UMNO Nyatakan Sokongan Kepada Belanjawan 2021 Perdana Menteri Malaysia
2020.10.30
Kuala Lumpur, Malaysia

Parti dominan Malaysia memutuskan untuk memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen minggu depan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, di tengah-tengah amaran penganalisis bahawa kegagalan untuk meluluskan rancangan perbelanjaan tahunan itu boleh membawa musibah kepada kerajaannya.
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) - sekutu terbesar Muhyiddin di Parlimen yang memegang 39 daripada 222 kerusi - mengulangi sokongannya untuk belanjawan itu pada awal Jumaat, dengan menekankan bahawa negara mesti menghadapi realiti pandemik COVID-19.
"Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan di Parlimen," kata presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, para pemimpin UMNO mengancam untuk tidak menyokong Muhyiddin kerana sudahpun mendapat manfaat dengan menerajui kerajaan walaupun parti Bersatu yang diketuainya hanya menguasai 31 kerusi di Parlimen.
Pengumuman UMNO itu dibuat sehari selepas pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH), mengumumkan kesediaannya untuk bertemu Muhyiddin-seperti yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong-bagi membincangkan belanjawan itu sebelum dibentangkan untuk perbahasan pada 6 November. Butiran mengenai Belanjawan itu, yang dijangka akan diluluskan sebelum hari terakhir sesi Parlimen pada 15 Disember, tidak akan didedahkan sehinggalah ia dibentangkan di Parlimen.
Muhyiddin mengetuai kerajaan tidak dipilih yang memegang tampuk kuasa sejak lapan bulan lalu selepas pentadbiran Pakatan Harapan tumbang berikutan pertikaian dalaman setelah tidak sampai dua tahun mengalahkan UMNO dalam pilihan raya yang mencatat sejarah.
Minggu lalu, Muhyiddin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi membolehkan kerajaannya menangguhkan sidang Parlimen dan meluluskan Belanjawan. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah menolak permohonan perdana menteri itu untuk mengisytiharkan darurat yang pertama di negara itu sejak rusuhan kaum pada 1969, dengan bertitah bahawa pengisytiharan itu tidak diperlukan kerana kerajaan telah dapat menangani pandemik COVID-19.
Yang di-Pertuan Agong, yang telah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Mac, juga menekankan bahawa Belanjawan itu amat penting bagi mengatasi pandemik dan memulihkan ekonomi.
“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka menyeru ahli-ahli politik supaya menghentikan segera segala perbalahan politik yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan,” menurut Istana Negara dalam satu kenyataan.
Dalam reaksinya pada Khamis, Pakatan Harapan menyatakan bahawa Ahli Parlimennya akan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong tetapi ia mahu Muhyiddin berunding dengan mereka sebelum Belanjawan itu dibentangkan.
"Maka, Perdana Menteri harus mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong serta mengadakan rundingan dan berbincang segera dengan pembangkang mengenai kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan pada 6 November untuk memastikan ia mencapai hasrat yang diingini Seri Paduka," kata Pakatan Harapan dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim, presiden parti Amanah Mohamad Sabu dan setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik Lim Guan Eng.
Seorang pegawai Pakatan Harapan, yang enggan dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media, memberitahu bahawa sehingga kini, Muhyiddin belum dihubungi bagi mengadakan pertemuan.
Sementara itu, Anwar, sejak beberapa minggu lalu meningkatkan tentangannya terhadap Muhyiddin, dengan menyatakan bahawa beliau memperoleh sejumlah besar sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Namun, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober, di mana beliau menyuarakan hasratnya untuk mengetuai kerajaan, dan sidang media selepas itu, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut enggan menunjukkan senarai nama Ahli Parlimen yang kononnya menyokong usahanya menjadi perdana menteri berikutnya.
Tunku Mohar Mokhtar, saintis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata pembentangan Belanjawan itu merupakan ujian besar bagi Muhyiddin di Parlimen sejak beliau menerajui tampuk kuasa.
Tunku Mohar dan seorang penganalisis politik lain menyatakan pembentangan belanjawan itu boleh membawa musibah sekiranya Muhyiddin gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen.
"Pembentangan belanjawan negara adalah penting bagi banyak sebab - ia melaporkan keadaan ekonomi semasa, ia memperuntukkan sumber kewangan bagi kementerian dan agensi berbeza selain ia juga menunjukkan keutamaan kerajaan dalam berbelanja," kata Tunku Mohar kepada BeritaBenar. "Belanjawan 2021 juga penting kerana ia merupakan medan ujian sokongan bagi PM."
Tunku Mohar dan pakar perlembagaan Lim Wei Jiet berkata kerajaan Malaysia diharapkan dapat mengikut sistem kerajaan British Westminster.
"Ini adalah satu konvensyen perundangan di mana kerajaan yang gagal memperoleh undi mencukupi untuk meluluskan usul Parlimen yang penting seperti belanjawan tahunan adalah dianggap tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen," kata Lim kepada BeritaBenar. "Dalam keadaan seperti itu, perdana menteri biasanya akan meletakkan jawatan."
Walaupun tindakan seperti itu mungkin menjadi yang pertama bagi Malaysia, Lim menarik perhatian kepada kes di Britain pada 1885 dan kes di Australia pada 1941 di mana perdana menteri meletakkan jawatan.
Penganalisis James Chin dari University of Tasmania pula yakin belanjawan itu akan diluluskan.
"Kerajaan Muhyiddin akan dapat meluluskan belanjawan itu kerana sepanjang rang undang-undang itu dibahaskan di Parlimen, kerajaan boleh membuat pindaan bagi memuaskan hati semua pihak. Tidak mungkin kerajaan hilang undi yang diperlukan,”katanya kepada BeritaBenar.
Kegagalan akibat COVID-19
Selepas menyaksikan penurunan jumlah jangkitan pada Ogos dan September, Malaysia menghadapi lonjakan jangkitan koronavirus. Negara itu mencatatkan 799 kes baru dan tiga kematian pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah 30,899 dan 249 kematian, menurut pegawai kesihatan.
Di peringkat global, lebih 45.2 juta orang telah dijangkiti COVID-19 dan lebih 1.18 juta mati akibatnya, menurut pakar penyakit di Universiti Johns Hopkins yang berpejabat di AS.
Berikutan pandemik itu, Zahid berkata ahli UMNO memutuskan bahawa mereka bersedia menyokong Belanjawan itu sementara menunggu pilihan raya umum diadakan.
"UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan Pilihan Raya Umum setelah pandemic COVID-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum," katanya dalam kenyataan yang sama.
Kenyataan Zahid, berdasarkan titah nasihat yang di-Pertuan Agong supaya tumpuan diberikan kepada Belanjawan, menunjukkan kecenderungannya untuk membawa perubahan kepimpinan, menurut Tunku Mohar.
"Hakikatnya bahawa UMNO mengusulkan supaya diadakan pilihan raya umum secepat mungkin – selepas situasi pandemik terkawal - adalah petunjuk bahawa ia masih tidak senang dengan Muhyiddin," katanya.
"Apa yang berjaya dilakukan oleh UMNO adalah memberitahu Muhyiddin bahawa beliau tidak ada ‘cek kosong’ yang memberinya kebebasan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya kerana sokongan UMNO adalah bersyarat."
Sementara itu, Muhyiddin yang dikatakan menerima sokongan majoriti tipis dua kerusi untuk menjadi perdana menteri, menghadapi 27 usul undi tidak percaya daripada Ahli Parlimen pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, menurut dokumen yang dilihat oleh BeritaBenar. Selain itu, gabungan kerajaannya juga mengemukakan surat kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun supaya usul berkenaan dibawa pada sesi Parlimen itu yang bermula pada Isnin.
Azhar menegaskan bahawa usul itu tidak boleh dibincangkan sehingga semua agenda kerajaan termasuk Belanjawan selesai dipertimbangkan.
"Semua usul yang dimaklumkan kepada saya atau pejabat saya akan ditangani selaras dengan peraturan tetap mesyuarat. Untuk meminta saya melakukan yang sebaliknya adalah sama seperti meminta saya melakukan perkara yang salah.
"Ini adalah undang-undang kita. Dan ini juga adalah undang-undang di negara lain. Sedarlah, memberi pelbagai gelaran atau melabel saya secara kasar tidak akan merubah apa-apa, ”kata Azhar dalam satu surat terbuka yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 15 Oktober.