Kematian Ular Bangkit Persoalan Mengenai Kaedah Penjagaan Hidupan Liar
2016.04.15
Penang

Kematian seekor ular sawa batik sepanjang 7.5 meter sejurus selepas ia ditemui awal minggu ini telah membangkitkan kesedaran tentang layanan yang diberikan terhadap hidupan liar di Malaysia.
Ular betina yang dipercayai antara terpanjang di dunia yang ditemui di sebuah tapak pembinaan lebuh raya bertingkat di Pulau Pinang itu, mati dua hari selepas menetaskan telur ketika di bawah jagaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang telah menangkap ular berkenaan.
Pertemuan dan kematian ular itu telah mencetuskan sensasi serantau dan juga antarabangsa dengan mendapat liputan berterusan dari media BBC News, The Guardian, The Telegraph UK dan juga National Geographic.
Kematian reptilia itu juga telah menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan pencinta haiwan dan alam sekitar tempatan tentang kaedah penjagaan hidupan liar di negara itu.
Sahabat Alam Malaysia (SAM), sebuah badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Pulau Pinang berkata, kematian ular itu dapat dielakkan sekiranya JPAM yang menyelamatkan ular itu melepaskan reptilia berkenaan ke habitatnya selepas ditangkap.
Presidennya SM Mohamed Idris ketika dihubungi BeritaBenar berkata, ular sawa itu berkemungkinan merasa amat tertekan selepas ditangkap dan dimasukan ke dalam sangkar khas oleh jabatan berkenaan.
Ular yang ditangkap pada Khamis itu mula kelihatan lemah selepas menghasilkan sebiji telur, pada Sabtu dan mati pada tengah hari Ahad di dalam sangkar dimana ia ditempatkan.
Ular yang ditangkap oleh JPAM itu tidak dapat diserahkan kepada Jabataan Perhilitan dengan alasan sudah tamat waktu pejabat dan hanya diserahkan kepada perhilitan pada Isnin, iaitu sehari selepas ianya mati.
"Kita sememangnya memuji tindakan JPAM menyelamatkan reptilia itu dari lokasi ia dijumpai namun jabatan itu perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berkenaan pengurusan dan penjagaan binatang liar supaya kita dapat mengelakkan peristiwa yang menyedihkan itu daripada berulang," kata SM Mohamed Idris kepada Berita Benar.
Beliau berkata, kematian ular itu juga menunjukkan ancaman pembangunan yang terlalu pesat sehingga memaksa hidupan liar meninggalkan habitat asal mereka dan akhirnya mati kerana tekanan dan perbuatan manusia.
Akhbar tempatan The Sun pada Rabu melaporkan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Malaysian Nature Society) mempersoalkan kematian ular sawa itu dan menegaskan reptilia itu seharusnya diserahkan terus kepada pihak Jabatan Perhilitan negeri.
Penasihat MNS, D. Kanda Kumar dilaporkan sebagai berkata, kakitangan perhilitan lebih sesuai untuk menguruskan reptilia itu kerana mereka lebih terlatih dalam perihal penjagaan hidupan liar.
Fenomena panas El-Nino luar biasa yang kini melanda utara Malaysia juga dikatakan antara punca ular sawa betina itu keluar dari habitatnya dan bersembunyi dalam timbunan dahan pokok yang basah sebelum diselamatkan anggota JPAM.
Pengurus Taman Ular dan Reptilia Perlis, Samsulwadi Md Salleh yang dihubungi BeritaBenar menegaskan adalah penting untuk pihak perhilitan mempunyai kakitangan yang bertugas di hujung minggu untuk kes-kes kecemasan.
"Secara jujurnya saya tidak menyalahkan pihak JPAM dalam hal ini tetapi kebanyakan hidupan liar ini sensitif kepada tekanan dari keadaan persekitaran asing, lebih-lebih lagi reptilia seperti ular sawa.
"Walaupun saiznya kelihatan besar, tetapi ular sawa sangat sensitif kepada sentuhan manusia dan mudah mengalami kecederaan dalaman sekiranya tidak diuruskan dengan kaedah yang betul," ulasnya.
Beliau berkata selain dari kaedah tangkapan, penjagaan reptilia seperti ular sawa juga perlu diberi perhatian serius kerana mereka mudah mati dalam kurungan sekiranya tidak diberi penjagaan yang rapi.
"Ular sawa perlu dikurung dalam kurungan yang mempunyai sudut kering dan basah bagi membolehkannya menyejukkan badan. Sekiranya dibawa untuk perjalanan jauh, ular sawa perlu diberi air setiap satu jam untuk mengelakkan dari mengalami dehidrasi," katanya.
Beliau menambah, sukar untuk menentukan kematian ular itu tetapi tidak menolak kemungkinan faktor usia dan tekanan ketika bertelur.
'Nafi kasari'
Manakala itu, Pegawai Operasi JPAM Pulau Pinang Muhammad Aizat Abdul Ghani yang dihubungi BeritaBenar menjelaskan prosedur jabatan itu tidak membenarkan melepaskan mana-mana hidupan liar yang ditangkap ke hutan atau lokasi lain.
"Pihak JPAM sememangnya terlibat secara aktif dalam penangkapan hidupan liar seperti ular,* dan kakitangan kita telah dilatih untuk menjalankan operasi sedemikian. Bagaimanapun, pihak JPAM perlu menyerahkan hidupan tersebut kepada pihak Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut kerana mereka lebih arif dalam membuat keputusan lanjut," ujarnya.
Menurutnya, pihak JPAM terpaksa menyimpan ular sawa tersebut selepas ia diselamatkan sementara menunggu pihak perhilitan beroperasi pada Isnin kerana cuti hujung minggu.
Beliau juga menafikan pihaknya telah membenarkan orang awam menyentuh dan bergambar dengan reptilia itu,* sebaliknya,* hanya pihak media dibenarkan membuat liputan.
Pihaknya juga menolak dakwaan ada kakitangannya berkasar dengan reptilia tersebut.
Muhammad Aizat berkata pihak JPAM akan berbincang dengan Jabatan Perhilitan untuk menambah baik prosedur penyerahan hidupan liar yang diselamatkan di masa hadapan untuk mengelak situasi yang sama berlaku.
Ular sawa itu pada mulanya dianggap telah mengalahkan rekod yang dipegang Medusa, ular spesies yang sama yang diukur 7.67 meter pada tahun 2011. Medusa dengan berat 158.8 kg kini disimpan di Missouri, Amerika Syarikat, kekal sebagai ular terpanjang di Guinness Book of World Records.
Namun ular sawa batik Pulau Pinang itu lebih berat dari Medusa dengan timbangan 250kg.