Lelaki Etnik Uighur Lolos Pusat Tahanan di Thailand Ditahan di Kedah

Hareez Lee & Fairuz Mazlan
2017.11.22
Kuala Lumpur & Alor Setar
171122-my-uighur620.jpg Seorang penunjuk perasaan dari etnik Uighur memegang anaknya serta gambar kontroversial yang dikeluarkan oleh Persatuan Uighur Amerika yang menunjukkan mangsa keganasan rusuhan maut di wilayah barat laut Xinjiang di China, pada protes di hadapan Kedutaan China di Ankara, Turki, 7 Julai 2009.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seorang lelaki etnik Uighur di Kedah kerana dipercayai telah meloloskan diri daripada pusat tahanan imigresen di Sadoa, selatan Thailand, beberapa hari lalu, demikian menurut seorang pegawai kanan pihak polis.

Ketua Polis Kedah, Asri Yusoff berkata, lelaki berusia 30-an itu ditemui pada Rabu berhampiran dengan pos kawalan tentera di Bukit Tangga, kira-kira lapan kilometer dari pusat tahanan di Sadoa itu.

Beliau berkata suspek kini berada dalam tahanan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen Malaysia, selepas ditemui oleh rakyat tempatan yang prihatin yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak tentera, yang sedang mengawal di kawasan berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

"Adalah dipercayai bahawa suspek berjalan bersendirian kira-kira lapan kilometer dari Sadao, sebelum beliau ditemui dan pemeriksaan menunjukkan bahawa yang dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan kes ini berada di bawah Jabatan Imigresen Malaysia," tambah Asri.

Dalam insiden awal pagi Isnin lalu, Timbalan Ketua Imigresen Sadao Kapt Surasak Siripan berkata, 20 daripada 25 tahanan etnik Uighur yang sedang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal, berjaya meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Imigresen Sadao.

Pegawai berkenaan juga mengesahkan lima ditahan semula, manakala baki 20 lagi masih bebas. Mereka dikatakan telah menebuk lubang dinding tahanan dan turun dari bangunan itu dengan menggunakan selimut serta dipercayai menghala ke hutan berdekatan di sempadan Malaysia-Thailand.  

Siripan berkata mereka adalah antara kumpulan terbesar etnik Uighur yang ditahan pada tahun 2015 selepas ditemui di kawasan Air Terjun Tone Nga Chang di Songkhla.

Sementara itu,  Mej Jen Polis Jessada Yaisoon, yang juga Ketua Imigresen Wilayah 6 yang berpangkalan di wilayah Songkhla memberitahu BeritaBenar Thailand pada Rabu, lelaki etnik Uighur yang ditahan pihak berkuasa Malaysia dikenali sebagai Abdul Kayum, 28, merupakan antara 25 orang dari suku kaum itu yang ditahan Thailand pada 2015 atas kesalahan imigresen.

"Kami telah menyertai pasukan Malaysia untuk menangkap Abdul Kayum dan membawanya ke  Balai Polis Sadao. Kami juga sedang mencari yang lain dan mengesyaki mereka masih berada dalam ladang getah di sebelah Thailand dan mempunyai waran untuk menahan kesemua mereka," kata Jessada kepada BeritaBenar melalui perbualan telefon.

Sebelum ini, pihak berkuasa Thailand turut mengeluar dan mengedarkan gambar-gambar kesemua suspek.

Perketat sempadan

Dalam pada itu, Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun semasa dihubungi BeritaBenar memberitahu yang arahan telah dikeluarkan agar semua kawalan pintu masuk sempadan antara kedua-dua negara diperketatkan.

“Kami akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Thailand jika terdapat elemen etnik Uighur memasuki negara dan turut menyalurkan bantuan memburu saki baki mereka yang masih bebas,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia  Ahmad Zahid Hamidi memberitahu media  bahawa polis mempunyai mekanisme untuk  menjejaki suspek yang bekerjasama dengan Interpol dan Aseanapol.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak Pembiayaan Keganasan Ke- 2017 di Kuala Lumpur, Zahid berkata pihak berkuasa Malaysia berkongsi maklumat risikan mengenai perkara tersebut dengan negara jiran mereka.

Ratusan etnik Uighur bertutur dalam bahasa Turki dan beragama Islam, telah melalui Thailand untuk melarikan diri dari apa yang mereka katakan sebagai penganiayaan di wilayah Xinjiang di China, di mana mereka adalah salah satu daripada 55 etnik minoriti yang diakui secara rasmi. China menuduh Uighur terlibat dalam serangan ke atas etnik Han China.

Pada 2015, Thailand menghantar pulang 100 pendatang Uighur ke China.

Beijing pada Selasa mendesak Bangkok menghantar semula pelarian itu ke China sebaik saja berjaya ditangkap.


Mariyam Ahmad di Songkhla, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.