Agensi PBB Setuju Bantu Malaysia Tapis Pelarian, Pemohon Suaka

Ray Sherman & Fadzil Aziz
2017.08.02
170802-MY-cards-620.jpg Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed (berdiri, kanan) melawat sebuah pusat pemprosesan kerajaan bagi pelarian di Kuala Lumpur, 2 Ogos 2017.
[Fadzil Aziz/BeritaBenar]

Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Rabu bahawa ia akan bekerjasama dengan Malaysia berikutan kebimbanganya bahawa militan Negara Islam (IS) mungkin bercampur gaul dengan rakyat asing dan pemohon suaka yang menuntut status pelarian di negara itu.

Tetapi, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur tidak pula menyatakan sama ada ia bersetuju untuk berkongsi pangkalan datanya yang mengandungi kira-kira 150,000 pelarian yang didaftarkan di negara itu dan memegang kad pelarian PBB.

"Kami komited sepenuhnya dalam kerjasama dengan kerajaan untuk mencari cara yang lebih baik bagi melindungi pelarian, yang, pada masa yang sama, menangani sebarang kebimbangan mengenai keselamatan, undang-undang dan ketenteraman," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ia akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri Malaysia dengan menawarkan nasihat dan bantuan kepada syarikat yang diberi kontrak untuk melaksanakan program bagi menapis beribu-ribu pelarian yang memegang kad yang dikeluarkan oleh UNHCR.

Pejabat UNHCR di Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan itu dua hari selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed menyuarakan kebimbangannya bahawa militan IS dan penyokong kumpulan militan itu mungkin telah memperoleh kad pelarian yang membolehkan mereka bergerak dengan bebas dalam negara itu.

Nur Jazlan memberitahu Channel NewsAsia bahawa kementerian itu tidak menerima "kerjasama yang sewajarnya daripada UNHCR" sejak kerajaan pada awal April melaksanakan program Proof of Concept (POC), yang disediakan untuk membantu pihak berkuasa Malaysia mengesan dan mengekang penjenayah rentas sempadan, pemerdagang manusia dan pengganas.

"Jadi, kami ingin tahu sama ada mana-mana yang ada kaitan IS telah menyusup masuk, bilangan mereka," kata Nur Jazlan. "Dan sejak rakyat Malaysia kini sangat prihatin tentang kehadiran dan bilangan warga asing yang ramai, sudah tiba masanya kerajaan mengenal pasti dan mengatasi semua kelemahan yang  membolehkan mereka menyusup masuk. Dan laluan UNHCR adalah satu daripadanya. "

Sehingga Jun 2017, Malaysia menerima kemasukan 149,200 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan UNHCR, berdasarkan angka yang diperoleh daripada laman web agensi itu. Kira-kira 90 peratus daripada mereka berasal dari Myanmar, termasuk 59,100 Muslim Rohingya, Chin dan kumpulan etnik lain.

Kira-kira 67 peratus daripada jumlah itu adalah lelaki dan 37,000 pelarian lagi adalah kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun, kata agensi itu. Kira-kira 16,700 pelarian dan pemohon suaka lagi berasal dari negara lain seperti Pakistan, Sri Lanka, Yaman, Somalia, Iraq dan Afghanistan, katanya.

Program POC bertujuan mengenal pasti bilangan sebenar pelarian berdaftar UNHCR di Malaysia, dengan menyediakan data biometrik, cap jari dan pengenalan iris yang boleh diakses oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, termasuk jabatan imigresen, kata para pegawai.

"Mereka memohon status pelarian dan suaka, dan diberi kad dan kemudian mereka tinggal di negara ini," kata Nur Jazlan kepada pemberita selepas melawat pejabat program itu di Kuala Lumpur pada Rabu.

"Perkara ini sangat berbahaya bagi negara susulan perkembangan terkini kegiatan pengganas di Timur Tengah dan kini berpindah ke selatan Filipina," katanya. "Mereka boleh menggunakan Malaysia untuk menyusup masuk."

Nur Jazlan merujuk kepada pertempuran di Marawi di mana pasukan kerajaan terus berusaha menumpaskan ekstremis disokong IS yang  menawan bandar Filipina selatan itu pada 23 Mei. Sejak itu, mereka terlibat dalam pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan, yang menurut angka rasmi, telah membunuh sekurang-kurangnya 491 militan, mengorbankan 114 askar dan 45 orang awam.

Kenyataan 'tidak berasas'

Komen yang dibuat oleh Nur Jazlan telah menimbulkan kemarahan aktivis hak asasi dan para pekerja bantuan kemanusiaan.

Sharifah Shakirah, pengasas dan pengarah Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya berkata, timbalan menteri dalam negeri itu perlu berhati-hati apabila membuat kenyataan yang mengaitkan pelarian dengan IS.

"Mengapa mereka perlukan Kad UNHCR [Kad Pelarian] jika mereka boleh mendapatkan pasport untuk memasuki Malaysia dan bebas mengembara ke seluruh dunia?" kata Sharifah, seorang pelarian Rohingya, kepada BeritaBenar.

Peguam Nurainie Haziqah, yang juga setiausaha agung sebuah kumpulan bantuan kemanusiaan tempatan, berkata, kenyataan Nur Jazlan mengenai kemungkinan adanya kaitan IS dengan pelarian adalah tidak berasas.

"Mereka memilih untuk membuat tuduhan sedemikian daripada menjalinkan kerjasama dengan UNHCR, dan berusaha mewujudkan dasar dan undang-undang bagi membantu pelarian di Malaysia,," katanya kepada BeritaBenar.

Malaysia, yang berkongsi sempadan tanah dan maritim dengan Thailand dan sempadan laut dengan Singapura, Vietnam dan Indonesia, mempunyai kira-kira 32 juta penduduk termasuk hampir 1.8 juta pekerja asing berdaftar dan kira-kira 2 juta pendatang asing tanpa izin.

Sejak 1 Julai, lebih daripada 5,500 warga asing ditahan dalam tindakan gempur terhadap pendatang haram.

Dalam tindakan berasingan terhadap suspek ahli IS dan mereka yang bersimpati dengan kumpulan militan itu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 310 orang sejak 2013. Kira-kira 66 orang daripada mereka yang disyaki telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.


Hadi Azmi turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.