SPRM Minta UMNO Serius Perangi Rasuah, Salah Guna Kuasa

Hata Wahari
2017.05.11
Kuala Lumpur
170511-MY-UMNO-1000.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bersama isterinya Rosmah Mansor dan pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) semasa sambutan ulang tahun UMNO ke-71 di Stadium Bukit Jalil, 11 Mei 2017.
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Malaysia meminta pemimpin–pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang menyambut ulang tahun penubuhannya ke-71 pada Khamis, supaya memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta menjadi contoh yang baik kepada rakyat Malaysia.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan buat pertama kalinya oleh SPRM bagi mengucapkan tahniah kepada UMNO di atas sambutan ulang tahunnya itu, menekankan bahawa pemimpin-pemimpin parti itu perlu memainkan peranan penting dalam membentuk masyakarat beretika yang tidak terlibat dalam gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Pemimpin UMNO perlu memberi penekanan terhadap aspek memerangi rasuah dan salah guna kuasa agar dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi yang bakal memimpin negara ini pada masa akan datang,” kata SPRM dalam kenyataan pada Khamis.

UMNO mengadakan sambutan besar-besaran sempena meraikan penubuhannya 71 tahun lalu dengan kehadiran lebih 100,000 anggota dan penyokongnya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Khamis.

Dalam ucapannya pada sambutan itu, Perdana Menteri Najib Razak yang juga Presiden UMNO berkata, parti itu akan menongkah arus dan mendepani cabaran membawa negara Malaysia ke lembah kejayaan.

SPRM dalam kenyataan itu menegaskan UMNO sebagai sebuah parti politik yang menjadi teras dan tunjang kepada pemerintahan negara dengan mempunyai jumlah kerusi terbanyak, perlu memiliki pemimpin yang boleh memainkan peranan penting dalam merangka dasar pentadbiran negara bagi pembangunan dan kemajuan negara

Agensi itu berpendapat sebagai pemimpin, ahli-ahli UMNO adalah harapan kepada masyarakat untuk melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan mereka.

“Justeru itu, pemimpin-pemimpin ini perlulah memastikan tanggungjawab dan kepercayaan itu  dilaksanakan dengan penuh berintegriti serta menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa,” tegas SPRM.

Agensi pencegahan rasuah negara itu juga mahu UMNO terus memberikan sokongan dan menjadi pendukung kuat kepada Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh SPRM baru-baru ini.

“SPRM berharap agar seluruh ahli dan pemimpin UMNO akan turut bersama-sama SPRM dalam segala usaha untuk membersihkan Malaysia daripada anasir rasuah dan salahguna kuasa serta menjadi penggerak utama kepada hasrat SPRM untuk menjadikan ‘Rasuah Musuh Nombor 1 Negara’, tegas SPRM dalam kenyataan tersebut.

SPRM berharap pemimpin-pemimpin UMNO akan mengambil serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dan melaksanakannya sebaik mungkin supaya masyarakat dapat menikmati manfaat yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka.

Tangkis persepsi


Azmi Hassan, seorang pakar geopolitik di Universiti Teknologi Malaysia, ketika dihubungi memberitahu mesej SPRM itu perlu disokong sepenuhnya oleh ahli-ahli UMNO.

Katanya, mereka tidak harus berkompromi dan melindungi ahli-ahli UMNO sama ada yang tidak mempunyai jawatan atau jawatan penting dalam parti dan kerajaan apabila melakukan kesalahan rasuah.

“Sebagai parti politik paling berpengaruh di Malaysia, adalah amat penting bagi UMNO untuk memberi teladan yang baik kepada rakyat. Persepsinya adalah politik berkait rapat dengan amalan rasuah, maka sebab itu, adalah kritikal bagi UMNO menjadi ikutan sebagai sebuah parti politik yang bebas rasuah,” katanya kepada BeritaBenar.

Sebelum ini, Najib telah diminta untuk meletakkan jawatan berikutan skandal kewangan terutamanya berhubung deposit wang sebanyak AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013.

Pada Januari tahun lepas, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dan mengarahkan siasatan terhadap Perdana Menteri ditutup dengan menyatakan ‘tiada kesalahan jenayah’ yang dilakukan beliau.

Apandi berkata, wang sebanyak AS$681 juta itu merupakan sumbangan peribadi kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar wang itu telah dikembalikan kepada penyumbangnya.

Najib menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan dirinya.

Sementara itu, semasa sambutan di Stadium Bukit Jalil, Najib menarik perhatian bahawa  UMNO bukan parti perkauman dan bukan parti pelampau malah, ia sanggup bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan rakan-rakan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili seluruh rakyat di negara ini.

“Kita berjuang bukan untuk ahli UMNO sahaja, malah untuk semua rakyat tidak kira kaum, agama dan keturunan,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita Malaysia, Bernama.

Sambutan ulang tahun UMNO disifatkan sebagai perhimpunan terbesar parti itu dan yang terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum akan datang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.