Malaysia Lanjut Tempoh Jangka Hayat Dua Produk Vaksin COVID-19
2021.11.16
Pulau Pinang & Kuala Lumpur

Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh jangka hayat produk vaksin COVID-19 kepada antara tiga hingga enam bulan, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan pada Selasa, dengan langkah terkini itu telah menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keberkesanan suntikan yang telah tamat tarikh luput.
Noor Hisham Abdullah memberitahu yang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan lanjutan jangka hayat bagi vaksin Pfizer dan Sinovac selepas kajian ke atas data yang dikemukakan oleh para pengeluar mengenai stabiliti vaksin untuk tempoh yang lebih lama.
“NPRA telah meluluskan permohonan variasi daripada syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn.Bhd. dan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. berhubung pengemaskinian tempoh jangka hayat produk bagi vaksin COVID-19, Coronavac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dan Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.
“Pelanjutan tempoh jangka hayat produk telah diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang,” umum Noor Hisham dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, tambahan enam bulan diberikan kepada Coronavac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated yang dihasilkan oleh syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn.Bhd.
“Tambahan enam bulan daripada tarikh asal yang dicetak pada label vial bagi kedua-dua pek saiz iaitu satu dan dua dos/vial vaksin CoronaVac dengan nombor pendaftaran MAL21046125ACSZ.
“Pelanjutan jangka hayat daripada enam bulan kepada 12 bulan bagi vial vaksin yang disimpan pada suhu 2 hingga 8 darjah Celcius,” menurut kenyataan berkenaan.
Noor Hisham berkata NPRA juga meluluskan lanjutan tiga bulan daripada tarikh asal yang dicetak pada label vial vaksin Covid-19 jenis COMIRNATY melibatkan COMIRNATY dengan nombor pendaftaran MAL21046125ACSZ daripada Pfizer Manufacturing Belgium NV, Belgium.
Turut diluluskan adalah lanjutan tiga bulan daripada tarikh asal yang dicetak pada label vial vaksin COVID-19 jenis COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21036039ASZ) daripada pengilang BioNTech Manufacturing GmbH, Germany.
“Pelanjutan jangka hayat daripada enam bulan kepada sembilan bulan bagi vial vaksin yang disimpan pada suhu -90 sehingga -60 darjah Celsius,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya lagi, kelulusan pelanjutan jangka hayat itu juga turut terpakai kepada semua stok secara retrospektif sebelum permohonan variasi tersebut diluluskan.
“Pihak pengilang diberi masa 6 bulan dari tarikh kelulusan permohonan variasi untuk mengemaskini tarikh luput yang dicetak pada label vial untuk produk vaksin yang akan dikilangkan,” ujar Noor Hisham.
Susulan perkembangan tersebut, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan turut melanjutkan jangka hayat stok vaksin yang masih berada di dalam pegangan stok KKM.
“Pelanjutan jangka hayat ini juga terpakai kepada stok yang akan diterima daripada pengilang dalam masa terdekat.
“KKM juga sentiasa komited dalam memastikan vaksin COVID-19 adalah berkualiti, selamat dan berkesan,” tambahnya lagi.
Noor Hisham berkata informasi lanjut berkaitan nombor kelompok vaksin yang terlibat dalam pelanjutan tempoh jangka hayat itu boleh dilayari di laman sesawang NPRA.
Pengumuman berkenaan mencetuskan kesangsian di kalangan rakyat, apabila ia dibuat kurang sebulan selepas kerajaan negara itu berkata yang Malaysia tidak mengumpul stok vaksin melebihi jumlah yang diperlukan.
Nafi pembaziran vaksin
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semasa sidang media pada 24 September berkata kesemua stok yang diterima oleh syarikat pengeluar vaksin akan digunakan sebelum tarikh luput.
“Tidak ada pembaziran vaksin di Malaysia, dibandingkan dengan negara-negara maju, di mana kita mendengar berita mengenai vaksin yang telah terbuang yang tidak digunakan selepas tarikh luputnya.
“Semua vaksin di negara kita telah digunakan dan kita tidak mengumpul stok vaksin melebihi yang diperlukan,” ujar Khairy pada sidang media berkenaan.
Beliau membandingkan pendekatan Malaysia dalam menggunakan stok vaksin berbanding dengan amalan negara-negara maju yang terpaksa membuang lebihan stok vaksin yang tidak digunakan selepas mencapai tarikh luput.
Reaksi bercampur
Pengumuman oleh Ketua Pengarah berhubung keputusan meluluskan lanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin Covid-19 telah mengundang reaksi bercampur di kalangan rakyat negara itu.
Sarala Umesh Khanna, 40, seorang Pengurus Sumber Manusia di Kuala Lumpur berkata beliau bersetuju dengan langkah berkenaan, namun menegaskan kerajaan perlu memastikan yang produk vaksin tersebut benar-benar selamat.
“Bagi saya selagi mana ia memenuhi aspek keselamatan penerima vaksin, saya tidak mempunyai masalah tetapi kerajaan mesti memastikan lanjutan itu tidak melebihi tarikh yang telah dibenarkan.
“Siapa lagi yang kita boleh percaya dalam keadaan ini melainkan pihak kerajaan,” ujarnya dalam reaksi kepada BenarNews.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Sumathi Nadarajan, 37, seorang pakar Teknologi Maklumat dari Negeri Sembilan.
“Sebagai penerima vaksin Sinovac, saya mengharapkan untuk diberikan booster keluaran Pfizer tapi sekarang vaksin Sinovac telah pun diluluskan.
“Oleh itu saya khuatir mengenai tempoh ketahanan vaksin Sinovac sebagai dos booster, saya tidak faham kewajaran ini,” ujar Sumathi.
Bagaimanapun, beliau berkata rakyat tidak mempunyai pilihan lain dan perlu meletakkan kepercayaan kepada kepakaran pihak kerajaan dalam membuat keputusan yang terbaik.
Naayagi Karpayah, 36, seorang guru di Pulau Pinang pula menyuarakan kesangsian terhadap langkah kerajaan melanjutkan tempoh jangka hayat produk vaksin.
“Saya sangat sangsi dengan keputusan berkenaan, namun saya menjangka kerajaan akan mewajibkan dos suntikan ketiga ke atas semua rakyat,” tegasnya.
Kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh rakyat di platform media sosial.
“Roti Gardenia luput tarikh terus buang, ini vaksin tarikh luput boleh ada lanjutan, macam mana tu..?” soal seorang lagi pengguna Facebook, Zuki San.
Daftar nama menunggu
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) pada Selasa telah bersetuju melaksanakan pendaftaran nama dalam senarai menunggu secara jumpa terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan di seluruh Malaysia bermula 22 Nov.
CITF-B dalam satu kenyataan pada Selasa berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh menteri kesihatan.
“Pendaftaran secara jumpa terus akan dilaksana bagi individu yang layak menerima dos penggalak, individu yang ingin mendapatkan suntikan lebih awal sebelum janji temu, individu yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin COVID-19, mereka yang terlepas janji temu vaksin dan remaja berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun yang belum melengkapkan vaksinasi.
“Bagaimanapun, keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada petugas barisan hadapan, keselamatan dan pertahanan; individu berusia 40 tahun ke atas; individu berusia 18 tahun ke atas dengan komorbiditi; penghuni dan petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang, ibu mengandung dan mereka yang perlu ke luar negara,” umum badan itu.
CITF-B berkata ia percaya pendekatan berkenaan akan memudah dan menggalakkan individu yang layak untuk secara sukarela menerima dos penggalak lebih awal, di samping membantu kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optimum.
Menurut laman portal COVIDNOW yang diselia oleh KKM, setakat Selasa, lebih sejuta dos penggalak telah diberikan kepada mereka yang layak di seluruh negara.
Malaysia pada Selasa merekodkan 5,413 kes baru menjadikan kes kumulatif COVID-19 setakat ini ialah 2,556,865 kes.