Enam bekas pelajar UPNM dihantar ke tali gantung
2024.07.23
Kuala Lumpur

Mahkamah rayuan di Malaysia menghantar enam bekas pelajar universiti tentera ke tali gantung kerana membunuh seorang pegawai kadet laut pada 2017, mengubah keputusan mahkamah tinggi sebelum ini yang menjatuhkan mereka hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan membunuh.
Mangsa, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang berusia 21 tahun ketika dibunuh, telah dipukul dan diseksa dengan seterika wap panas pada seluruh badannya oleh lima daripada tertuduh manakala yang keenam menghasut dan mengarahkan mereka, kata hakim.
Bedah siasat mendedahkan, 80 peratus badannya melecur yang dibuktikan oleh pendakwa raya bahawa ia dilakukan oleh pelajar-pelajar yang cuba memaksa mangsa untuk mengaku mencuri komputer riba.
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Mereka telah meminta mahkamah rayuan mengurangkan hukuman 18 tahun yang dijatuhkan ke atas setiap seorang daripada mereka pada 2021 yang turut didengar bersama rayuan pihak pendakwa raya bagi mengetepikan hukuman tersebut.
Tiga anggota panel mahkamah rayuan diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail sebulat suara memutuskan keenam-enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan pendakwa raya mengembalikan hukuman gantung sampai mati dan mengetepikan hukuman penjara 18 tahun ke atas keenam-enam tertuduh.
Hukuman awal dijatuhkan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuh.
Keenam-enam tertuduh bersama 12 yang lain turut dijatuhi hukuman kerana secara sukarela mendatangkan kecederaan kepada Zulfarhan bagi memeras ugut pengakuan berhubung dakwaan kecurian komputer riba itu.
Hakim Hadhariah ketika membacakan alasan penghakiman bertulis 93 muka surat selama lebih tiga jam pada Selasa menyifatkan penyeksaan ke atas Zulfarhan sebagai "zalim, tidak berperikemanusiaan dan tanpa belas kasihan".
"Walaupun orang kena tuduh (OKT) satu hingga enam nampak dan melihat simati mengelupur kesakitan, mereka tutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika ke atas hampir keseluruhan badan simati (kecuali di bahagian muka sahaja) sehingga mengakibatkan 90 kesan lecur.
"Perbuatan OKT satu hingga lima menekap seterika di seluruh bahagian badan simati termasuk pada kemaluan menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan dan tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian," kata Hadhariah.
Kata beliau pembelaan tertuduh yang mendakwa mereka yang tidak mengetahui bahaya yang disebabkan oleh seterika wap panas adalah "tidak masuk akal."
“Kami sebulat suara memutuskan bahawa tertuduh hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan, bermakna di sana mereka akan dikenakan hukuman gantung sampai mati,” kata Hakim Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Azmi Ariffin di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
"Kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa cara pembunuhan ini dilakukan bukan sahaja mengejutkan 'hati nurani' kehakiman malah masyarakat secara kolektif," katanya.
“Kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes-kes yang pernah berlaku. Ia melibatkan jenayah kekejaman yang amat merbahaya kepada masyarakat, perbuatan zalim sebegini harus dihentikan."
Zulfarhan, pelajar tahun tiga kejuruteraan elektrik UPNM meninggal dunia akibat kecederaannya di Hospital Serdang, Selangor pada 1 Jun 2017.
Kejadian mendera simati dilakukan di dua bilik asrama di kampus UPNM, Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Mei 2017.
Pertuduhan awal difailkan pada 14 Jun 2017, dua minggu selepas kematian Zulfarhan.
Lima daripada tertuduh pada mulanya didakwa membunuh manakala seorang lagi bersubahat, pertuduhan yang membawa hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2021 mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.
Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa mereka menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuh kerana telah ditentukan bahawa mahkamah tidak mengetahui kecederaan mana pada badan mangsa yang menyebabkan kematiannya.
Enam tertuduh yang disabitkan kesalahan itu kemudiannya telah merayu supaya hukuman mereka dikurangkan kepada 10 atau 12 tahun penjara atau lebih rendah.
Mereka hadir di mahkamah pada Selasa dengan memakai pakaian seragam penjara berwarna biru dan bergari.
Sementara itu, bagi 12 yang lain, mahkamah rayuan mengekalkan pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sukarela untuk memeras ugut pengakuan dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun dari tarikh sabitan.
Berbeza dengan enam tertuduh utama, mereka tidak direman dan duduk di belakang galeri awam semasa prosiding.
Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.
Doa dimakbul
Sementara itu, ibu bapa Zulfarhan, Hawa Osman, 60, dan Zulkarnain Idros, 61, dilihat berada di mahkamah dengan memakai baju-T tertera slogan “#justice4farhan” dan #sayNOtoBULLY.
Bercakap kepada pemberita selepas keputusan mahkamah itu, mereka memanjatkan kesyukuran dan berasa lega apabila hakim mengembalikan semula sabitan membunuh dan hukuman mati bagi pembunuh anak mereka.
“Pertamanya kita bersyukur kepada Allah. Dia telah memakbulkan doa saya dan isteri, keluarga dan semua rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini supaya dikembalikan hukuman gantung sampai mati.
"Terima kasih atas kepada pendakwa raya yang dapat membuktikan bahawa adanya niat membunuh.
"Kita sedihlah yang selama ini kita tak tahu apa cerita. Apabila ketua hakim bacakan fakta kes lebih awal kejadian ini (penyeksaaan), memang kita rasa memang sedih. Yang selama ini yang tak terdengar di Mahkamah Tinggi, baru dengar hari ini" kata Zulkarnain kepada media.
Dalam pada itu, peguambela tertuduh menyatakan kekecewaan dengan penghakiman pada Selasa.
“Kami menghormati Mahkamah Rayuan, kami akan membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Terdapat beberapa perkara yang dibimbangkan oleh anak guam saya,” kata peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili salah seorang daripada enam tertuduh yang disabitkan kesalahan.
Mansuh hukuman mati
Sementara itu, Pertubuhan Amnesty Antarabangsa yang menentang hukuman mati menggesa kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh moratorium rasmi pelaksanaan hukuman mati yang dilakukan pada 2018 dan memastikan dasar itu dipatuhi sehingga ia dimansuhkan sepenuhnya dan semua hukuman mati dapat diringankan.
"Kematian mana-mana individu adalah sesuatu yang sukar dan menyakitkan bagi orang tersayang dan masyarakat tanpa mengira siapa mereka dan dengan menentang hukuman mati dalam apa jua keadaan, ia tidak bermaksud kami memperkecilkan kesakitan mereka.
"Hukuman mati adalah hukuman yang paling kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina. Tanpa mengira sifat atau kejamnya jenayah, tiada tempat untuk hukuman mati dalam mana-mana sistem keadilan," katanya kepada BenarNews.
"Hukuman mati ke atas anak-anak muda itu merupakan peringatan yang jelas bahawa pemansuhan hukuman mati mandatori hanyalah satu langkah penting dan kita mesti terus berkempen untuk pemansuhan sepenuhnya.
"Ia juga merupakan peringatan segera bahawa kita mesti memperluas tindak balas terhadap jenayah, menangani puncanya dan berusaha mencegahnya daripada mengekalkan kitaran trauma dan keganasan."