Malaysia, Filipina dan Indonesia Setuju Pakai Model MSP Kawal Laut Sulu

Hata Wahari
2016.06.20
Kuala Lumpur
160620 Gambar dikeluarkan oleh Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) pada 6 Oktober, 2014 menunjukan bot tempur milik TLDM CB204 sedang menjalankan rondaan rutin di Laut China Selatan berhampiran Pulau Mengalum, di perairan pantai timur Sabah.
AFP

Malaysia, Filipina dan Indonesia pada Isnin, telah bersetuju untuk menerima pakai Model Rondaan Selat Melaka (MSP) yang menyelaras pengawasan rondaan laut dan udara dalam usaha menangani isu keselamatan dan penculikan rentas sempadan oleh militan Abu Sayyaf di Laut Sulu.

Mesyuarat antara menteri pertahanan dari ketiga-tiga negara yang berlangsung di ibu negara Filipina mengakui pengalaman Malaysia dan Indonesia dalam MSP perlu digunapakai dalam berhadapan dengan masalah keselamatan di kawasan perairan berkenaan.

Malaysia, Filipina dan Indonesia masing-masing diwakili oleh Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral (Bersara) Ryamizard dan Setiausaha Pertahanan Filipina Jeneral (Bersara) Delfin Lorenzana di pertemuan di Manila.

Satu kenyataan bersama telah dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan yang antara lain bersetuju untuk menubuhkan Kumpulan Kerja Rondaan Maritim yang akan menentukan ruangkerja serta rondaan maritim bersama di antara angkatan tentera ketiga-tiga negara.

“Penubuhan pos kawalan bersama di kawasan yang ditetapkan, serta badan perhubungan ad-hoc ketenteraan, meliputi rondaan maritim dan udara, mewujudkan kawasan transit di dalam kawasan maritim dan perkongsian maklumat serta perisikan,’’ kata kenyataan bersama itu.

Selain itu, menteri pertahanan ketiga-tiga negara juga bersetuju supaya angkatan tentera dan agensi ketiga-tiga negara berusaha untuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, Associate Press melaporkan tiada sebarang perjanjian ditandatangani pada mesyuarat berkenaan berikutan Manila mahu ianya dibuat selepas Presiden baru Filipina mengambil alih jawatan secara rasmi.

Sementara itu, Hishammuddin dalam reaksinya berkata, di dalam mesyuarat berkenaan, Malaysia membentangkan model MSP yang digunapakai di Selat Melaka semasa pertemuan itu, kerana model berkenaan terbukti berjaya mengurangkan kes rompakan laut dan lanun di kawasan perairan berkenaan.

“Perbentangan modal kerjasama MSP antara Malaysia dan Indonesia itu, telah diterima sebagai model kerjasama tiga hala pada mesyuarat di Manila, sebagai usaha menangani isu keselamatan di Laut Sulu. Ancaman di perairan Sulu tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama dari negara jiran yang berkongsi sempadan memandangkan ancaman itu merupakan ancaman bersama, “ katanya dalam satu kenyataan media lewat petang Isnin yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Beliau juga melahirkan kenyakinan bahawa model rondaan MSP boleh diterapkan di Laut Sulu melalui kerjasama rondaan seperti yang dicadangkan.

‘Peningkatan tahap’

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan (SASSREC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman berkata, kesepakatan di kalangan negara ASEAN bermula sejak tahun 2007  melalui perjanjian – “ASEAN Documents of Combating Crime and Terrorism.”

Justeru, perjanjian atau persetujuan tiga-serangkai itu dilihat sebagai satu bentuk peningkatan kerjasama yang menggambarkan betapa seriusnya ketiga-tiga negara yang berkongsi perairan menangani masalah tersebut, katanya kepada BeritaBenar.

Zaini berkata persoalan samada MSP mampu untuk menghalang penculikan bergantung kepada elemen-elemen "struktural dan bukan- struktur" model tersebut.

“’Struktural’ disini merujuk kepada penyelarasan pentadbiran dan pengurusan di antara tiga negara tersebut, manakala ‘non-struktutural’ pula bermakna elemen-elemen seperti sikap dan kepentingan nasional yang bertindih,” katanya.

Pada Mei lepas, Menteri Luar dari ketiga-tiga negara telah mengadakan pertemuan di Jakarta dan bersetuju secara kolektif untuk memperkukuhkan langkah konkrit terhadap kawalan keselamatan di perairan sempadan Laut China Selatan,

Pertemuan di Jakarta itu diadakan selepas lahirnya kebimbangan terhadap peningkatan kes penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan Sulu, yang berlaku sejak akhir ini.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk mewujudkan rangka kerja kawasan rondaan maritim di kawasan yang dikenal pasti sering dicerobohi lanun dan pengganas.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah berlaku di perairan pantai timur Sabah terutamanya pulau peranginan di kawasan perairan yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia, yang melibatkan rakyat Malaysia, Indonesia dan pelancong luar negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.