Mayat Anak Kapal Ditemui Dalam Kapal: Tentera Laut Amerika

Fadzil Aziz
2017.08.28
Kuala Lumpur
170828-MY-mccain-620.jpg Seorang penyelam Tentera Laut Amerika Syarikat terjun ke dalam laut dalam usaha untuk mencari anak kapal USS John S. McCain yang hilang selepas kapal perang itu berlanggar dengan kapal dagang di perairan bersempadan dengan Johor-Singapura, 21 Ogos, 2017.
(Ihsan Tentera Laut Amerika Syarikat)

Penyelam telah menemui kesemua 10 mayat anak kapal Tentera Laut Amerika yang dilaporkan hilang selepas kapal perang negara itu bertembung dengan sebuah kapal tangki minyak di perairan antara Malaysia dan Singapura, demikian menurut Tentera Laut Amerika pada Isnin.

Kesemua mayat itu ditemui di sebuah ruang yang dipenuhi air kapal USS John S. McCain, sebuah kapal pemusnah peluru berpandu Amerika yang terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kapal dagang MV Alnic MC yang berdaftar di Liberia, pada 21 Ogos lepas, kata pegawai tentera laut semasa mengumumkan penamatan kerja-kerja mencari dan menyelamat yang turut melibatkan Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Penyelam Tentera Laut Amerika dan Marin Corps telah menemui mayat kesemua sepuluh anak kapal USS John S. McCain yang dilaporkan hilang, " kata Armada Ke-7 Tentera Laut Amerika Syarikat dalam satu kenyataan.

Armada Ke-7 adalah armada terbesar Tentera Laut Amerika Syarikat, yang boleh membawa seekitar 50 hingga 70 kapal dan kapal selam, 140 pesawat dan kira-kira 20,000 pelayar, menurut Tentera Laut itu.

Ketika kemalangan berlaku,  kapal John S. McCain sedang belayar menuju ke Singapura untuk berlabuh. Malaysia dan Singapura menuntut kawalan ke atas perairan di mana berlakunya  perlanggaran kapal berkenaan, dan kedua-dua negara telah mengumumkan mereka memimpin usaha mencari dan menyelamat itu.

Panglima Scott Swift, Pemerintah Angkatan Pasifik Amerika Syarikat, berada di atas kapal malang itu dan bertemu dengan anggota keluarga anak kapal yang meninggal dunia.

Pada Isnin, Tentera Laut Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan Swift yang dimuatnaik dalam laman media sosial Facebook.

'Kami sedang mencari sebab-sebab kenapa insiden itu berlaku, kami akan belajar daripada mereka dan kami akan menerapkan pengetahuan tersebut. Sebarang perubahan yang perlu dibuat akan dibuat, " tulis Panglima itu.

Tentera Laut Amerika Syarikat telah menggantung operasi mencari dan menyelamat pada Khamis lepas apabila para penyelam yang menjalankan usaha menyelamat itu menemui mayat di dalam ruang-ruang di dalam kapal berkenaan yang telah dibanjiri air laut.

Pada hari yang sama, Pengarah Majlis Keselamatan Malaysia, Jeneral Zulkifeli Muhammad Zin dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Zulhasnan Rafique melawat Rumah Putih di Washington, di mana Presiden Donald Trump menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada mereka terhadap usaha Malaysia dalam membantu mencari dan menyelamat.

Malaysia menghantar kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia - KD Handalan untuk memimpin usaha pencarian bersama dua buah lagi kapal dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] untuk membantu bersama-sama dengan pesawat dan penyelam. Zulkifli berkata kru pencarian bekerja lebih 83 jam, dengan meliputi sekitar 2,660 batu persegi nautika dalam usaha berkenaan.

"APMM menghargai serta mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat selamat empat hari itu," kata Zulkifli dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Inilah perlanggaran kedua yang melibatkan kapal perang Amerika Syarikat di rantau itu dalam tempoh tiga bulan. Pada 17 Jun lepas, tujuh anak kapal mati selepas sebuah lagi kapal pemusnah, USS Fitzgerald, bertembung dengan sebuah kapal kontena di Laut Jepun.

Naib Panglima Joseph Aucoin telah digantung tugasnya sebagai komander Armada Ke-7 kerana "hilang keyakinan terhadap keupayaannya untuk memerintah," kata Tentera Laut Amerika Syarikat.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.