betul-betul berada di hadapan mereka. "
"Bagaimanapun, saya akan terus berjuang, berjuang dan berjuang untuk kembalikan hak kebebasan bergerak."
Zunar, nama sebenarnya Zulkiflee Anuar Ulhaque, berkata kebebasan bergerak adalah hak asasi bagi semua warganegara sebagaimana dinyatakan dengan jelas di bawah Artikel 5, 8 dan 9 Perlembagaan Persekutuan.
Sehingga November 2016, lebih daripada 700,000 warganegara dilarang meninggalkan negara, New Straits Times melaporkan pada masa itu. Ramai yang ditahan kerana hutang terkumpul.
Larangan perjalanan bermotifkan politik; orang ramai berharap mahkamah mempertahankan hak rakyat atau sekurang-kurangnya meminta pihak berkuasa menjelaskan tindakan mereka, kata Eric Paulsen, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, sebuah NGO tempatan.
"Kami terkejut dengan keputusan itu kerana ia memberi imigresen kuasa mutlak untuk membuat keputusan kerana mereka dengan mudah boleh melarang sesiapa sahaja daripada membuat perjalanan tanpa memberi alasan.
"(Dengan ini) tidak benar jika kita dikatakan hidup dalam parlimen berdemokrasi serta hak beperlembagaan," katanya kepada BeritaBenar.
Peguam, Mohamad Haniff Khatri Abdulla, yang bercakap terhadap kerajaan Perdana Menteri Najib Razak, menggesa Pua ke Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan itu.
"Terdapat keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, yang mengatakan tiada undang-undang boleh menghalang mahkamah daripada menjalankan proses keadilan, dan mahkamah juga perlu menyemak dan mengimbangi keputusan yang dibuat oleh cabang eksekutif kerajaan dalam usaha untuk melindungi kedaulatan undang-undang," katanya kepada BeritaBenar .
Pihak berkuasa Malaysia telah memperkenalkan dasar yang mengharamkan rakyat yang mencemar atau mengecam kerajaan daripada membuat perjalanan ke luar negara, menurut akhbar tempatan, yang telah menimbulkan kritikan dari penyokong kebebasan awam.
"Sesiapa yang mengecam kerajaan atau 'memburukkan kerajaan' dalam apa cara akan dihalang daripada pergi ke luar negara," kata sumber di Jabatan Imigresen kepada The Star pada Mei 2016.
Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Sakib Kusmi mengesahkan kewujudan dasar baru tersebut, dengan mengatakan bahawa memiliki pasport adalah "suatu keistimewaan dan bukan suatu hak."