Mahathir Dibenarkan Uji Sokongan Ahli Parlimen Terhadap PM Muhyiddin
2020.05.08
Kuala Lumpur, Malaysia

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berdepan cabaran kepimpinan apabila Parlimen bersidang pada 18 Mei ini selepas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof pada Jumaat menyatakan bahawa beliau telah menerima satu usul undi tidak percaya.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, 94, pada Isnin mengemukakan usul berkenaan bagi membuat ketetapan sama ada penggantinya itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.
"Usul itu ... diterima untuk dibawa ke mesyuarat Parlimen akan datang," kata Mohamad Ariff yang merujuk kepada usul yang dikemukakan Mahathir.
Dalam kenyataannya, Mohamad Ariff berkata sebagai Speaker Dewan Rakyat, beliau perlu “meneliti dan memastikan semua permohonan usul yang dikemukakan hendaklah menepati serta mematuhi peruntukan Peraturan Majlis Mesyuarat.”
"Apa jua pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat perlulah bersifat adil dan saksama serta menjaga integriti Dewan Rakyat," kata Mohamad Ariff.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Parlimen akan melakukan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin ketika ia bersidang pada 18 Mei ini, yang diadakan buat pertama kalinya sejak kerajaannya berkuasa pada awal Mac.
Muhyiddin, yang akan berusia 73 tahun bulan ini, tidak memberi sebarang reaksi balas kepada kenyataan Speaker itu, tetapi beliau menyiarkan gambar di laman Facebook pada Jumaat yang menunjukkan beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di mana kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai kerjasama dua hala.
"Dalam perbualan yang berlangsung kira-kira 30 minit, saya dan Presiden Trump juga membincangkan mengenai pandemik COVID-19 serta pendekatan yang diambil oleh kedua-dua negara," kata Muhyiddin.
"Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa untuk mengurangkan kesan pandemik terhadap kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global," kata beliau.
Tindakan Mahathir itu dibuat hampir tiga bulan selepas beliau kehilangan kuasa kepada Muhyiddin, bekas sekutu politiknya. Beliau mengemukakan usul itu dua bulan setelah memberitahu sebuah akhbar tempatan, Sinar Harian, bahawa adalah mustahil untuk mencabar Muhyiddin, dengan menyatakan bahawa perdana menteri itu telah memperkukuhkan kedudukannya dengan memberikan "insentif" kepada ahli politik lain.
"Sekarang ini, beliau adalah kerajaan. Beliau mampu menawarkan insentif kepada banyak orang. Sebilangan penyokong saya telah beralih dengan memberi sokongan kepada beliau; mereka telah dijadikan menteri,” kata Mahathir. "Jadi, hendak bawa usul tidak percaya pun mungkin tidak berjaya.”
Dalam satu wawancara dengan akhbar Australia pada Jumaat, bekas perdana menteri dua kali itu berkata beliau mengambil tindakan sedemikian tanpa didorong oleh dendam atau kebencian.
"Saya berusia 94 tahun dan dalam dua bulan lagi saya akan berusia 95 tahun, dan saya tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi PM," katanya, hanya beberapa jam selepas Mohamad Ariff memberi kebenaran supaya usul tidak percaya yang dikemukakan Mahathir itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Mei.
Lex Radz dan Nisha David di Kuala Lumpur tuurt menyumbang kepada laporan ini.